Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mayat mangsa, Brian Patrick O' Reilly, 51, ditemukan dalam keadaan tangan dan kakinya terikat oleh pihak pengurusan kondominum tersebut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, polis mendapati suspek telah meninggalkan sekeping nota.
"Suspek menyatakan dia tidak berpuas hati dengan mangsa kerana terbabit dalam sindiket penipuan 'scammer' yang telah menipu wang adik perempuannya.
"Dipercayai berlaku pergelutan di antara suspek dan mangsa sebelum mangsa dibunuh serta kepala mangsa juga didapati dipukul dengan objek keras dipercayai kuali," katanya, di sini hari ini.
Menurut Che Zaimani, pemeriksaan di dalam rumah mangsa mendapati peti besi di dalam bilik mangsa juga telah diselongkar.
"Pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan suspek dan kita telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
"Mangsa dipercayai baru membuka pejabatnya di negeri ini dua minggu lalu," katanya.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE