Pemandu van Thailand langgar wanita hingga maut di lampu isyarat didakwa esok
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 18, 2026 @ 4:32pm

Keratan berita disiarkan BH ONLINE
JITRA: Pemandu van warga Thailand yang melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan penunggang motosikal wanita maut di Pekan Napoh Khamis lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret Jitra, esok.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, lelaki warga Thailand berusia 60 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah van Thailand yang tidak berhenti ketika lampu isyarat merah di Pekan Napoh, di sini, pada jam 10.15 malam, Khamis lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa, Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, dari Kampung Bukit Beruas Mukim Binjal, dekat sini bekerja sebagai pembantu kedai makan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami.
Pemandu van warga Thailand berusia 60 tahun itu dipercayai dari Pantai Remis Perak hendak ke Satun, Thailand dan akibat kemalangan itu, dia direman empat hari bermula Jumaat lalu untuk membantu siasatan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/01/1498308/pemandu-van-thailand-langgar-wanita-hingga-maut-di-lampu-isyarat-didakwa
|