|
NABILA meluahkan rasa geram terhadap pihak yang suka memperlekehkan bentuk badannya.
Gemuk pun popular, bapa saya Amy Search – Nabila Huda
PETALING JAYA – Naik angin dan berang dihina, pelakon Nabila Huda memberi amaran keras kepada individu yang suka membanding-bandingkan bentuk badannya dengan orang lain.
Menerusi satu hantaran dalam Instagramnya, pelakon filem Munafik itu kelihatan geram dan tidak senang apabila mendakwa masih ada pihak memperlekehkan bentuk badannya.
“Saya bagi amaran keras kepada sesiapa sahaja yang suka membanding-bandingkan bentuk badan saya. Lebih baik awak berhenti kalau tidak mahu saya keluarkan kata-kata kesat yang boleh menyakiti hati anda dan keluarga.
“Awak kenal saya, tetapi sebenarnya awak tidak tahu siapa saya yang sebenarnya. Saya bersuara mewakili, sama ada lelaki dan perempuan yang melalui benda ini (fizikal dihina),” katanya.
Dalam hantaran itu juga, Nabila dengan tegas meminta masyarakat supaya berhenti daripada sewenang-wenangnya membuat perbandingan tentang fizikal orang lain.
“Tidak kira macam mana rupa kita, rambut kita, kulit kita dan bentuk badan kita, setiap orang dilahirkan cantik dengan cara mereka sendiri. Berhenti membanding-bandingkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nabila atau nama penuhnya Nabila Huda Suhaimi, 36, turut menyenaraikan beberapa kelebihan yang ada dalam hidupnya walaupun mengakui kini berbadan gemuk.
“Saya gemuk, tapi saya berkahwin, ada suami dan anak. Saya ada rumah, boleh memasak, bahagia, ada kerjaya.
“Saya adalah pemenang aktres terbaik, kulit saya cantik, saya ketawa siang dan malam, hidung saya mancung, bibir saya seksi dan saya dilahirkan popular,” tulisnya dalam Instagram.
Tambahnya lagi, dia turut memiliki tujuh ekor kucing, dua buah kereta dan motosikal serta disayangi semua orang.
“Bapa saya Amy Search (penyanyi terkenal). Awak ada? Awak tidak ada apa-apa,” katanya.
Perkongsian Nabila itu turut mendapat perhatian dan sokongan oleh rakan-rakan selebriti lain antaranya Erma Fatima, Shima Anuar, Daiyan Trisha, Mona Allen, Ika Nabella, Fizo Omar dan Adeline Tsen. – K! ONLINE
|
|