|
|
Penyanyi Radhi OAG, 49, menyifatkan pengalaman turun naik mahkamah pada tahun lalu berhubung dakwaan menyerang dan memukul bekas isteri, Nur Shahira Ayu sebagai ujian Allah untuk dijadikan pengajaran.
Radhi berkata, dia bagaimanapun bersyukur apabila didapati tidak bersalah dan bebas daripada pertuduhan itu sekali gus mendapat keadilan selepas tiga tahun berhadapan kes berkenaan.
"Kes (dakwaan serang dan pukul bekas isteri) itu, Alhamdulillah saya dah menang. Nak tengok jap (sekejap) luka itu, Alhamdulillah semakin sembuh.
"Tapi tiga tahun (berjuang) macam pembunuh. Macam dicaj membunuh, namun bagi saya rileks sahaja sebab saya tidak bersalah, tenang walaupun tiga tahun.
"Bila fikir-fikir balik, ini ujian. Sebab ini cara Allah ajar kita, ada benda yang kita buat salah sebelum ini dan tapi kalau kita tak bersalah, buat-buat tenang sudah," katanya.
Terdahulu, Radhi ditemui media pada majlis sidang media Metalverse yang akan berlangsung di Megastar Star Arena, di sini, pada 30 April dan 1 Mei depan anjuran Vox Nation Live.
Radhi berkata, meskipun memenangi kes itu, namun dakwanya pihak peguam mewakili bekas isteri memintanya mohon maaf secara terbuka atau mengambil tindakan saman seperti fitnah, keterangan palsu dan sebagainya.
"Tapi, saya fikir bila nak habis. Naik mahkamah lagi, tak payahlah. Diam-diam sudahlah sebab dah menang. Jadi sekarang ini hubungan saya walaupun sampai macam itu 'brutal' dia buat, mungkin dia (bekas isteri) ada emosi.
"Dia pun bekas isteri tapi dia yang jaga anak saya, tak perlulah nak menambahkan skrip lagi," katanya bersyukur hubungan dengan bekas isteri kembali baik selepas kes berkenaan.
Menurut Radhi, dia kini selesa memaafkan dan melupakan sahaja kes yang berlaku dengan bekas isteri itu demi kebahagiaan anak-anak.
"Sekarang, Alhamdulillah hubungan dengan tiga anak-anak saya baik termasuk yang sulung dengan bekas isteri pertama dulu pun, baik. Anak sulung saya dah besar serta mengikuti pengajian fotografi di universiti.
"Anak sulung saya umurnya 20 tahun, manakala anak kedua, Aisyah umur 11 tahun. Anak-anak saya pun faham dengan apa yang sudah berlaku, tapi sebagai ibu bapa, kita kena bagi perhatian sahaja," katanya.
Katanya, dia turut tidak menggalakkan anak perempuannya menceburi bidang seni kerana lebih selesa sekiranya anaknya itu ke arah menutup aurat pada usia dirinya sudah hampir ke penghujung.
Sebelum ini, Radhi didakwa dengan sengaja mencederakan Nur Shahira Ayu di Kota Damansara, Selangor pada 19 April 2022.
Radhi dan Nur Shahira Ayu bernikah pada 14 April 2014, namun bercerai pada Julai 2019 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.
Sumber – Harian Metro |
|