Post Last Edit by dammerung at 27-12-2010 23:14
Semakin lama, semakin dalam dan semakin jauh motor kapcai 70cc memasuki hutan rimba itu. Disebalik ketakutan yang sedang di alaminya sempat dia merasa hairan, siapa pula yang rajin benar membuat jalan tar masuk ke hutan ini.
Pokok-pokok di kiri dan kanan tinggi melangit. Rimbunan daun-daun di dahan-dahan gergasi menutupi cahaya bulan di langit. Apabila dia mengamati jalan tar tersebut barulah Zaf perasan bahawa ianya sangat lurus seperti tiada penghujungnya. Pokok-pokok gergasi yang mengapitnya pula seakan membentuk satu lengkungan seperti pintu gerbang.
Deruman enjin motornya tidak lagi mengaum. Pemegang bar kembali bergetar begitu juga bunyi batukan enjin dua-lejang kuno yang amat dikenalinya. Dari jauh Zaf ternampak balaman cahaya.
Zaf meneruskan perjalanan menuju ke arah cahaya dan akhirnya jalan tar kecil itu bersambung ke sebuah lebuhraya yang amat besar. Zaf amat terkejut dengan saiz lebuhraya tersebut apabila dia mendapati terdapat tujuh laluan membentangi lebuhraya itu.
Tiang-tiang lampunya pula amat tinggi dan dilengkapi lampu yang amat terang sekali seperti lampu limpah. Zaf terpaksa mengenyitkan matanya apabila dia cuba mencari sumber cahaya lampu tersebut kerana tahap kilauan yang menyakitkan mata. Seperti berada di litar lumba kereta.
“Kiri ke kanan makcik?”
“Kiri”
Sekali lagi Zaf menunggang motosikalnya melalui jalan pelik yang amat asing baginya. Pada mulanya Zaf menyangkakan dia berada di Putrajaya kerana hanya di situ binaan-binaan futuristik ini biasa didapati tetapi Zaf sudah beratus kali merewang di sekitar Putrajaya tetapi tidak pula dia menyedari kewujudan lebuhraya gergasi yang amat pelik ini. Tambahan lagi tiada satu kenderaan pun yang kelihatan.
“Rumah makcik dekat mana?”
“Ikut je papan hijau tu”
Zaf makin bimbang. Di mana pula rumah orang tua ini sehingga perlu memasuki lebuhraya pula. Zaf memandang ke arah sebuah papan tanda berwarna hijau.
Zaf membuntangkan mata, tidak percaya dengan apa yang dilihat.
“MASUK DI SINI” bacaan di papan tanda tersebut.
Zaf memasuki susur masuk di sebelah kiri. Sebuah lingkaran mendaki membuatkan Zaf memulas pendikit dan menukar kepada gear rendah. Apa yang di lihat selepas itu membuatkan Zaf terpaksa memberhentikan motosikalnya.
Dihadapannya tersergam sebuah papan tanda iklan besar yang biasa dilihat di lebuhraya-lebuhraya Malaysia. Tetapi apa yang membuatkan dia ternganga ialah papan tanda tersebut sedang menayangkan filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
“Kamu orang perempuan ni semuanya sama saje. Kalau lakinya pakai baju melayu kau katanya nak pi kahwin. Kalau lakinya pegi meeting balik malam lambat,kau katanya pergi simpan perempuan. Singkat betul la otak kamu orang ni semua. Butang baju aku mana daa?”
“Siapa yang kahwin bang?”
“Kawan aku la, namanya si Jamil. Butang baju aku mana Pah”
“Biar betulllll.....” itu sahaja yang Zaf dapat ungkapkan.
“Cerita P.Ramlee tak pernah tengok?”
“Pernah makcik..tapi..”
“Abis tu yang kau pergi berhenti tengah-tengah jalan ni apasal? Dah dah..gerak cepat aku dah lambat ni” herdik makcik tua yang sudah berubah perwatakannya menjadi seorang perengus.
Zaf meneruskan perjalanan. Mukanya ketat menahan marah kerana diherdik.
“Aku tumpangkan kau pun dah cukup bagus. Tua terkutuk tak sedar diri!” Zaf menjerit kemarahan tetapi cuma di dalam hati sahaja
“MASUK SIMPANG INI PULA” Semakin mengarut papan tanda yang di baca Zaf. Tak mungkin ianya buatan orang yang berniat untuk bermain-main kerana papan segi empat bujur itu diperbuat daripada besi dan di pahat pada besi keluli seperti mana-mana papan tanda rasmi di lebuhraya utama.
Zaf hanya mengikut sahaja panduan yang di berikan oleh makcik tua sebentar tadi. Membelok dia ke sebelah kanan memasuki kawasan perumahan.
Deretan rumah-rumah teres di situ tiada bezanya dengan mana-mana kawasan perumahan kos sederhana yang tumbuh seperti cendawan di Malaysia.Namun begitu apa yang merunsingkan Zaf ialah rumah-rumah tersebut tidak berpenghuni kerana jelas kelihatan kekosongan samada di luar atau di dalam rumah tetapi di setiap laman terdapat sebiji kereta mewah.
Mercedes-Benz, BMW, Audi, malahan Ferrari dan Lamborghini tersusun rapi di perkarangan laman rumah di tutupi pagar-pagar besi yang berkarat.
“Apa ni?..gudang sindiket kereta curi ke apa?” Zaf memalingkan kepala ke kiri dan kanan melihat kereta-kereta mewah bersidaian di sekelilingnya.
“Masuk kanan”
“Lepas tu belok kiri, jalan terus masuk simpang kiri lagi satu”
“Pusing sini”
Pening kepala Zaf mengikut arahan pemboncengnya. Dia merasakan seperti terperangkan di dalam labirin kerana rumah-rumah di situ kelihatan sama sahaja.
Zaf akhirnya keluar dari kawasan perumahan yang mengelirukan apabila dia tiba di sebuah jambatan kayu. Perlahan-lahan dia memandu motosikalnya kerana berada di dalam gelap dia tidak yakin dengan keutuhan jambatan tersebut.
Kini dia berada di dalam kawasan kampung di mana rumah-rumah papan berselerak di sepanjang jalan. Makcik tua itu mengarahkan Zaf memasuki satu denai menuju ke sebuah rumah papan yang sudah agak usang.
Selepas dia menurunkan makcik tua itu, bergegas Zaf memusingkan motosikalnya. Dia ingin segera pulang ke kampus setelah apa yang di alaminya dalam perjalanannya ke sini. Menyesal tak sudah Zaf di dalam hati kerana terpaksa melalui berbagai perkara yang menyeramkan kerana sebatang rokok.
“Masuklah dulu rumah. Rehat-rehat”
“Takpalah makcik, dah lewat ni”
“Aku cakap masuk, masuklah!”
“Makcik. Saya nak balik rumah ok?!” Zaf tidak dapat menahan kemarahannya lagi dengan ragam makcik tua yang begitu menyampah sekali.
“Tau ke jalan balik?”
“Pandai-pandailah saya” sudah malas Zaf hendak melayan karenah makcik tua itu.
Kapcainya pula tidak boleh dihidupkan. Berkali-kali dia menendang starter ke bawah tetapi hanya bunyi enjin semput yang keluar.
“Celaka punya motor, kau jangan menambah masalah aku lagi”
Tidak semena-mena rintik-rintik hujan hinggap di dahinya.
Makcik tua memandangnya sambil tersenyum lebar. Zaf berasa seram apabila melihat senyuman yang begitu lebar dihiasi dengan gigi-gigi panjang yang sudah berkarat. Tak sanggup Zaf melihatnya lama-lama.
“Nanti makcik bagitau macamana nak keluar dari sini”
Mahu tak mahu terpaksalah Zaf singgah sebentar di rumah makcik tua. Berat sahaja kakinya menaiki tangga kayu masuk ke rumah papan itu.
“Duduk dekat dapurlah. Senang sikit makcik nak hidang air”
“Eh tak payah susah-susahla makcik, air kosong je cukup” |