Meskipun hanya bernilai RM150, namun jumlah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi sesi persekolahan 2022/2023 boleh meringankan beban ibu bapa bagi membeli barangan keperluan sekolah anak-anak.
Di sebalik keterujaan itu, segelintir ibu bapa merungut apabila diminta mengisi borang BAP, meskipun sebelum ini Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan bahawa tiada sebarang borang atau dokumen perlu diisi sebelum menerima bantuan tersebut.
Murid-murid Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Kuala Terengganu, Terengganu teruja menerima BAP pada Januari 2015. — Gambar hiasan
Malah, mereka mendakwa masih terdapat birokrasi sebelum memperoleh bantuan persekolahan itu.
Selain itu, mereka turut mempertikaikan sistem digunakan oleh pihak sekolah bagi mengisi maklumat murid yang dilihat agak ketinggalan.
Tangkap layar komen ibu bapa berhubung BAP tahun ini.
Terdahulu, KPM memaklumkan, peruntukan BAP itu dikreditkan ke akaun sekolah dan ia akan diagihkan secara tunai atau dikreditkan ke dalam akaun murid.
Katanya, sekolah diminta mengagihkan wang itu kepada murid sebaik sahaja menerima peruntukan itu.
"Tiada sebarang borang atau dokumen perlu diisi oleh murid atau ibu bapa sebelum menerima BAP.
"KPM juga tidak menyediakan sebarang talian khusus. Segala penjelasan lanjut berkaitan BAP boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan di laman sesawang rasmi KPM," kata KPM.
Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Rompin, Pahang menerima baucar RM100 bagi Bantuan Awal Persekolahan pada Februari 2013. — Gambar hiasan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat memaklumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan BAP bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023.
Sumber: Majoriti |