Kuala Lumpur: Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman yang baharu.
Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Polis Abdul Rahman Kassim berkata, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali akan menggantikan Mohd Yusri sebagai Pengarah JSPT.
Menurutnya, Pengarah JPJKK Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dilantik sebagai Komisioner Polis Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman.
Selain itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Sarawak, Asisten Komisioner Polis Zulkipli Suhaili dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Sementara itu, Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Sarawak, Asisten Komisioner Polis Roselina Daud akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner dan dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak.
Pada masa sama, Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar, Johor, Asisten Komisioner Polis Pozlan Ibrahim dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Agama dan Kaunseling, Bahagian Agama dan Kaunseling, JIPS Bukit Aman, dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.