Edited by maklukpenggoda at 12-10-2024 11:23 AM
SHAH ALAM: Fenomena dicetus sebaik mula bersiaran di konti Hot FM pada 15 Februari tahun lalu, mengangkat bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, 48, sebagai Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.
Khairy atau mesra disapa KJ menewaskan penyampai radio lain yang lebih berpengalaman iaitu Tyzo, Haiza, DJ Sonic dan Sharifah Shahirah.
Kemenangan Khairy yang terkenal dengan kempen #KJJadiDJ dan #MenangSelfieMenang Undi' bagai sudah dijangka, mengambil kira sambutan hangat diberi kepada beliau sejak mula bertugas dengan Hot FM.
Tidak cukup bertemu pendengar secara bersemuka bersama kru Bekpes Hot, kempen melobi Khairy sebagai Penyampai Radio Popular dihangatkan dengan mendapatkan khidmat vokalis Butterfingers, Emmet menyanyikan lagu khas, Menang Selfie Menang Undi.
Selain itu, sokongan padu rakan penyampai di Bekpes Hot iaitu Johan, Fara Fauzana dan AG yang turut berkempen termasuk deejay lain di stesen radio bawah Media Prima Audio (MPA) seperti Kool 101, memberi kesan kepada undian Khairy.
Ketika diumum bersaing dalam kategori Penyampai Radio Popular ABPBH 36, Khairy memuat naik hantaran Facebook (FB) meminta pengikut menyokongnya.
Lebih setahun bertugas di Hot FM, Khairy mempunyai aura tersendiri untuk membuat pendengar terhibur dengan celotehnya yang bersahaja. Karisma sebagai bekas pemimpin juga terserlah terutama ketika membicarakan topik serius menerusi slot kendaliannya.
Suara Khairy buat kali pertama berkumandang di stesen radio Hot FM mengendalikan slot Bekpes Hot bersama Johan dan AG pada 15 Februari tahun lalu.
Khairy dilapor mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal pada 9 Februari tahun lalu.
BH
|