Sebuah rakaman video kes buli pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak tersebar dengan meluas di media sosial sejak semalam.
Video berdurasi 1 minit 39 saat itu memaparkan mangsa ditumbuk oleh seorang pelajar perempuan sebelum beberapa orang lagi rakannya masuk campur dan turut menendang mangsa bertubi-tubi.
Kredit video - Wowberita (Official)
Mangsa cuba lari namun terus dibelasah sehingga rebah ke tanah kemudian dipijak dan ditumbuk tanpa belas kasihan. Mangsa merayu supaya diselesaikan dengan cara baik namun pembuli-pembuli itu terus memukul mangsa.
Ketika memukul mangsa, ada yang ketawa dan tak kurang juga yang sibuk merakam pergaduhan tersebut dengan menggunakan telefon bimbit mereka.
Lebih menyakitkan hati, pembuli-pembuli tersebut dikatakan sempat "wefie" selepas membelasah mangsa.
Video tersebut menerima kritikan hebat dari netizen, rata-rata menyeru agar pihak berkuasa menyiasat kejadian imi dan mengambil tindakan secepat mungkin.
Ketua Polis Daerah Kunak Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.
“Kejadian itu benar dan polis menyiasatnya,” katanya.
Kebiasaannya perlakuan buli lebih cenderung berlaku dalam kalangan pelajar lelaki, tapi kini gejala buli sudah mula "diminati" oleh pelajar perempuan.
Jesteru, cadangkan hukuman paling setimpal untuk kes buli agar gejala kurang sihat ini tidak terus menular di kalangan pelajar. - CARI
|