View: 2681|Reply: 0
|
Lotus cars, kini punya premis sendiri
[Copy link]
|
|
Hampir 15 tahun Lotus di ambil alih oleh Proton Holdings Berhad (Proton), baru kini secara rasminya Lotus memiliki pusat pameran pertamanya di Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
Seperti yang kita ketahui sejak Proton membeli sepenuhnya saham Group Lotus plc (Group Lotus) , syarikat automotif tempatan tersebut agak sukar untuk mengaut keuntungan. Isu ini agak ‘lapuk’, sebut sahaja tentang Proton, umumnya rakyat sudah mengetahui Proton ibarat menyimpan kapal yang bakal karam bila-bila masa sahaja.
Malah, Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di majlis pelancaran berkenaan secara jujurnya menyatakan Lotus pernah menjadi beban kepada Proton.
“Lebih menyedihkan lagi apabila sepanjang pemilikannya dalam tempoh 15 tahun, syarikat itu gagal menjana keuntungan kepada Proton,” katanya.
Malah ujarnya ia bertambah sukar untuk mengendalikan syarikat automotif British berkenaan selepas kematian pengasas dan bekas Pengerusi DRB-Hicom Bhd (DRB-HICOM), Tan Sri Yahaya Ahmad yang merupakan tokoh korporat yang bertanggungjawab menjayakan urus niaga pembelian Lotus pada 1996.
Dan kini pengurusan Proton kembali semula kepada DRB-Hicom selepas berjaya membida saham syarikat tersebut yang dijual oleh Khazanah Nasional Berhad tahun lalu sekali gus mengetepikan tiga syarikat lain.
Namun ia tidak mudah bagi DRB Hicom untuk memulihkan Group Lotus dalam tempoh dua tahun.
“Inilah cabaran buat pengurusan kami,” kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM dan Pengerusi Eksekutif Proton, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.
Pelancaran dua model Lotus
Sebagai pembukaan tirai 2013 juga, dapat dilihat DRB- Hicom memulakan langkah pertamanya dengan membuka pusat pameran Lotus Cars Malaysia di atas tanah seluas 10,520 meter persegi. Langkah tersebut adalah tepat pada masanya untuk mengukuhkan semula jenama tersebut.
Lotus Cars adalah pengeluar kereta sports dan perlumbaan. Syarikat British tersebut membangunkan dan mereka bentuk kenderaan yang memiliki ciri badan ringan dan kawalan terbaik.
Untuk pengetahuan, empat huruf yang terdapat di tengah logo Lotus ialah singkatan kepada nama pengasasnya, Anthony Colin Bruce Chapman. Terdapat sebanyak 140 buah bilik pameran Lotus di seluruh dunia dengan 65 peratus daripadanya merupakan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti).
Seiring pembukaan pusat pameran bernilai RM7juta itu, Lotus Cars Malaysia turut melancarkan dua model Lotus di Malaysia iaitu Exige S dan Elise S. Jentera sport Exige S didatangkan dalam dua varian iaitu roadster dan coupe di mana kerangka kedua-dua model itu diperbuat daripada aluminium.
Kedua-dua varian menggunakan enjin melintang 3.5 lliter DOHC V6 dual VVT-I dengan pengecas lampau Harrop HTV 1320 berserta teknologi Eaton TVS. Untuk penghantaran kuasa lancar, ia dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan.
Kereta supercar berkenaan mampu menghamburkan kuasa maksimum 345hp pada 7000rpm dan tork 400Nm pada 4500rpm. Sementara kelajuan maksimumnya mampu mencecah 274 kilometer sejam (km/j) dan bagi roadster 233 km/j.
Exige S dengan reka bentuk aerodinamik dilengkapi pakej kit pemisah angin bahagian hadapan, peresap dan spoiler belakang. Melihat ke bahagian kabin, kita ketahui Lotus mementingkan keringanan badan dan pengendalian kawalan yang terbaik, oleh itu susun atur dalam Exige S cukup ringkas dan penggunaan material aluminium dapat dilihat terang-terangan.
Sementara itu, Elise S pula dilengkapi enjin melintang DOHC DVVT-I dengan pengecas lampau Magnuson R900 berserta teknologi Eaton TVS bersama kotak gear manual enam kelajuan.
Model itu berupaya memecut dari sifar hingga 100km dalam tempoh 4.6 saat. Kuasa maksimum mencapai 217hp pada 6,800rpm dan tork puncak adalah 250Nm pada 4,600rpm.
Harga jualan varian roadster Lotus Exige S adalah RM452,030 . Versi coupe pula berharga RM467,230 seunit. Lotus Elise S ditawarkan pada harga RM332,300. Kesemua harga yang disebutkan tidak termasuk insurans.
Jaminan ditawarkan untuk kenderaan Lotus adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000km (yang mana tiba dahulu).
|
|
|
|
|
|
|
| |
|