|
Berikutan hujan lebat yang berterusan menyebabkan struktur landasan terjejas dan tidak dapat dilalui di Km 392.5 antara Bukit Abu-Dabong, Kuala Krai pada pukul 9.30 malam, Sabtu lepas.
Namun demikian, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjangkakan gangguan perkhidmatan tren Intercity di laluan pantai timur yang berlaku sejak semalam akan kembali pulih Jumaat ini.
Memetik laporan Bernama, KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, semua perkhidmatan tren antara laluan Dabong-Kuala Krai-Dabong yang digantung sementara telah bermula semalam.
Manakala, disebabkan kerja-kerja membaik pulih landasan sedang giat dijalankan, jadi operasinya bagi semua perkhidmatan tren 'shuttle' hanya akan beroperasi antara Kuala Lipis-Dabong dan Kuala Krai-Tumpat.
Susulan kejadian itu, perkhidmatan Ekspres Timuran no.26 (JB Sentral-Tumpat) hanya disediakan dari Stesen JB Sentral hingga Stesen Gua Musang.
Bagi penumpang yang ingin meneruskan perjalanan dari Stesen Gua Musang ke Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat dengan menggunakan bas yang disediakan oleh KTMB, manakala bagi penumpang ke Stesen Dabong boleh menggunakan tren tempatan.
“Bagi perkhidmatan Ekspres Timuran no.27 (Tumpat-JB Sentral) pula, penumpang akan menaiki tren dari Stesen Tumpat dan stesen-stesen perantaraan (Wakaf Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah) ke Stesen Kuala Krai."
“Dari Stesen Kuala Krai, penumpang akan dibawa menaiki bas menuju ke Stesen Gua Musang dan mereka akan meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral menggunakan tren,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut kelewatan tren dijangka melebihi dua jam dan penumpang boleh membuat pemulangan tambang atau menukar tarikh perjalanan.- CARI
sumber foto: Bernama |
|