Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan ngeri di Cherng Talay, Phuket pada Jumaat apabila dihempap kepingan kaca dan bingkai seberat 3 tan yang dibawanya.
Pegawai polis tempatan, Leftenan Kolonel Warawut Sensob dari Balai Polis Cherng Talay mengesahkan menerima maklumat mengenai kemalangan ngeri itu pada pukul 2.30 petang (waktu tempatan).
 Chitjit Puengboon dihempap oleh kepingan bersama bingkai kaca di belakang kenderaannya sendiri di Cherng Talay, Phuket, kelmarin. - Foto The Phuket News
Dia mendapati treler tersebut berada di hadapan sebuah gudang besar yang sedang menjalani pembinaan semula.
Mangsa dikenali sebagai Chitjit Puengboon, 44, yang berasal dari wilayah Nakhon Phanom.
Mayatnya ditemui di dalam treler di bawah kepingan kaca yang sangat besar dan setebal beberapa sentimeter.
Melalui bantuan kren di lokasi, kepingan kaca itu diangkat sekali gus membolehkan anggota penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang kemudiannya dibawa ke Hospital Thalang.
Kulchira Phumprathum, 40, yang merupakan pembantu ketua kampung Moo 6 memberitahu bahawa kemungkinan Chitjit berada di bahagian belakang treler ketika kepingan kaca itu dinaikkan.
Sumber: Kosmo |