|
Kalau dilihat dalam mana-mana media sosial, Aznil Nawawi tidak pernah mendedahkan wajah anak-anaknya untuk tatapan umum. Kenapa agaknya, ya?
Memetik mStar Online, tindakan Aznil atau Pak Nil itu adalah kerana dia benar-benar menghormati privasi anaknya yang tidak gemar berdepan dengan lensa tambahan pula ayahnya merupakan antara individu popular di Malaysia.
Foto: IG Aznil Nawawi
Aznil tidak mahu anak-anaknya dikecam netizen sehingga membuatkan mereka terluka. Memang sukar mengawal tohmahan netizen dan itu adalah cara terbaik untuk tidak mendedahkan keluarga untuk tatapan umum.
"Saya sudah terbiasa dengan komen negatif daripada netizen, tetapi anak-anak belum tentu boleh terima. Faham sajalah sikap segelintir netizen ini yang kadang-kadang perkara kecil pun mereka akan kritik.
"Tambahan pula, mereka sangat privasi orangnya dan saya tidak mahu melukakan hati anak-anak dengan komen netizen sekiranya mereka baca," katanya pada Mstar Online.
Terbaru, Aznil dilantik menjadi duta Festival Kanak-Kanak Lola Baba dan anak bongsunya, Firdaus Hariz turut terlibat sebagai Presiden Kelab Kanak-Kanak Lola Baba.
Dia sendiri tiada niat untuk menyembunyikan anak-anaknya, namun itu adalah permintaan mereka untuk tidak berdepan dengan sesiapa. Aznil dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Fildza Haifa, 28, Fariq Haizen, 24 dan Firdaus Hariz, 10 tahun.
"Selama ini, jika ada pihak media yang ingin membuat sesi fotografi saya bersama anak-anak, saya tak pernah tolak tetapi anak-anak yang tidak mahu.
"Sebagai bapa, saya hormati keputusan mereka yang tidak mahu menonjolkan diri dalam bidang yang saya ceburi.
"Kebiasaannya, jika ada tawaran saya akan bertanya mereka terlebih dahulu sama ada mereka setuju atau tidak dan kebiasaannya mereka akan menolak," ujarnya.
Anak bongsunya itu seorang yang periang, banyak bercakap dan mempunyai kecenderungan dalam bidang seni tambahan pula dia suka berfesyen.
"Berbeza dengan abang dan kakaknya. Firdaus suka kepada bidang seni, malah seorang yang banyak bercakap dan periang!
"Dia berani kehadapan dan suka berada di atas pentas untuk menyatakan pandangannya.
"Apabila dia dilantik sebagai presiden Kelab Kanak-Kanak Lola Baba, saya tahu dia boleh melakukannya kerana dia memang berani dan suka memimpin," katanya.
Kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Mesti anak bongsu Aznil ini bakal mewarisi sikapnya. Tengok gaya pun sudah tahu! - CARI
|
|