|
KUALA LUMPUR: Anggota keluarga banduan beragama Islam dibenarkan melawat mereka pada hari raya ketiga dan keempat sempena Hari Raya Aidilfitri. Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Bahagian Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara, Supri Hashim, berkata lawatan itu adalah untuk banduan di semua penjara, pusat pemulihan akhlak dan Sekolah Henry Gurney dengan waktu perjumpaan ditetapkan mulai jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang.
"Bagi memudahkan urusan lawatan, pelawat diminta membawa kad lawatan dan kad pengenalan masing-masing. Mereka tidak dibenarkan memberi sebarang makanan serta minuman untuk penghuni, melainkan yang dibeli dari kantin penjara," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Supri juga mengingatkan pelawat supaya tidak memberi wang kepada penghuni kerana semua kemudahan asas disediakan oleh Jabatan Penjara dan sekiranya ingin berbuat demikian atas urusan tertentu seperti yuran peperiksaan, ia hendaklah mendapatkan resit rasmi sebagai akuan penerimaan. Pelawat tertakluk kepada akta dan peraturan penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika masuk dan keluar dari penjara. - BERNAMA
|
|