HASRAT pelakon Syarul Ezani untuk menamatkan zaman bujang tahun lalu tidak kesampaian apabila hubungannya dengan kekasih telah berakhir.
Menerima dengan lapang dada, Syarul atau Syarul Ezani Mohamed Ezzudeen, 37, memberitahu kesibukan kerja membuatkan dia tidak terlalu memikirkan apa yang telah berlaku.
“Perancangan semuanya ada, tetapi perkara itu tidak menjadi. Saya juga tidak mempunyai masa untuk berdepan apa-apa emosi kerana sibuk dengan kerja.
“Walaupun perancangan ke arah perkahwinan itu sudah tiada, kami masih tetap berkawan.
“Apa yang boleh saya katakan, sekarang ini saya masih single tetapi tidak mencari,” katanya kepada mStar.
Syarul ditemui ketika majlis tayangan filem terbaharunya berjudul Akad Yang Hilang di TGV KLCC, Kuala Lumpur, pada malam Selasa.
Biarpun begitu, pengalaman lalu tidak pernah membuatkan pelakon ini berasa serik untuk kembali mencari teman hidup baharu.
“Cinta itu sangat indah. Ia satu perasaan yang Allah berikan.
“Saya tidak pernah menutup hati untuk ke arah itu,” ujarnya ringkas.
Syarul sebelum ini pernah meluahkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita yang telah dikenalinya selama dua tahun.
Namun begitu, dia tidak mendedahkan identiti kekasihnya ketika itu.

Syarul sebagai Ammar dalam filem Akad Yang Hilang.
Dalam perkembangan lain, filem lakonannya iaitu Akad Yang Hilang bakal memulakan tayangan pada hari ini di seluruh pawagam.
Syarul membawakan watak Ammar yang berada dalam keadaan tersepit untuk memilih antara teman wanitanya dan kehendak ibunya.
Selain Syarul, filem ini turut dibintangi oleh Mira Filzah, Idan Aedan, Aleza Shadan dan Sherie Merlis.
Sumber: mStar |