Datuk Mohamed Usuf Jan, pangku jawatan Ketua Polis KL
Oleh Safeek Affendy Razali - Julai 18, 2025 @ 12:13pm[email protected]

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Hamzah Ahmad (tengah) menyaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad ketika Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM.
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, dilantik memangku tugas Ketua Polis Kuala Lumpur bermula hari ini.
Beliau menggantikan Datuk Rusdi Mohd Isa yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard, Datuk Hamzah Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Majlis dimulakan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Mohamed Usuf dan Rusdi.
Hamzah dalam ucapannya berkata, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Rusdi atas kepemimpinan yang cemerlang, berwibawa dan penuh komitmen sepanjang menerajui Kontinjen Kuala Lumpur.
"Sumbangan beliau telah membawa pelbagai kejayaan signifikan dan berperanan besar dalam memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat di Kuala Lumpur terus terpelihara," katanya.
Hamzah turut mengucapkan tahniah kepada Mohamed Usuf atas pelantikan beliau sebagai Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur.
"Saya yakin bahawa dengan pengalaman luas, kredibiliti dan kepimpinan beliau, kontinjen ini akan terus mencipta kejayaan, mengekalkan kestabilan serta kekal disegani oleh masyarakat," katanya.
Hamzah berkata, setiap amanah yang diserahkan bukan sekadar simbolik atau urusan pentadbiran semata-mata, tetapi mencerminkan kepercayaan, tanggungjawab dan tekad untuk terus menjunjung amanah demi kepentingan rakyat dan negara.
"Saya mendoakan Rusdi terus unggul dalam peranan baharu di JSJK Bukit Aman dan yakin Mohamed Usuf akan meneruskan kesinambungan kecemerlangan dalam menerajui Kontinjen Kuala Lumpur, seiring harapan masyarakat ibu negara," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/07/1421477/datuk-mohamed-usuf-jan-pangku-jawatan-ketua-polis-kl
|