Pasukan Komando 69, UTK ungguli ujian rentas halangan KDNKA
Oleh Nor Azizah Mokhtar - September 11, 2025 @ 2:54pm

Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi (tengah) bergambar bersama anggota yang mengambil bahagian selepas Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan Jabatan KDNKA 2025 di Lapang Sasar Briged Tengah PGA Cheras, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dua pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komando 69 dan Unit Tindak Khas (UTK) muncul juara Ujian Rentas Halangan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) 2025.
Timbalan Pengarah KDNKA (PGA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, berkata seramai 540 pegawai dan anggota daripada pelbagai unit mengambil bahagian dalam ujian berkenaan yang berlangsung di Markas Briged Tengah PGA Cheras di sini dalam dua kategori iaitu berpasukan dan individu.
Beliau berkata, penyertaan membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Polis Marin (PPM) seluruh negara membabitkan 20 pasukan.
"Objektif utama ujian ini adalah untuk melatih ketahanan fizikal setiap pegawai dan anggota. Peserta perlu melalui pelbagai halangan sebelum diakhiri dengan menembak.
"Bagi pertandingan ini, kita mahu latih bagaimana mereka mengawal tekanan ketika penugasan. Kalau boleh atasi semasa latihan, secara automatik mereka mampu menghadapinya dalam situasi sebenar," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Ujian Rentas Halangan KDNKA di Markas Briged Tengah PGA, Cheras, hari ini.
Beliau berkata, penugasan semua unit di bawah KDNKA kebanyakannya beroperasi di kawasan sempadan dengan landskap mencabar, justeru latihan berbentuk fizikal ini menjadi keutamaan.
Katanya, ujian rentas halangan itu merangkumi jarak hampir dua kilometer dengan 14 halangan yang perlu ditempuh dalam keadaan permukaan berbukit yang memerlukan daya tahan tinggi.
"Dari segi fizikal, saya tidak nampak isu dalam KDNKA kerana kita mengikut arahan pucuk pimpinan berkaitan indeks jisim badan (BMI).
"Persediaan juga dibuat oleh semua komander briged melalui latihan jasmani, manakala peserta diwajibkan melakukan persediaan lebih awal. Hasilnya semua mencatatkan masa yang baik," katanya.
Mohamad Suzrin berkata, Komando 69 dan UTK berjaya melengkapkan semua halangan dengan masa bawah lapan minit, manakala pasukan lain tidak jauh ketinggalan, membuktikan tahap kecergasan pegawai serta anggota berada pada tahap tertinggi.
Katanya, empat pasukan terbaik bagi acara berpasukan ialah Komando 69, UTK, Batalion 5 PGA dan Batalion 21 PGA Briged Sabah.
Bagi acara individu pula, ia diungguli wakil UTK, dua peserta dari Komando 69 serta seorang peserta Batalion 7 PGA.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/09/1444914/pasukan-komando-69-utk-ungguli-ujian-rentas-halangan-kdnka
|