Tindakan seorang lelaki menolak masuk anak saudaranya ke dalam mesin basuh dobi layan diri sebagai gurauan membawa padah apabila kanak-kanak itu terperangkap di dalamnya selepas pintu mesin berkenaan terkunci.
Memetik Harian Metro, kejadian berlaku di Bukit Sentosa, Rawang, malam Isnin. Namun, ibu mangsa yang datang bersama mereka ke dobi berkenaan untuk membasuh pakaian tidak menyedari kejadian itu.
Kredit foto: FB Metafora Anafora
Difahamkan, beberapa individu berada di lokasi kejadian cuba membantu dengan memecahkan cermin pintu mesin basuh berkenaan.
Menurut pemilik kedai dobi berkenaan, Hazmal Hassan mengesahkan ada menerima panggilan daripada bapa mangsa yang menghubungi pengurusnya bagi menyelesaikan ganti rugi akibat kejadian.
"Berdasarkan maklumat yang saya terima, kanak-kanak itu bergurau dengan bapa saudaranya yang berusia lingkungan umur 20-an.
"Secara tiba-tiba, lelaki itu memasukkan kanak-kanak itu ke dalam mesin basuh sebelum pintu mesin terkunci dan tidak dapat dibuka," katanya.
Tambahnya, beberapa pekerja restoran bersebelahan kedai dobinya yang cuba membantu terpaksa memecahkan cermin pintu mesin basuh untuk menyelamatkan kanak-kanak itu selepas usaha membuka pintu gagal.
Kredit video: FB Metafora Anafora
"intu mesin itu lazimnya akan terkunci secara automatik apabila dimasukkan syiling serta apabila butang 'mula' atau butang 'start' ditekan.
"Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku, namun masalah di sini adalah ia bukan saja menyebabkan saya kerugian hampir RM3,000 sebaliknya nyawa seorang kanak-kanak hampir melayang," katanya.
Mangsa bernasib baik mesin basuh tidak berputar mungkin kerana lebih muatan.
Bagaimanapun, Hazmal tetap membuat laporan polis supaya siasatan boleh dilakukan ekoran keselamatan dan nyawa seorang kanak-kanak terancam. - CARI |