|
Genap empat hari kelahiran anak keenam, Johan memaklumkan akan mendedahkan wajah dan perkembangan si kecil menerusi saluran YouTube miliknya.
Pelawak dan penyampai radio itu berkata, perkongsian hanya di medium berkenaan adalah suatu sama yang dilakukan berkaitan anak-anaknya seperti biasa dibuat sebelum ini.
Foto: Kosmo
“Assalamualaikum. Mungkin ramai tertanya-tanya tentang kelahiran bayi kami. Syukur Alhamdulillah, Ozlynn telah selamat melahirkan anak ke enam kami.
“Nanti apa-apa saya akan maklumkan perkembangan dalam YouTube saya dan bagi tips jaga daripada bayi sehingga ke besar saya akan kongsikan.
“Macam mana saya buat dari cahaya mata yang pertama sampailah anak ke enam ini, semuanya adalah benda (rutin) sama.
“Harap bermanfaat tutorial atau tips untuk dikongsi nanti. Jadi jangan lupa ‘subscribe’ YouTube kami,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian berkenaan, Johan atau nama sebenarnya, Mohd Yazid Lim, 37, hanya menunjukkan si kecil sepintas lalu yang diletakkan di atas tilam bayi rona biru.
Ramai dikalangan teman artis melayangkan ucapan tahniah kepada pasangan itu walaupun rata-rata mengakui tidak tahu mengenai kehamilan terbaru Ozlynn.
Antaranya termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyatakan dapat meneka sesuatu ketika aktres berkenaan menghubunginya, baru-baru ini.
Ada juga pengikut memuji pendirian Johan dan isterinya yang menyimpan kemas hal peribadi terutama membabitkan keluarga apabila langsung tidak membuat sebarang pengumuman.
Pada 3 September lalu serentak hari kelahiran anaknya, pengurusan Era berkongsi khabar gembira di laman sosial mereka sebaik Johan selaku penyampai radio itu menyambut ahli keluarga baharu.
Walaupun tuan punya badan tidak membuat pengesahan mengenai berita tersebut sehinggalah semalam, Instagramnya yang mempunyai lebih 5 juta pengikut dibanjiri ucapan tahniah.
Sementara itu, pada masa sama, Johan yang mengendalikan segmen JoHaRa Pagi Era turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas doa orang ramai serta rakan seperjuangan mereka.
“Terima kasih kepada yang mendoakan kesejahteraan ibu dan bayi.Tidak putus-putus mesej tahniah kami terima.
“Nanti kita belanja gambar bayi okay…Insya-Allah. Tahu-tahu saja sudah bersalin,” katanya lagi yang tidak mampu menyembunyikan rasa teruja.
Terdahulu, rumahtangga Johan dengan Ozlynn Waty atau Rozlinawaty Ismail, 39, diserikan kehadiran Ariq, Sodiq, Haziq, Cantiq dan Moleiq. -CARI
Sumber: Kosmo
|
|