Riyadh: Yayasan Piala Dunia Esukan (EWC) yang disokong Arab Saudi mengumumkan kejohanan baharu berbentuk dwi tahunan, Piala Negara-Negara Esukan (ENC), yang akan bermula hujung 2026 di ibu negara Riyadh.
Tidak seperti Piala Dunia Esukan yang dianjurkan setiap tahun dengan format berasaskan kelab, kejohanan kali ini akan menampilkan pasukan kebangsaan dan diadakan setiap dua tahun.
Langkah itu adalah sebahagian daripada strategi 'Vision 2030' Arab Saudi yang menumpukan usaha mempelbagaikan ekonomi negara itu melangkaui sektor minyak, dengan pelaburan besar dalam bidang permainan video, sukan serta sektor lain.
Bagaimanapun, ia turut menerima kritikan pihak tertentu yang menuduhnya sebagai usaha 'sportswashing' ekoran rekod hak asasi manusia negara itu.
"Masih ada banyak ruang untuk berkembang. Tiada lagi wadah bagi mewakili negara, jadi semangat kebangsaan dijangka mampu menarik lebih ramai peminat, pemain serta keterlibatan budaya," kata Ketua Pegawai Eksekutif EWC, Ralf Reichert kepada Reuters.
Beliau turut memaklumkan jumlah hadiah wang tunai bagi ENC dijangka setara dengan edisi kedua Piala Dunia Esukan yang menawarkan AS$70 juta (RM327 juta) dan akan berakhir pada Ahad ini.
Menurut Reichert, sambutan edisi kedua meningkat ketara dengan jumlah tontonan meningkat 52 peratus kepada 270 juta jam berbanding edisi pertama, manakala lebih dua juta peminat hadir menyaksikan secara langsung.
Katanya, kejohanan besar seperti ini sangat penting untuk kelangsungan kerjaya pemain profesional ketika banyak jenama ternama esukan berdepan kesukaran kewangan.
Malah, beberapa acara turut menambah sukan popular pasca pandemik seperti catur.
Untuk ENC, pihak penganjur bekerjasama dengan penerbit permainan video terkemuka antaranya Electronic Arts, Krafton, Tencent dan Ubisoft.
"(Penerbit) mempunyai data pemain dalam setiap pelayan. Jadi proses mengenal pasti pemain terbaik dari setiap negara serta pemilihan jurulatih kebangsaan akan dibuat bersama mereka," jelas Reichert.
Tambahnya, edisi selepas 2026 berkemungkinan akan beralih ke bandar lain yang mempunyai populariti tinggi dalam esukan serta mampu menarik penyertaan besar-besaran.