CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1411|Reply: 0

Islam: Antara UK dan Malaysia

[Copy link]
Post time 7-8-2013 04:00 PM | Show all posts |Read mode
SYAHREDZAN JOHAN AUGUST 7, 2013

Ramadhan kali ini cukup mencabar. Begitu banyak isu yang timbul yang menguji toleransi umat Melayu-Islam di negara Malaysia. Malangnya, reaksi kita terhadap isu-isu yang timbul ini tidak memberikan gambaran yang baik kepada bukan Islam mengenai agama yang umat Melayu-Islam anuti.

Kita sering berkata bagaimana Islam itu agama yang indah dan adil, tetapi kelakuan kita yang kononnya di atas nama agama kita langsung tidak mencerminkan realiti ini.

Penulis bernasib baik kerana berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. 3 tahun penulis menimba ilmu di Cardiff, United Kingdom cukup memberi pelbagai pengajaran kepada penulis. Di tanah British itu, penulis hidup sebagai seorang asing dan juga sebagai golongan minoriti. Penulis sedikit sebanyak dapat merasakan bagaimana kehidupun sebagai seorang minoriti di sebuah negara yang majoritinya berbangsa dan beragama lain.

Ironiknya, syiar Islam di tanah Barat itu jauh lebih dirasai berbanding di tanah Melayu-Islam ini. Di dalam sebuah masyarakat yang matang, demokrasi yang sudah dipupuk sekian lama dan penghargaan tentang hak asasi manusia yang berada di tahap yang tinggi, Islam berkembang dengan mekar.

Ini terbukti, apabila data bancian yang keluar bagi tahun 2011 menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang paling pesat berkembang di England dan Wales. 2.7 juta penganut agama Islam, peningkatan daripada 3.0 peratus ke 4.8 peratus sepanjang 10 tahun. Islam kini merupakan agama yag kedua terbesar di United Kindgom. Sebagai bandingan, mereka yang mengatakan bahawa mereka menganut agama Kristian (tanpa mengira denominasi) telah menurun daripada 72 peratus ke hanya 56 peratus.

Perkembagan pesat ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya, faktor migrasi individu-individu dari negera-negara Islam ke United Kingdom itu sudah tentu akan memperbanyakkan lagi penganut agama Islam di England dan Wales. Tetapi migrasi ke dalam United Kingdom pada dekad yang lalu didominasi oleh mereka yang berasal dari Eropah Timur.

Maka peningkatan sebanyak 1.8 peratus ini, jika kita bandingkan bersama-sama dengan data penurunan penganut agama Kristian pada tempoh yang sama, kita boleh buat kesimpulan bahawa terdapat juga mereka yang beragama lain yang telah memeluk agama Islam yang menyumbang kepada perkembangan agama tersebut dengan pesat di United Kingdom.

Di negara ini pula, kita sering mendengar bahawa kononnya begitu banyak Melayu-Islam yang telah meninggalkan Islam. Jika ini benar, pernahkah kita bertanya mengapa di sebuah negara Barat seperti United Kingdom Islam boleh berkembang dengan pesat, tetapi di sini, yang mana Islamnya telah diinstitusikan, kita berhadapan dengan situasi yang sebaliknya?

Di United Kingdom, tidak banyak masjid yang gah. Tidak ada masjid canggih diperbuat daripada besi atau kristal. Ada masjid yang merupakan rumah, dewan atau gudang yang diubahsuai. Ada masjid yang dahulunya adalah gereja. Jangan harap dapat mendengar azan dari rumah anda, apatah lagi ceramah agama berjam-jam yang dibesarkan ke seluruh kawasan perumahan. Islam di sana tidak mendapat dana kerajaan.

Tidak ada kementerian atau jabatan kerajaan yang khusus untuk memajukan dan mentadbir perkara-perkara berkenaan dengan agama Islam. Tidak ada undang-undang khas, Mahkamah khusus dan tidak ada status istimewa berbanding dengan agama-agama lain.

Namun, Islam tetap berkembang di bumi Britain.

Yang menjamin bahawa penganut agama Islam dapat mengamalkan agama mereka tanpa gangguan dan kemudian mengembangkan agama mereka hanyalah satu – hak asasi manusia yang menjamin kebebasan beragama. Hak untuk bebas beragama ini merupakan sebahagian daripada korpus undang-undang United Kingdom. Ironik, bukan? Hak asasi manusia yang mempunyai pelbagai konotasi negatif di Malaysia telah menjamin dan melindungi Muslim di United Kingdom.

Ada sesuatu yang tidak kena dengan perlakuan kita di negara ini. Bukan dengan agama Islam, tetapi cara kita sebagai Melayu-Islam mengamalkan Islam di negara ini. Apabila kita Melayu-Islam melakukan sesuatu yang buruk dan kita laungkan kononnya ia dilakukan atas nama agama, maka sedikit sebanyak agama kita yang terkena percikannya.

Kita jangan fikir bahawa hanya kerana kita majoriti, hanya kerana Islam ditadbir oleh kerajaan dan hanya kerana Islam dinyatakan sebagai agama Persekutuan Malaysia, maka kita lebih berhak daripada mereka yang menganut agama lain. Di United Kingdom, hanya mereka yang beraliran sayap kanan dan ekstrim akan berhujah bahawa United Kingdom adalah negara majoriti Kristian maka sensiviti Kristian harus dijaga. Itupun mereka akan cuba kaitkan dengan nasionalisme dan anti-imigrasi.

Di Malaysia, mentaliti berhak (entitlement mentality) ini bagai digalakkan, apatah lagi apabila politikus dan institusi kerajaan memperkukuhkan lagi tanggapan bahawa Melayu-Islam itu lebih berhak.

Mungkin kita hanya akan sedar sekiranya kita berada di dalam situasi di mana kita adalah minoriti. Mungkin pada ketika itu, kita akan menghargai hak-hak kita yang dijamin, walaupun kita bukan majoriti. Mungkin barulah kita dapat memahami bahawa majoriti tidak menghalalkan pencabulan hak minoriti. Malahan, adalah menjadi tanggungjawab golongan majoriti untuk memastikan hak minoriti dilindungi.

Mungkin sekiranya agama itu dibebaskan daripada politik dan daripada manipulasi institusi kerajaan, barulah kita boleh memberi fokus kepada perkara-perkara yang lebih penting. Bukannya ghairah dengan menghendap rumah orang, memantau pertandingan ratu cantik atau menangkap orang yang bela anjing.

Mungkin kita perlu belajar daripada saudara seagama kita di United Kingdom.


- See more at: http://www.projekdialog.com/feat ... thash.37UnwUVJ.dpuf
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-2-2025 05:01 PM GMT+8 , Processed in 2.294444 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list