Ketua Polis KL baharu 'all-out' perangi jenayah di ibu kota
Oleh Nor Azizah Mokhtar - Ogos 11, 2025 @ 1:09pm

Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa (tengah), menyaksikan pertukaran dokumen serah tugas antara Pemangku yang juga Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad (kiri) kepada Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Fadil Marsus, ketika Majlis Serah Tugas dan Pemakaian Pangkat Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL). - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KUALA LUMPUR: "Insha-Allah, kita akan 'all out' untuk mencapai visi dan misi PDRM," tegas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus yang bertekad memimpin kontinjen itu secara aktif dalam membanteras cabaran jenayah di ibu negara.
Beliau menerima amanah dan tanggungjawab yang diberi pucuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain bertekad memastikan pasukan berada pada tahap terbaik.
"Pasukan akan bergerak aktif bersama dengan seluruh masyarakat. Peranan saya bersama timbalan dan semua warga Polis Kuala Lumpur, insha-Allah, akan 'all out' untuk pencapaian visi dan misi PDRM.
"Dengan pengalaman yang ada dalam JSJ bersama timbalan serta ketua jabatan, kita akan cuba atasi semua cabaran ini dan laksanakannya sebaik mungkin," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Fadil dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa hari ini, menggantikan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang memangku jawatan itu sejak 18 Julai lalu.
Upacara serah terima tugas disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa.
Beliau menegaskan kepakaran dan kekuatan barisan kepimpinan IPK Kuala Lumpur akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menangani cabaran keselamatan di ibu kota.
"Kami akan laksanakan sebaik mungkin, dengan mengoptimumkan semua sumber ke arah pencapaian positif," katanya.
Fadil yang terkenal dengan 'call sign' atau panggilan 'Blade', pernah memegang jawatan Ketua Polis Daerah Tawau pada Disember 2015 dan berkhidmat di situ selama lebih tiga tahun sebelum memegang jawatan lain di peringkat kontinjen dan Bukit Aman.
Pada 2020, beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah D3 (Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran) JSJ Bukit Aman, sebelum menjadi Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman pada 2023.
Beliau kemudian memangku jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman mulai 1 Julai lalu selepas Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/08/1431722/ketua-polis-kl-baharu-all-out-perangi-jenayah-di-ibu-kota
|