PETALING JAYA: Hasrat personaliti televisyen iaitu Fara Fauzana untuk berkahwin pada 17 September ini tidak kesampaian apabila majlis berkenaan dibatalkan.
Fara atau nama sebenarnya Fara Fauzana Mohd Fadzli, 36, berkata, keputusan membatalkan perkahwinan itu dibuat atas sebab-sebab peribadi yang tidak boleh dikongi olehnya.
“Dengan penuh rasa dukacita, saya ingin memaklumkan bahawa hasrat saya untuk menamatkan zaman bujang pada 17 September ini dibatalkan.
“Keputusan membatalkan pernikahan saya dengan pemuda bernama Hafiz, seperti yang saya umumkan pada sidang akhbar pada 1 Ogos lalu, dibuat atas sebab-sebab yang terlalu peribadi” katanya kepada mStar Online pada Ahad.
[SILA KLIK] Fara Fauzana Sahkan Bakal Berkahwin Pada 17 September
Jelas Fara keputusan itu adalah sesuatu yang sukar baginya.
Katanya setelah memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya selain memohon petunjuk daripada Allah, membincangkan bersama orang tua dan keluarga terdekat, keputusan dibuat itu adalah terbaik.
“Sesungguhnya saya yakin bahawa apa yang berlaku ini semuanya adalah ketentuan Allah dan tentu sekali ada hikmah yang menanti,” katanya.
Fara menambah, kenyataan yang dibuatnya itu secara tidak langsung akan menjawab pertanyaan segelintir pihak media yang barangkali sudah menghidu berita berkenaan.
Katanya, ketika ini dia sedang melalui situasi yang amat sukar dan memerlukan sedikit ruang untuk menenangkan fikiran.
“Justeru, saya mungkin tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan lanjut daripada rakan-rakan media.
“Saya amat berharap dan percaya, rakan-rakan media amat memahami situasi saya ketika ini,” tambahnya.
THROWBACK
Seorang sumber lain memberitahu, pernah menemui Fara bersama seorang pemuda yang dikatakan menjalankan perniagaan dalam bidang perhotelan milik keluarganya di London.
Terdahulu, Fara mengumumkan akan mendirikan rumah tangga pada 17 September ini, namun memilih merahsiakan identiti bakal suaminya.
Menurut Fara, bakal suaminya dikenali sebagai Hafiz dan berusia lingkungan 30-an.