|
View: 700|Reply: 0
|
Trek ekstrem pentas Narimah
[Copy link]
|
|
|
HANYA disebabkan mengikut kawan untuk menyertai ekspedisi kenderaan pacuan empat roda di dalam denai pada 2008 di Selancar, Johor, siapa sangka ia menjadi titik tolak kepada wanita yang juga berasal dari Johor ini terus aktif dalam aktiviti pemanduan kenderaan pacuan empat roda sehingga kini.
Malah, ia seakan-akan menjadi satu minat yang amat mendalam kepada wanita berusia 50 tahun ini kerana bukan sahaja menimba pengalaman di pelbagai laluan denai di Malaysia, malah ke luar negara antaranya Indonesia, Sri Lanka, Amerika Syarikat dan Poland.
Narimah Samat berkata, sepanjang kira-kira 17 tahun terbabit dalam aktiviti pemanduan lasak itu pelbagai pengalaman pernah dilaluinya sama ada ketika menyertai ekspedisi atau terbabit dalam perlumbaan.
Menyingkap kembali pembabitannya Narimah berkata, selepas kali pertama dia menyertai aktiviti itu pada 2008, dia tidak membeli kenderaan berkenaan, tetapi menjadi penganjur acara ekspedisi pacuan empat roda di dalam negara pada 2009.
"Pada 2011 baru saya membeli kenderaan pacuan empat roda yang pertama iaitu Mitsubishi Pajero V31 Petrol. Sepanjang pembabitan saya dalam aktiviti ini, antara kenderaan dalam segmen itu yang pernah saya miliki termasuk ditaja ialah Suzuki Vitara yang diubah suai (tajaan selama dua tahun), Kia Rocsta, Suzuki Vitara dan Toyota Prado 90s.
"Sebenarnya saya menganjurkan acara terlebih dahulu kerana saya adalah usahawan penganjur acara dan melihat aktiviti ini menarik untuk lebih banyak dianjurkan," katanya.
Jelasnya, sepanjang pembabitannya dalam aktiviti itu, sudah puluhan acara kenderaan pacuan empat roda dianjurkan olehnya termasuk acara berskala antarabangsa iaitu cabaran pemanduan ekstrem 4x4 wanita dunia atau SHEMUD International Women's 4x4 Challenge pada 2015 hingga 2018 membabitkan peserta wanita dari 12 negara.
Katanya, dia puas dapat menganjurkan acara berkenaan untuk peserta antarabangsa kerana ia boleh menonjolkan nama Malaysia sebagai destinasi aktiviti pemanduan pacuan empat roda yang lasak di peringkat dunia.
"Paling terkesan pastinya apabila saya menganjurkan SHEMUD kerana ia hanya boleh disertai wanita dan kita berjaya menarik ramai penyertaan peserta dari luar negara.
"Mereka kagum dengan laluan yang mencabar di Malaysia dan ia juga menjadi satu platform untuk memperkasakan wanita dalam aktiviti pemanduan lasak ini," katanya.
Bercerita mengenai pengalamannya dalam pemanduan kenderaan pacuan empat roda katanya, ada banyak acara yang sudah disertainya sama ada sebagai peserta atau penulis media termasuk acara yang terkenal dengan cabaran di peringkat dunia iaitu Rainforest Challenge (Malaysia) dan King of the Hammers (USA).
"Bagi menyertai kejohanan pemanduan empat roda terutama membabitkan laluan denai ini sememangnya memerlukan daya tahan yang amat tinggi dari segi keberanian dan mengendalikan perkara teknikal kenderaan.
"Laluan denai bagi kenderaan pacuan empat roda ini kadangkala perlu merentasi kawasan selut, sungai dan berdepan cabaran pokok tumbang. Selain itu, berdepan kenderaan yang meragam juga sudah biasa dan perlu tahu cara mengendalikannya," katanya.
Narimah berkata, antara cabaran yang tidak boleh dilupakan pastinya kenderaan pacuan yang dipandunya terbalik dan pernah hampir masuk gaung dalam acara Indonesia Off-Road Expedition 2013.
Selain itu, dia juga pernah merasai pengalaman gegaran gempa bumi dalam acara JIP Trip 7 Days Paradise 2014 sempena ulang tahun ke-10 kejadian Tsunami di Aceh.
Malah, dia juga pernah tercedera ketika melompat dari kenderaan untuk mencatat masa terpantas dalam cabaran Rainforest Challenge.
"Apabila memandu kenderaan pacuan empat roda di kawasan denai khasnya, kita perlu meningkatkan tahap keselamatan pemanduan supaya apabila berlaku sebarang risiko seperti kenderaan terbalik atau kepala air, kita masih dalam keadaan selamat
"Pernah satu ketika saya menyertai satu ekspedisi di Sumatera, Indonesia brek tidak berfungsi dan kenderaan saya menggelongsor menghala gaung. Mujur ia tersangkut di tebing dan sejak kejadian itu saya sentiasa memakai tali pinggang keselamatan walaupun dalam laluan 'off-road'," katanya.
Katanya, bersandarkan pengalaman yang ada dia juga sering mengadakan latihan khususnya kepada syarikat korporat dan kerajaan mengenai pemanduan asas kenderaan itu.
"Saya banyak menganjurkan latihan untuk pelbagai pihak yang ingin mempelajari pemanduan kenderaan pacuan empat roda ini kerana bagi mengendalikannya bukan perkara mudah.
"Jadi, dengan adanya pengalaman dari segi pemanduan, menyertai acara di dalam dan luar negara serta menjadi penganjur acara lasak ini, saya sering kali dipanggil memberi latihan dengan sokongan rakan-rakan peminat pacuan empat roda," katanya.
Jelasnya, pengalaman paling manis yang tidak dapat dilupakan apabila menjadi satu-satunya wakil wanita dari Malaysia yang menyertai acara ekspedisi pacuan empat roda antarabangsa di Indonesia iaitu Tribute to Camel Trophy di Borneo pada 2023 dan Sulawesi pada tahun lalu.
"Apabila menyertai acara membabitkan peserta dari luar negara ini banyak membantu saya meluaskan lagi jaringan dalam bidang ini dan kami menjadi sahabat.
"Saya mempunyai ramai kawan dari luar negara disebabkan menyertai acara pemanduan empat roda kerana tidak ramai sebenarnya wanita yang terbabit dalam aktiviti ini," katanya.
Pesannya, jika ada wanita yang ingin menyertai aktiviti pemanduan kenderaan pacuan empat roda tidak kira untuk ekspedisi atau kejohanan, jangan malu untuk meneruskannya.
"Wanita di luar sana boleh mencari kawan-kawan yang mempunyai minat sama dalam aktiviti ini dan ia adalah satu aktiviti yang amat menarik serta menguji keberanian.
"Malah, kita juga boleh menikmati pemandangan dalam hutan yang tidak ramai orang boleh menerokainya," katanya mengakhiri perbualan. - Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Wanita & Lelaki
|