Bong Guang Yik akhirnya tampil memuat naik video memohon maaf susulan kenyataan berbaur perkauman.
Bekas pemain badminton negara itu yang berkongsi pendapatnya mengenai keadaan semasa badminton di Malaysia mengakui melampaui batas apabila menyentuh soal kaum dan agama, lapor Sinar Harian.
 Bong Guang Yik memohon maaf susulan kenyataan berbaur perkauman menerusi video yang dimuat naik di akaun media sosialnya.
"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak. Sebab saya berkongsi komen itu adalah kerana saya sangat meminati sukan berkenaan.
"Saya rasa saya bertanggungjawab untuk berusaha dan mempertingkatkan sukan dan industri bagi manfaat semua.
"Sebab itu saya kata semua peringkat pengurusan seharusnya dalam keadaan bagus," katanya seperti dipetik laporan media tempatan pada Isnin.
Guang Yik juga akui dia tidak sepatutnya menyentuh isu perkauman.
Guan Yik yang berada di China sebelum ini mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi TikTok.
Berikutan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Isnin membidas kenyataan bekas pemain badminton negara tersebut.
Menurut Hannah, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Guan Yik hanya merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014.
Malah, dia juga sudah tidak menetap di Malaysia. - CARI |