|
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik saman fitnah terhadap Pengarah Urusan Harakah dan Ketua Pengarang portal Harakahdaily berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
BH Online melaporkan, peguam yang mewakili Najib, Nor Emelia Mohd Iszeham berkata, saman fitnah itu ditarik balik tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula, namun tidak mendedahkan terma lain berkaitan penarikan balik saman berkenaan.
Foto: BH Online
Najib pada 18 Mac 2015 memfailkan saman itu dengan menamakan Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob, dan Ketua Pengarang portal Harakahdaily, Taufek Yahya, berhubung penerbitan sebuah artikel ditulis Rosli pada 19 Februari 2015 dalam Harakah serta Harakahdaily.
Dalam pernyataan tuntutannya, Najib mendakwa artikel berkenaan memfitnahnya menyalahgunakan dana 1MDB hingga menyebabkan reputasinya terjejas dan menerima pelbagai kecaman menghina dan mengaibkan.
Dakwanya, artikel itu sengaja diterbitkan dengan niat menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya demi meneruskan agenda defendan.
Foto: AFP
Sebelum ini, Najib turut menarik balik saman terhadap Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee, dan bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik berhubung isu 1MDB serta salah guna dana kerajaan. - CARI |
|