Polis dicadangkan supaya membenarkan waris berhubung dengan tahanan melalui panggilan video (gambar hiasan). Kredit foto: Grandstream
Pemimpin DAP Melaka yang selalu mencetuskan kontroversi, Datuk Norhizam Hassan Baktee melontarkan cadangan luar biasa bagi membolehkan waris berhubung dengan individu-individu yang ditahan polis.
Memetik laporan Sinar Harian pada 27 Oktober, beliau yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka menyarankan panggilan video digunakan bagi tujuan berkenaan.
Beliau juga kecewa kerana kecanggihan teknologi tidak digunakan oleh pihak berkuasa bagi memudahkan urusan kedua-dua pihak untuk berhubung.
"Kepesatan teknologi perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan bukan dengan kaedah lama.
"Sebagai contoh, polis menahan beberapa individu dari Melaka yang dikaitkan terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam), saya perlu menyewa MPV (kenderaan pelbagai guna) untuk membawa ahli keluarga mereka berjumpa dengan tahanan itu," katanya.
Norhizam turut bertemu dengan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. Kredit foto: Facebook
Norhizam percaya panggilan video boleh dilakukan di mana-mana balai polis berdekatan manakala waris serta tahanan diberi masa 10 minit untuk berhubung sambil dipantau oleh polis.
Sementara itu, memetik status dalam laman Facebook beliau, isu video tular tentang kekecohan yang dicetuskannya di sebuah pondok polis baru-baru ini telah memberi kesan positif.
"Antaranya ruang menunggu untuk pelawat dan kafeteria telah disediakan di IPK berkenaan dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PDRM atas inisiatif yang dilaksanakan," katanya.
Macam-macam idea YB Norhizam, pemikiran beliau memang sungguh di luar kotak. - CARI |