Sumber IG
Pelakon dan penyanyi, Jasper Supayah yang enggan mencetuskan perbalahan serta membuka aib mana-mana pihak kini lebih selesa bergerak sendiri tanpa dinaungi mana-mana syarikat pengurusan.
Menerusi laporan Berita Harian, wanita berusia 29 tahun itu meninggalkan syarikat pengurusan Dinomey Entertainment (DME) atas beberapa alasan termasuklah tidak profesional dalam mengendalikan beberapa perkara.
"Ia sekali gus mengakibatkan reputasi buruk hingga saya disenarai hitam beberapa syarikat produksi.
"Bagaimanapun, saya tidak bermusuh dengan pemilik DME yang juga pelakon dan penulis skrip, Lyndda Sharudin. Ini kerana Lyndda banyak membantu menaikkan nama termasuk mencari peluang promosi selama tiga tahun.
"Saya kenang jasanya, cuma rezeki bersama hanya setakat ini sahaja," kata wanita kacukan Cina India itu.
Jelas wanita itu lagi, dia sebelum ini turut membantu Lyndda menguruskan syarikat tersebut hingga berada di tahap lebih baik dan kini semakin ramai selebriti menggunakan khidmat DME untuk membantu menguruskan karier mereka.
"Saya akui Lyndda bergelut dan bekerja keras untuk menaikkan nama syarikat pengurusannya.
"Saya berbangga dengan apa yang diusahakan," kata Jasper yang kini menggunakan khidmat pembantu peribadi untuk membantu melancarkan perjalanan karier seninya. - CARI
|