
KUCHING: Sarawak hampir mencapai sasaran lima juta ketibaan pelawat tahun lalu apabila mencatatkan prestasi pelancongan tertinggi dalam sejarah negeri berdasar jumlah ketibaan dan hasil pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar).
Beliau berkata, jumlah ketibaan pelawat ke Sarawak mencecah 4,971,197 orang setakat 31 Disember 2025 yakni kurang kira-kira 28,800 orang daripada sasaran lima juta pelawat.
“Kita tidak berjaya mencapai sasaran lima juta pelawat namun hampir mencapainya. Ini merupakan jumlah ketibaan pelawat tertinggi yang pernah Sarawak catat setakat ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Walaupun tidak mencapai sasaran tersebut, Abdul Karim berkata Sarawak merekodkan hasil pelancongan tertinggi setakat ini berjumlah RM12,672,154,246 atau kira-kira RM12.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.
“Ini merupakan jumlah yang sangat besar dan merupakan hasil pelancongan tertinggi yang pernah kita capai,” katanya sambil menambah, prestasi kukuh itu turut memberi kesan positif kepada sektor hospitaliti.
Menurut beliau, hotel, restoran, rumah tumpangan serta pengusaha inap desa dan bed-and-breakfast semuanya menerima manfaat daripada peningkatan aktiviti pelancongan.
“Apabila kita bercakap mengenai hasil pelancongan, wang itu tidak masuk secara langsung ke dalam tabung kerajaan. Ia masuk ke dalam industri.
"Namun apabila industri memperoleh keuntungan, mereka membayar cukai dan di situlah kerajaan termasuk kerajaan persekutuan mendapat manfaat,” katanya.
Abdul Karim menyifatkan industri pelancongan Sarawak sebagai berkembang pesat sambil menyatakan negeri ini semakin hampir mencapai sasaran lima juta pelawat sejak tiga tahun kebelakangan ini.
“Mudah-mudahan pada 2026, kita dapat mencapai sasaran lima juta yang diidamkan itu. Kita semakin hampir,” katanya dengan yakin Sarawak mampu melepasi sasaran tersebut tahun depan.
Beliau berkata, kerajaan negeri masih memuktamadkan sasaran ketibaan pelawat bagi tahun 2026 sama ada mengekalkan sasaran lima juta atau meningkatkannya kepada 5.2 juta pelawat.
Mengenai pasaran sumber, beliau berkata Brunei kekal sebagai penyumbang terbesar pelawat ke Sarawak dengan ratusan ribu pengunjung memasuki negeri ini secara berkala.
“Brunei adalah yang terbesar...hampir setiap minggu ratusan ribu masuk (ke Sarawak),” katanya.
Kehadiran pelawat dari Brunei memberi sumbangan besar kepada kemeriahan ekonomi di Miri.
Selain Brunei, beliau berkata Indonesia turut kekal sebagai pasaran penting bagi Sarawak yang disokong oleh jaringan perhubungan yang baik melalui laluan udara dan darat.
Sumber : Utusan Borneo
|