|
Pesta Pulau Pangkor ialah pesta pertama di Malaysia yang menggabungkan keindahan pulau dan budaya komuniti. Tahun ini menandakan pesta yang kelima di pulau ini. Pesta ini dianjurkan oleh Oriental Art & Cultural Centre (OACC) dengan tajaan Elken Foundation dan kerjasama Persatuan Usahawan Pelancongan & Kebudayaan Malaysia.
Pesta ini juga diiktiraf oleh kerajaan negeri seperti Tourism Perak. Malah, pesta ini juga disokong dan ditaja oleh Pejabat Ekonomi dan Budaya Taipei di Malaysia.
Pesta Pulau Pangkor 2019 akan disambut selama 3 hari mulai 13 hingga 15 September bertemakan “Dialog Pulau: Pesta Gabungan Budaya dan Seni Kepulauan”.
Oleh itu, buat julung kalinya pesta ini akan menyaksikan dialog dan lawatan sambil belajar artis-artis dari negara-negara kepulauan seperti Taiwan, Macau, Jepun dan Korea ke Pulau Pangkor.
Antaranya, pesta ini turut mengundang Kumpulan Teater Getdol dari Korea yang berpengalaman 30 tahun dalam bidang persembahan budaya rakyat, Jun Sakima artis Sanshin (sejenis alat muzik tradisional Jepun) dariOkinawa, Jepun.
Kali ini, pasukan artis dari Taiwan akan memberi tumpuan kepada budaya Orang Asli, seperti Siva9 Band yang terdiri daripada orang asal Amis di Taiwan, artis seni pemasangan Mei-Yi Liou dan Anchi Lin dari Taiwan.
Di samping itu, pasukan Festival Kesenian Pulima Aboriginal juga akan berkongsi pengalaman mereka di festival seni kebudayaan. Bagi Macau, Persatuan Tarian Ieng Chi yang berpakar dalam kegiatan tarian dan teater kontemporari, dan Macao Heritage Ambassadors Association dan Creative Links yang mempromosikan warisan budaya dan industri kreatif tempatan akan hadir pada hari tersebut.
Artis-artis Malaysia yang menyertai pesta ini termasuk Orang Orang Drum Theatre, Yap Hong Ngee, Lee Mok Yee, Kim Teoh dan kumpulan penduduk tempatan yang pernah mewakili Malaysia untuk mempersembahkan Tarian Ikan Pangkor di Taiwan, Macau dan Korea.
Selain persembahan seni, para pengunjung Pesta Pulau Pangkor 2019 juga dapat mengalami cara hidup tempatan seperti menikmati masakan tempatan, mengenali industri perikanan dan pembuatan kapal di pulau ini. Dengan kata lain, pesta ini merupakan interaksi pelbagai budaya kepulauan untuk membina persefahaman.
Tambahan lagi, pihak penganjur, para peserta dan perwakilan juga akan turut menandatangani Memorandum Pelan Gabungan Pesta Pulau yang bermatlamat meningkatkan pertukaran seni dan budaya antara negara-negara kepulauan, mendalami perbincangan mengenai pembangunan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar untuk mewujudkan ekologi sosial yang lebih berciri lokal, mesra alam, berbagai-bagai dan seimbang.
Pesta Pulau Pangkor 2019 akan tertumpu di kawasan Sungai Pinang Kecil untuk memudahkan para pengunjung. Kebanyakan aktiviti dan lokasi tarikan terletak dalam jarak beberapa minit perjalanan kaki. Aneka acara dan aktiviti menanti para pengunjung, termasuk seni pemasangan yang menarik, pameran, persembahan muzik, tayangan filem, bazar kreatif, bengkel dan lain-lain lagi.
Malah, pihak penganjur juga bekerjasama dengan Go Kaki, sebuah kumpulan yang berpengalaman dalam pemelihara warisan komuniti, telah mengumpul dan mencatatkan rekod sejarah perkembangan perusahaan tradisional Pulau Pangkor seperti kilang ikan bilis, kilang ais dan kilang pembuatan kapal untuk tatapan para pengunjung.
Pesta Pulau Pangkor 2019 ialah suatu inisiatif usaha sama seniman, aktivis seni dan pertubuhan komuniti yang melangkaui sempadan negara untuk mengeratkan jalinan sesama insan dan menyerlahkan keistimewaan Pulau Pangkor, sebuah pulau, komuniti dan warisan negara kita. |
|