Edited by Vellfire at 23-11-2025 11:26 AM

INOVASI: Shafie dan Terrence meninjau sendiri turapan penyerap karbon pertama di Sabah.
KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) menampilkan penggunaan BioAsphalt, teknologi asfalt sejuk generasi baharu yang disahkan di Amerika Syarikat, sebagai pilihan segera dan praktikal untuk menangani krisis jalan berlubang yang semakin meruncing di Sabah.
Sabah merekodkan beberapa insiden maut akibat keadaan jalan rosak sejak kebelakangan ini.
Pada 24 Januari 2024, seorang kanak-kanak maut dalam kemalangan lima kenderaan di Kinabatangan yang berpunca daripada jalan berlubang.
Beberapa hari sebelumnya, seorang pemandu lori di Kampung Sentosa Jaya meninggal dunia ketika cuba mengelak bahaya sama.
Pada 3 Februari 2025, seorang penghantar makanan dan bapa kepada dua anak maut selepas melanggar lubang jalan di jejambat Lido.
Kes-kes ini menunjukkan betapa mendesaknya keperluan penyelesaian jalan yang lebih selamat dan cepat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya, sebelum ini mengesahkan bahawa lebih 50 peratus jalan di Sabah telah melepasi jangka hayat reka bentuk 20 tahun, dengan lebih 73,000 lubang jalan direkodkan antara 2023 dan 2024, iaitu hampir 70 peratus daripada jumlah nasional.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, WARISAN meneliti beberapa penyelesaian yang praktikal dan berpatutan.
"BioAsphalt muncul sebagai teknologi yang mampu memberikan kelegaan segera tanpa kos yang tinggi," katanya.
Di Golden Plaza semalam, Shafie melakukan demonstrasi pembaikan lubang jalan secara langsung menggunakan BioAsphalt, yang diaktifkan dengan air dan hanya memerlukan alatan asas.
Katanya, lubang itu ditutup dan boleh dilalui kenderaan dalam beberapa minit.
“Jalan berlubang di Sabah sudah menjadi isu hidup dan mati. Kita tidak boleh menunggu tragedi seterusnya.
"BioAsphalt ialah penyelesaian yang boleh digunakan segera tanpa proses perolehan panjang atau jentera mahal,” katanya.
Beliau berkata, BioAsphalt boleh dihasilkan di Sabah melalui penukaran biomass kelapa sawit dan sisa organik lain kepada biochar berkualiti tinggi, bahan negatif karbon yang menjadi asas campuran itu.
Katanya, ia mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan import.
"Produk ini tidak memerlukan haba, tidak menggunakan pelarut dan tidak berbau, sekali gus lebih selamat untuk pekerja serta boleh dipasang dengan cepat.
"Ia dibekalkan dalam beg 20 kg, memudahkan penggunaan di semua 73 kawasan DUN dengan potensi eksport ke luar Sabah.
"Teknologi ini disokong oleh penyelidikan bertahun-tahun bersama National Center for Asphalt Technology (NCAT) di Auburn, salah satu pusat autoriti jalan raya terkemuka dunia," katanya.
Hadir sama dalam demonstrasi itu ialah Timbalan Presiden WARISAN Datuk Darell Leiking dan Naib Presiden WARISAN Terrence Siambun.
Ia menandakan kesediaan WARISAN untuk menskalakan penyelesaian ini di seluruh negeri apabila diberi mandat.
“Kepimpinan bukan tentang menunggu kuasa. Ia tentang menyediakan pilihan yang berkesan dan boleh dipercayai untuk memperbaiki kehidupan rakyat hari ini. Sabah perlu penyelesaian, bukan slogan,” tambah Shafie.
Shafie berkata, BioAsphalt membuka laluan kepada jalan yang lebih selamat, kos penyelenggaraan yang lebih rendah dan industri berorientasikan iklim yang positif untuk Sabah.
Katanya, dengan memberi keutamaan kepada inovasi praktikal, WARISAN membina asas negeri yang lebih selamat, berdaya tahan dan mampan untuk semua rakyat Sabah.
|