Edited by JoyahMengayah at 15-11-2023 05:00 PM
PETALING JAYA – Dituduh hidup bermewah-mewah namun culas membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pelawak Shuib menafikan dakwaan tersebut.
Kata pemilik nama lengkap Shahmira Muhammad, dia menjalani kehidupan seperti sebelum ini yang hanya menumpukan kepada kerja dan anak-anak selain bermain golf.
“Kalau betul rapat dengan saya, tahu saya cuma pergi kerja dan aktiviti luar bersukan adalah bermain golf.
“Saya jalani hidup macam biasa. Ada masa memang ada pergi bercuti bersama keluarga.
“Itu penting. Tidak mungkin saya tidak boleh keluar. Dah kenapa kan?,” katanya dalam sebuah temu bual program hiburan.
Dalam masa sama, penyampai radio Suria FM itu berasakan, segelintir pihak sengaja menambah minyak dalam api pada kala dirinya terpalit dengan isu perniagaan minumannya.
“Tidak faham bila kata berhibur dan bermewah. Itu yang saya pelik kerana tengok kehidupan saya memang tiada pun.
“Benda memang sudah ada salah, jadi orang pun mula mahu tokok tambah cerita.
“Saya tahu diri saya. Kita pun pernah buat salah, jadi saya tidak mahu perkara saya berulang lagi,” jelasnya lagi.
Tuduhan liar tersebut mula tercetus apabila syarikat minuman yang diasaskan Shuib, Bubble Bee dikatakan gagal membayar caruman KWSP dalam tempoh yang ditetapkan susulan tular surat terbuka seorang individu tidak dikenali dalam aplikasi TikTok.
Tidak lama selepas itu, Shuib tampil mengakui bahawa Bubble Bee mempunyai masalah untuk membayar KWSP pekerjanya tetapi menafikan dakwaan tidak membayar langsung.
Tegasnya, pihak Bubble Bee telah membuat rundingan dengan KSWP untuk membuat bayaran caruman secara ansuran selepas mengalami masalah pengurusan kewangan dalam syarikatnya sebelum ini.
|