Edited by FOTHER-MUCKER at 1-1-2026 02:22 AM
Stesen minyak wakaf pertama di Malaysia mula operasi

Sepang: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mengukir sejarah tersendiri apabila membangunkan hartanah wakaf berimpak tinggi menerusi pembinaan stesen minyak yang lengkap dengan restoran makanan segera dua tingkat.
Pembinaan stesen minyak seluas 1.25 ekar itu dibuat di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang terletak di Lot PT 69581, HSM 28476, Mukim Dengkil, Sepang.
Stesen minyak dengan kerjasama rakan perniagaan PETRON itu dibangunkan menggunakan konsep Dealer-Owned Dealer-Operated (DODO) bagi memastikan pengurusan operasi yang mampan serta pulangan optimum kepada wakaf.
Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, projek seumpama ini merupakan pertama kali di Selangor dan Malaysia yang dibangunkan di atas tanah wakaf.
Katanya, pengurusan dan perniagaan stesen minyak ini dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh PWS, WS Energy 1 Sdn Bhd (WSE1) yang ditubuhkan khusus bagi menguruskan projek pembangunan wakaf berimpak tinggi.
"Projek ini mula beroperasi semalam dan Insya-Allah menjadi salah satu aset wakaf strategik yang mampu menjana pendapatan berterusan, menyediakan peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
"Dengan keberhasilan projek ini, jelas dinyatakan bahawa PWS sangat menitikberatkan bagi pembangunan tanah-tanah wakaf di dalam Selangor dan komited untuk terus memperkasa pembangunan wakaf secara bersepadu dan progresif demi memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan pembangunan sosioekonomi umat Islam," katanya pada sidang medianya di sini, hari ini.
Anuar Hamzah berkata, projek itu secara keseluruhan berjumlah RM9 juta, merangkumi pembinaan bangunan, infrastruktur, perunding dan sebagainya.
"Kos ini digunakan sepenuhnya daripada dana wakaf tunai orang ramai. Menariknya manfaat bagi projek ini akan diserahkan semula kepada Masjid Sungai Ramal Luar sebanyak 50 peratus seperti yang diniatkan oleh pewakaf tanah sebelum ini.
"Terima kasih saya ucapkan kepada semua terlibat, agensi kerajaan serta swasta yang merealisasikan projek ini dan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang telah melazimi ibadah wakaf ini," katanya.
Beliau berkata, PWS juga telah mengenalpasti tiga tempat lain seperti di Johan Setia dan Jalan Reko untuk pembinaan stesen minyak seperti yang beroperasi di Sungai Merab ini.
"Insya-Allah dengan adanya kerjasama semua pihak, kita dapat membangunkan lagi beberapa buah stesen di atas tanah wakaf yang diniatkan untuk penerima manfaat juga," katanya.
|