Kuala Lumpur: Bekas juruiring polis kepada Yang Dipertuan Agong, Datuk Mohd Azani Omar dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa, hari ini.
Mohd Azani, 51, yang berasal dari Kelantan menggantikan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang bersara wajib selepas hampir 37 tahun menabur bakti dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.
Turut diadakan majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Dang Wangi antara Senior Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dan Asisten Komisioner Sazalee Adam.
Sulizmie Affendy akan memulakan tugas sebagai Juruiring Polis kepada Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Selain itu, majlis serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) antara Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab dan Asisten Komisioner Wong Yuen Chuan.
Sementara, Fadil dalam ucapannya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohamed Usuf dan isteri atas segala sumbangan, dedikasi dan kesetiaan yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan bersama.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd Azani atas pelantikan berkenaan yang disifatkannya sebagai satu pengiktirafan terhadap kecekapan dan komitmennya menerajui pasukan keselamatan.
"Tahniah kepada Mohd Azani atas pelantikan begitu juga kepada Sulizmie Affendy dan Wong Yuen Chuan atas kenaikan pangkat masing-masing," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau juga yakin pelantikan baharu itu akan memperkukuh kecekapan organisasi dan menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.