Edited by maklukpenggoda at 22-2-2024 08:29 AM
KUALA LUMPUR: Bermodalkan alasan 'janji akan bayar', ramai warga asing terutama pendatang asing tanpa izin (PATI) gagal melangsaikan tunggakan bil perubatan di klinik serta hospital kerajaan sehingga menelan ratusan juta ringgit.
Ini termasuk kos bagi rawatan bersalin, kecemasan, pemeriksaan pesakit luar serta pengambilan ubat, sama seperti yang dinikmati rakyat tempatan yang lain.
Selain memberikan pelbagai helah, ada segelintir warga asing yang terus 'lesap' selepas mendapatkan rawatan sehingga Kementerian Kesihatan (KKM) berputih mata apabila perlu menanggung kerugian, termasuk terpaksa melupus hutang angkara sikap warga asing terbabit.
Sumber KKM memberitahu BH, angka terbaru menunjukkan sehingga akhir 2023, jumlah tunggakan membabitkan bil rawatan warga asing mencecah kira-kira RM100 juta.
"Bila sebut warga asing, ia termasuk mereka berstatus pelarian, sama ada berdaftar atau tidak berdaftar serta pendatang asing tanpa izin yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam.
"Rawatan terpaksa diberikan kepada warga asing atas dasar hak asasi manusia dan simpati, walaupun status mereka dicurigai atau mereka ini PATI sekali pun.
"Meskipun mereka sudah mendaftar dengan kita dan ada membayar deposit terlebih dahulu, akhirnya mereka lolos juga kerana enggan membayar tunggakan bil rawatan yang mungkin melebihi jangkaan mereka.
"Antara alasan yang sering gunakan adalah tiada duit, janji nak bayar kemudian dan ada juga hilang begitu sahaja," kata sumber kepada BH.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, ketika dihubungi mengesahkan jumlah tunggakan itu dan berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.
Ketika ini, beliau berkata pihak pengurusan dan teknikal KKM sedang mengadakan perbincangan mengenai isu berkenaan. Difahamkan, warga asing yang 'berhutang' dengan hospital kerajaan dalam bentuk bil perubatan membabitkan 38 negara sejak beberapa tahun lalu.
Selain negara rantau Asia seperti India, Myanmar dan Indonesia, terdapat juga warga asing terbabit dari negara maju seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Jerman, Finland, Singapura, Sweden dan Jepun.
Mengikut laporan pada 2017, warga asing yang berhutang dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sahaja mencecah RM7.87 juta dalam bentuk bil perubatan berbanding RM3 juta tahun sebelumnya.
Sementara itu, beberapa kakitangan hospital kerajaan yang ditemui BH mengakui isu warga asing culas membayar tunggakan bil rawatan berlaku di semua hospital dan fasiliti di bawah KKM.
Mereka memaklumkan, isu berkenaan sudah lama berlaku dan sampai sekarang, tiada penyelesaian tuntas diambil pihak hospital khususnya KKM.
Sikap mudah simpati
Difahamkan, sikap mudah simpati dan terlalu bertoleransi pentadbir hospital antara punca segelintir warga asing dilihat begitu senang mengambil kesempatan.
Ia diburukkan lagi dengan dakwaan terdapat kelompongan sistem rekod serta pengesanan pesakit warga asing di hospital kerajaaan, membuatkan warga asing dilihat mudah melepaskan diri daripada membayar tunggakan bil perubatan.
Ia dibuktikan dengan kenyataan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dalam laporan 15 April 2017, yang mendedahkan kementerian pada waktu itu tidak menyimpan maklumat pesakit warga asing berdasarkan kewarganegaraan mereka.
Terdapat satu kes membabitkan seorang warga UK yang ditimpa kemalangan jalan raya sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital kerajaan di Lembah Klang untuk mendapatkan rawatan.
Selepas dibenarkan keluar wad, pelancong asing itu mendakwa tiada wang untuk melangsaikan tunggakan bil rawatan berjumlah lebih RM20,000 sambil berjanji akan berbuat demikian apabila pulang ke negaranya.
BH |