Aaron-Wooi Yik kempunan RM439,232
Oleh Helmi Talkah - Januari 11, 2026 @ 6:07pm

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kecewa selepas tewas kepada beregu Korea, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS
KUALA LUMPUR: Kemarau kejuaraan wakil negara di Terbuka Malaysia terus berpanjangan selepas beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, tewas pada aksi final sebentar tadi.
Pasangan nombor dua dunia itu terpaksa akur kepada kehebatan gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae, selepas kalah 15-21, 21-12, 18-21 dalam pertarungan sengit di Axiata Arena Bukit Jalil.
Selepas tewas set pertama, Aaron–Wooi Yik yang mendapat sokongan padu lebih 10,000 penonton bangkit dengan corak permainan lebih agresif serta kawalan gelanggang yang kemas untuk memenangi set kedua 21-12, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika bertemu gandingan Korea, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS
Bagaimanapun, pasangan Korea bermula garang pada set ketiga apabila mendahului 11-4, namun Aaron–Wooi Yik mempamerkan semangat juang tinggi untuk merapatkan jurang mata sehingga 13-14.
Aksi semakin mendebarkan selepas itu dengan wakil negara terus menekan dan hampir mengikat kedudukan ketika ketinggalan 18-19, sebelum Kim Won Ho menoktahkan kemenangan 21-18 dengan dua mata terakhir diperoleh menerusi bulu tangkis keluar gelanggang sekali gus menutup perlawanan dalam tempoh 65 minit.

Aksi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika bertemu pasangan Korea, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia masih belum berjaya menamatkan penantian melihat wakil negara muncul juara Terbuka Malaysia sejak kali terakhir dimenangi bekas jaguh perseorangan lelaki, Lee Chong Wei, pada edisi 2018.
Malah, kemarau kejuaraan beregu lelaki negara di kejohanan berkenaan turut berlarutan sejak kali terakhir gandingan Goh V Shem–Lim Khim Wah menjulang gelaran pada edisi 2014.

Kim Won Ho–Seo Seung Jae meraikan kemenangan menewaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada final Terbuka Malaysia. - AFP
Aaron–Wooi Yik juga masih perlu menunggu untuk meraih gelaran Super 1000 pertama dalam karier mereka apabila tewas kali ketujuh dalam final kejohanan berstatus tertinggi berkenaan.
Selaku juara, Kim Won Ho–Seo Seung Jae membawa pulang hadiah wang tunai AS$107,300 (RM439,232), manakala Aaron–Wooi Yik menerima AS$50,750 (RM207,745) sebagai naib juara.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/01/1495403/aaron-wooi-yik-kempunan-rm439232
|