Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad. FOTO FAIL BERNAMA
Johor Bahru: Polis Johor berjaya melumpuhkan sebanyak 38 premis di seluruh negeri itu yang dijadikan 'calling centre' sindiket penipuan dalam talian sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad, berkata dalam tempoh sama seramai 234 individu ditahan dan pelbagai peralatan bagi memperdaya mangsa dirampas.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 106 individu berjaya dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang sedia ada.
"Kesemua 'calling centre' ini membabitkan pelbagai modus operandi termasuk penipuan pelaburan, 'phone scam', tawaran pekerjaan sambilan dan pinjaman tidak wujud.
"Tindakan tegas ini mencerminkan komitmen berterusan Polis Johor khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dalam membendung jenayah komersil yang semakin berleluasa," katanya ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) Johor di sini hari ini.
Datuk Ab. Rahaman berkata, seiring dengan peningkatan kes penipuan masa kini, JSJK Johor akan terus mengambil pelbagai inisiatif secara berterusan bagi menangani sindiket penipuan berkenaan.
"Ia termasuk mempergiatkan program pencegahan dan aktiviti kesedaran bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai taktik serta modus operandi yang digunakan oleh sindiket penipuan.
"Justeru, orang ramai agar sentiasa berwaspada, tidak mudah terpedaya dengan tawaran mencurigakan dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan," katanya.
Pada perhimpunan bulanan itu, seramai 23 anggota dan pegawai polis, 11 orang awam dan seorang Ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor menerima sijil penghargaan.
|