MEMILIKI jentera merah dengan logo kuda hitam di bonet hadapan adalah satu fantasi yang diimpikan oleh sesiapapun.
Namun berpijak di bumi yang nyata, nilai seunit yang mencecah jutaan ringgit, jentera supercar buatan Itali itu hanyalah untuk golongan elit.
Ferrari merupakan sebuah syarikat yang taksub dengan kelajuan dan prestasi. Bahkan pertama kali penglibatannya dalam dunia automotif, jentera Ferrari dibangunkan bukanlah untuk kereta jalanan.
Pengasasnya sendiri, Enzo Ferrari pada mulanya tidak berminat dalam idea penghasilan kenderaan jalanan semasa beliau membentuk Scuderia Ferrari pada 1928. Minatnya hanyalah menaja pemandu kereta dan pengilang kereta lumba sebelum berpindah kepada pengeluaran kereta jalanan sebagai Ferrari SPA pada 1947.
Dan jentera jalanannya yang pertama dihasilkan 125 S, dikuasakan enjin 1.5 liter (L) V12. Kemudian pada 1988, sebelum menutup mata, Enzo berpeluang menyaksikan pelancaran F40 Ferrari. Boleh dikatakan salah satu antara supercars terkenal. Dari 2002 hingga 2004, Ferrari memperkenalkan model Enzo yang namanya diambil dari pengasasnya sendiri. Enzo adalah model Ferrari terpantas pada masa itu. Cuba mengekalkan takhta kereta terpantas dunia, mereka kembali sekali lagi menerusi model F12Berlinetta. Ia pertama kali ditayangkan kepada dunia pada Geneva Motor Show 2012. Ketika itu, ia dinobatkan sebagai kereta sports terpantas dunia. Tetapi, F12Berlinetta jatuh nombor dua dikalahkan sendiri oleh abangnya, LaFerrari yang baru sahaja muncul di Geneva Motor Show Mac lalu.
Namun di Malaysia, F12Berlinetta setakat ini adalah kereta terpantas. F12Berlinetta pertama kali tiba di Indonesia pada September 2012 sebagai negara pertama Asia Pasifik membawa masuk model berkenaan.
Apa yang menjadikan ia berlari laju? Langkah pertama Ferrari adalah untuk mengecilkan jentera Italia berkenaan: Dari segi enjin, papan pemuka dan kerusi telah direndahkan kedudukannya. Bentangan F12 kali ini lebih rendah, kecil dan pendek berbanding pesaingnya. Kereta Ferrari F12Berlinetta juga lebih pendek 47 milimeter (mm), lebih rendah (-63 mm) dan sempit (-20 mm) dibandingkan dengan versi coupe V12.
Seterusnya tentulah mengutamakan pengurangan berat badan. Model F12Berlinetta 2013 ini lebih ringan 70 kilogram (kg) dengan pusat graviti lebih rendah 25mm.
Usaha penting dalam rancangan pengurangan berat badan ini telah menjadikan Ferrari sebagai pusat pakar dalam pembangunan dan penggunaan aloi aluminium. Menerusi penggunaan strategik 12 aloi berasingan yang digunakan dalam pembangunan casis dan badan. Ia menyumbang kepada berat F12Berlinetta dengan 1630kg.
Powertrain Ferrari F12Berlinetta
Model supercar ini dibekalkan enjin V12, 6.3L yang mampu mengerahkan tenaga 740 PS pada 8500rpm dan tork maksimum 690Nm pada 6000rpm. Malah di atas kertas, jentera Ferrari berkenaan mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 3.1 saat dengan kelajuan maksimum 340km/j. Selain itu, tingkat kerja Ferrari F12Berlinetta memberikan kecekapan yang luar biasa, di mana penggunaan bahan bakar dan emisi yang sekarang 30 peratus lebih rendah berkat sistem Stop & Start, “Smart” alternator dan sistem pengapian Multispark.
Dari segi aerodinamiknya juga memang bukan sembarangan kerana menggunakan teknologi CFD (computational fluid dynamic) yang diuji lebih 250 jam di Terowong Angin.
Serta jentera paling aerodinamik dengan downforce telah didorong hingga 76 peratus (123 kg pada 200 km/j dan Cd 0.299).
Untuk keselamatan ia dilengkapi sistem brek baharu yang mampu menghentikan kenderaan itu pada kelajuan 200 km/j pada jarak 131 meter.
Dari segi harga pula, tetap saja tidak dapat dipukul rata kerana secara praktikalnya ia tergantung kepada pilihan pembeli. Hadir dengan warna Rosso Berlinetta dan Aluminium, harga F12 ialah RM3.2 juta.
Untuk tahun ini Naza Italia menyasarkan jualan 10 unit F12Berlinetta di mana tiga unit sudah ditempah.
Untuk pertama kalinya juga, pengeluar automotif memperkenalkan program penyelenggaraan percuma seluruh dunia.
Tujuh tahun servis untuk ketenangan minda termasuk: penyelenggaraan biasa setiap 20,000 kilometer atau sekali setahun tanpa had perbatuan.
|