CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4237|Reply: 5

Rasulullah bersama Siti Khadijah

[Copy link]
Post time 10-11-2012 03:52 PM | Show all posts |Read mode

                        by khalifatullah
                                                                                ISTERI-ISTERI RASULULLAH S.A.W.
KHADIJAH BINTI KHUWAILID •
Keturunan Dan Budi Pekertinya
Khadijah adalah seorang puteri jelita, bangsawan Quraisy. Melalui rahim seorang wanita budiman, Fatimah binti Zaidah bin Al-Asyam bin Harim bin Rawahah bin Hajar bin ‘Abdi bin Ma’ish bin ‘Amir bin Luwai bin Ghalib bin Fihr, datuk peringkat ke sepuluh bagi Nabi Muhammad S.A.W. Bapa beliau bernama Khuwailid bin Asad bin ‘Abdul ‘Uzza bin Qusyai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luwai bin Ghalib bin Fihr. Mengikut salasilah nasab suku Quraisy, siti Khadijah tergolong dalam suku Quraisy Asadiyah iaitu salah satu suku yang dihormati pada zaman itu. Penamaan suku tersebut adalah dinisbahkan kepada Asad datuk beliau sendiri. Siti Khadijah dilahirkan di sebuah pangsapuri yang megah dan besar pada tahun 68 sebelum Hijrah atau 15 sebelum tahun gajah. Beliau diasuh dan dibesarkan oleh kedua-dua ibu bapanya dengan penuh kasih sayang serta diberikan Tarbiah yang sempurna dan sesuai dengan tuntutan zamannya Pendidikan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapanya diterima dan diikuti dengan taat dan patuh sehingga beliau tampil sebagai seorang wanita budiman yang berakhlak luhur dan tidak pernah bangga dengan taraf kebangsawanannya. Oleh itu, tidak menghairankan apabila kaumnya memanggilnya dengan gelaran Al-Tahirah yang bermaksud perempuan suci. Selain itu, beliau juga dikenali sebagai Sayyidatu Quraisy dan Ummu Hanad Nisbah dengan nama puteranya Hanad bin Abu Halah hasil dari perkahwinan beliau yang pertama. Ayahanda yang tercinta, Khuwailid bin Asad wafat sebelum perang Fijar, yakni perang saudara yang terjadi di Tanah Hijaz pada tahun 584 Masihi atau 15 tahun setelah peristiwa penyerangan Ka’abah oleh tentera Habsyah yang dipimpin oleh Abrahah. Setelah ayahanda beliau wafat, Siti Khadijah dijaga oleh bapa saudaranya Amrin bin Asad. Beliau menetap di rumah bapoa saudaranya dalam keadaan yang terkawal dan tidak berbeza dengan apa yang didapatinya ketika berada dalam asuhan dan jagaan ibu bapanya sendiri. Ketika itu beliau telah berusia lebih kurang 30 tahun. Selaku wanita yang mendapat Tarbiah sejak kecil, Siti Khadijah telah memiliki sikap peribadi yang mulia. Beliau berpegang kuat kepada nilai dan tatasusila yang terpuji. Beliau juga dikenali sebagai seorang wanita bijak dan memahami saesuatu masalah (dzakiyah), menjaga diri dari amalan keji (‘iffah), berperilaku yang suci (Thuhri), murah hati (Samahah), pemurah (Sakha’). Di samping itu, Sayyidina Khadijah juga adalah seorang wanita yang berketurunan mulia lagi bangsawan, teguh hati, cergas (‘Aqilah), terpelihara (Mashunah), agung (Jalilah), suci hatinya (Naqiyyah al- Sarirah), bersih jiwanya (Syafiyah al-Ruh). Wajahnya cantik menawan, berseri, halus perasaannya, merasa puas hati melakukan sesuatu dengan adil.
•
Perkahwinan Dengan Abu Halah
Tahun demi tahun Siti Khadijah telah melangkah memasuki alam remajanya, namun beliau masih mempunyai sifat-sifat terpuji yang diamalkannya sejak kanak-kanak. Kejelitaan dan wajahnya yang ayu sentiasa menjadi sebutan setiap orang. Sikapnya itu juga telah menawan hati para pemuda untuk menyuntingnya dan dijadikan sebagai teman hidup. Kebanyakan pemuda yang datang meminang berasal dari kalangan orang-orang terpandang dan bangsawan Quraisy. Setelah di teliti, Siti Khadijah telah menetapkan pilihannya terhadap seorang lelaki bernama Abu Halah bin Zurarah bin Habib bin Salamah bin ‘Adiy bin Jarwah bin Usaid bin ‘Amru bin Tamin Al-Tamini, keturunan Bani ‘Abdi Al-Dar bin Qusyai. Bersama Abu Halah, Siti Khadijah dikurniakan dua orang cahayamata, Hindun bin Abu Halah dan Zainab binti Abu Halah. Hindun adalah anak lelaki Khadijah yang sempat berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W dan menganut agama Islam. Malah, dia termasuk orang yang baik pekertinya serta turut sama membantu dalam menyebarkan syiar Islam. Setelah beberapa tahun selepas Abu Halah meninggal dunia, Siti Khadijah kemudiannya telah berkahwin dengan seorang lelaki dari kalangan bangsawan Quraisy yang dikenali sebagai ‘Atiq bin ‘Atidz bin ‘Abdillah bin Umar bin Mahzun Al- Mahzumiy. Perkahwinan beliau dengan ‘Atiq tidak kekal lama dan mereka telah berpisah. Namun tidak pernah dinyatakan sama ada perpisahan itu berlaku kerana ‘Atiq meninggal dunia atau mereka bercerai hidup. Selepas perpisahan dengan ‘Atiq bin ‘Atidz, Siti Khadijah telah menjanda bertahun-tahun lamanya, sungguhpun ramai bangsawan dan hartawan datang meminang namun beliau belum berniat untuk berkeluarga semula. Beliau lebih menumpukan perhatian dalam mendidik dan mengasuh anak-anaknya dan menguruskan perniagaannya.
•
Perjalanan Yang Membawa Berkat
Kepandaian Khadijah mentadbir perniagaannya menjadi buah mulut. Bukan saja kerana beliau orang kaya tetapi kerana sikap dermawan beliau yang menarik hati masyarakat shingga beliau juga dipanggil sebagai wanita bangsawan, hartawan dan dermawan. Kebolehan Siti Khadijah mengurus perniagaannya membuatkan perniagaannya bertambah maju hingga ke Yaman dan Syam. Beliau bercadang untuk menyerahkan urusan perniagaannya di Makkah dan Yathrib kepada lelaki Quraisy yang boleh dipercayai . Berita mengenai kejujuran Muhammad sampai ke pengetahuan Khadijah, lalu diutus pembantunya Maisarah untuk menemui Abu Thalib bin Abdul Mutalib untuk meminta Muhammad bekerja dengannya. Beliau berjanji untuk memberi upah yang berganda kepada Muhammad. Abu Thalib gembira dengan tawaran itu, lalu disampaikan kepada Muhammad. “Hai Muhammad, hidup kita sekeluarga miskin, aku tidak berharta jadi eloklah kiranya engkau (anakku) bekerja dengan Khadijah. Beliau telah mempercayai kejujuranmu untuk mengurus perniagaannya.” “Terpulang pada pak cik, mana yang baik saya ikut saja.” Muhammad Al-Amin menjawab. Setelah bersetuju, Muhammad berjumpa dengan Khadijah untuk berbincang dan membuat perjanjian: “Aku manawarkanmu pekerjaan ini kerana aku yakin kamu seorang yang amanah dan boleh mengurusi perniagaanku ini. Keluhuranmu telah tersebar di merata-rata hatta di luar Makkah.” Tegas Siti Khadijah. Maka berangkatlah Muhammad dan pengikutnya menuju ke Syam. Khadijah mengarahkan pembantunya Maisarah agar turut serta dengan Muhammad bagi menyelidiki kebenaran mengenai kejujuran dan kebaikan Muhammad. Setelah keberangkatan mereka ke Syam, Khadijah memikirkan berita yang akan disampaikan oleh Maisarah pada kepulangan mereka nanti. Di hatinya terasa bimbang mengenai keselamatan Muhammad dalam perjalanan tersebut terutama gangguan Yahudi.
•
Berita Gembira Untuk Khadijah
Setelah selesai semua urusan dagangan di Makkah, Muhammad bersama Maisarah berangkat kembali ke Makkah bersama kafilah. Mereka pulang dengan membawa keuntungan yang besar. Setiba mereka di Mekah, Maisarah terus berjumpa Khadijah yang menanati dengan wajah yang begitu ceria. Beliau bertanya tentang dagangan dan juga mengenai Muhammad. Semua pertanyaan Khadijah dijelaskan oleh Maisarah hingga Khadijah berpuas hati. Maisarah menyatakan keanehan Muhammad kepada Khadijah: “Saya melihat segumpal awan sentiasa memayungi Muhammad dari terik cahaya matahari sepanjang perjalanan itu, bagaikan pesuruh Allah yang patuh kepada Muhammad…” Cerita Maisarah kepada Khadijah yang terpegun mendengar berita tersebut. “Satu perkara lagi ialah ketika kami berehat kerana letih. Waktu itu Muhammad Al-Amin berteduh di bawah sepohon rendang yang berhampiran dengan rumah seorang rahib Nasrani bernama Nastur. Dia telah mengetahui mengenai Muhammad apabila melihat bayang-bayang pohon yang memanjang melindungi Al-Amin dari terikkan panas matahari.” Khadijah tidak sabar untuk mendengar cerita seterusnya dan menggesa Maisarah untuk bercerita lagi. “Rahib Nasrani itu mendekati kami dan menyatakan bahawa tidak ada seorangpun yang berteduh di bawah pohon itu melainkan para Nabi dan Rasulyang diberi keistimewaan oleh Allah dengan sifat-sifat mulia dan terpuji. Kemudian rahib itu bertanya adakah terdapat tanda merah pada kedua-dua matanya dan saya menyatakan memang ada. Lalu dia berkata bahawa dugaannya dari awal lagi memang benar. Dia telah menyuruh saya menjaga Muhammad dengan baik dan bersopan kepadanya.” Jelas Maisarah. Mendengar berita itu Siti Khadiajh semakin ghairah ingin mengetahui mengenai Muhammad. Maisarah bercerita lagi tatatertib Muhammad melayani pelanggannya. Baginda tidak pernah merayu supaya orang ramai membeli barang dagangannya. “Sungguh gembira sekali berniaga bersama Muhammad. Sikapnya lemah lembut, jujur dan menawarkan harga yang berpatutan membuatkan semua orang ingin membeli barang dagangannya.” Mendengar akan hal itu, Khadijah begitu yakin bahawa pilihannya tidak merugikan malah memajukan lagi perniagaannya. Dalam pada itu, Muhammad datang untuk menyerah segala hasil dagangannya kepada Khadijah. Khadijah telah menanti kedatangan Muhammad dengan hati yang gembira. Muhammad dilayan dengan begitu baik dan hormat. Laporan dari Muhammad begitu menyenangkan Khadijah dan beliau membayar upah Muhammad seperti yang telah dijanjikan dulu. Muhammad pulang dengan membawa upahnya. Bapa saudaranya, Abu Tahlib berasa gembira melihat Muhammad pulang dalam keadaan yang selamat. Muhammad pula berasa gembira kerana dapat membantu bapa saudaranya menyara kehidupan mereka sekeluarga. Setelah Muhammad pulang Khadiajh merasakan yang Muhammad begitu menyenangkannya dan beliau belum pernah bertemu dengan seorang pemuda seperti Muhammad. Kini Muhammad telah menarik perhatiannya.
•



Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 10-11-2012 03:53 PM | Show all posts
Perkahwinan Yang Bahagia
Perhubungan Khadijah dan Muhammad selaku majikan dengan pekerja berjalan dengan baik. Perniagaan Khadijah semakin menggalakkan dan keuntungan yang diperolehi juga berlipat ganda. Beliau bertambah kaya dan sukar untuk ditandingi oleh peniaga-peniaga lain. Khadijah bukan sahaja menganggap Muhammad sebagai pekerjanya malah sebagai rakan kongsinya. Bagi Khadijah, Muhammad adalah aset yang menguntungkannya berbanding pekerja-pekerjanya yang lain. Khadijah bukan sahaja tertarik kepada Muhammad kerana kepandaiannya berniaga tetapi juga kerana Muhammad berbudi bahasa dan mempunyai ahklak yang tinggi jugfa kerana ketampanan serta kemerduan suaranya. Tutur bicaranya yang lembut sentiasa diingati oleh Khadijah. Bukan sesuatu yang aneh apabila Khadijah menaruh harapan terhadap diri Muhammad. Wujud satu perasaan yang dirinya sendiri teragak-agak untuk menyatakannya. Beliau sering bertanya kepada dirinya sendiri kenapa harapan itu mesti tumbuh dan bersemi dalam dirinya tetapi malangnya beliau sendiri tidak menemui jawapan bagi persoalan tersebut. Khadijah yang telah menjanda merasakan kehadiran Muhammad yang bekerja dengannya telah membangkitkan perasaan indah dalam dirinya. Khadijah sendiri merasa hairan apabila perasaan itu muncul semula setelah usianya meningkat. “Wahai hati…!” bisiknya. “ Apa gerangan yang membuat engkau muncul semula…? Padahal sekian lama engkau beku dan tidur dalam kebisuan yang panjang…? Sungguhpun begitu, perasaan itu dipendamnya sendiri dan beliau berasa malu untuk menyatakan perasaannya itu kepada orang lain walaupun kepada orang yang amat dipercayainya. Ini kerana beliau bimbang akan umpatan orang ramai mengenainya, padahal sekian lama beliau menutup pintu hatinya untuk lelaki sama ada dari golongan bangsawan atau hartawan Quraisy. Apabila sedar akan hal itu, beliau berasa malu dengan dirinya sendiri dan beliau sedar akan perbezaan usianya dengan Muhammad Al-Amin. Lagipun baginya Muhammad belum tentu sudi untuk menerima dirinya sebagai teman hidup. Muhammad masih muda, tampan, segak, bangsawan dan berakhlak mulia. Hanya satu sahaja keunggulan Khadijah iaitu mempunyai harta yang banyak. Tetapi beliaujuga mengetahui bahawa Muhammad bukanlah seorang yanmg mahukan harta kekayaan. Dalam keadaan khayal yang tiada hujung pangkalnya, Khadijah telah mendengar bunyi ketukan di pintu rumahnya. Kebimbangannya hilang serta merta apabila melihat sahabatnya yang datang berkunjung iaitu Nafisah binti Minyah. Perbualan kedua-dua sahabat itu amat menggembirakan, dari masalah negara sampailah ke persoalan rumah tangga. Tanpa disedari, terungkaplah nama Muhammad mengenai amal laku dan kebolehan Muhammad. Nafisah dapat membaca apa yang tersirat dalam hati Khadijah maka dengan sengaja Nafisah mengkhususkan perbicaraan mengenai peribadi Muhammad sehinggalah Khadijah meluahkan perasaan yang bersemi dalam hatinya kepada sahabatnya itu. “Tetapi…Adakah Muhammad akan menerima perasaan aku ini?” Tanya Khadijah. Nafisah menghibur hati sahabatnya itu dengan meningatkan kepadanya bahawa beliau adalah berketurunan mulia, hartawan, dermawan lagi cantik. Walaupun usianya telah meningkat namun beliau tetap cantik dan ayu yang menyebabkan ramai lelaki berminat untuk menyuntingnya. Nafisah telah berjanji untuk membantu Khadijah dengan melakukan sesuatu perkara yang masih dirahsiakan daripada Khadijah. Janji sahabatnya itu telah memberi keyakinan diri kepada Khadijah. Pada suatu hari, Nafisah sengaja pergi menjumpai Muhammad Al-Amin dan bertanya kepadanya. “Muhammad…Kenapakah engkau belum berkahwin?” Muhammad terdiam apabila terdengar akan pertanyaan itu. Muhammad kemudiannya menjawab sambil tersenyum: “Saya belum mampu untuk berumah tangga.” Jawabnya pendek. Nafisah bertanya lagi: “Apakah pendapatmu andai ada seorang wanita yang rupawan, hartawan, bangsawan dan dermawan memintamu untuk mengahwininya?” Sememangnya Muhammad faham akan ungkapan Nafisah itu, tetapi Muhammad tetap bertanya pula: “Siapakah wanita yang engkau maksudkan itu?” “Khadijah, Khadijah binti Khuwailid.” Jawab Nafisah singkat. “Seandainya beliau berkeinginan , saya tidak akan menolak.” Jawab Muhammad pula. Nafisah seolah-olah tidak percaya mendengar jawapan Muhammad itu. Bagi memastikan dirinya tidak tersilap Nafisah bertanya: “Apakah engkau berkata benar, Muhammad?” Gesanya. “Benar. Saya bersungguh-sungguh.” Jawab Muhammad. Setelah memperolehi jawapan dari Muhammad, Nafisah segera pergi ke rumah Khadijah untuk menyampaikan berita gembira bahawa Muhammad putera Abdullah itu bersetuju untuk mengahwininya. Wajah Khadijah berseri-seri setelah mendengar jawapan itu. Sebagai lambang kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah atas berita gembira itu, maka Khadijah membahagikan sebahagian hartanya kepada orang-orang miskin dan sesiapa saja yang memerlukan. Dalam pada itu, Muhammad Al-Amin segera memberitahu perkara itu kepada bapa saudaranya Abu Thalib, Abbas dan Hamzah. Mereka berasa gembira sekali dan tanpa perlu dibawa berbincang mereka telah menyetujui cadangan Muhammad untuk mengahwini Khadijah binti Khuwailid. Oleh itu, Muhammad meminta bapa saudaranya mengemukakan pinangan kepada pihak Khadijah. Maka ketiga-tiga mereka segera menemui keluarga Khadijah iaitu bapa saudaranya Amr bin Asad untuk mengemukakan pinangan Muhammad terhadap Khadijah. Amr bin Asad bersetuju dan menerima pinangan Muhammad. Pada hari yang telah ditetapkan, Muhammad pergi ke rumah Khadijah. Hadir sama pada majlis walimah itu ialah Hamzah, Abu Thalib dan Abbas. Kedatangan mereka disambut oleh keluarga Khadijah dengan mesra, disertai dengan tatacara penghormatan yang sederhana. Pada walimah itu, Abu Thalib menyampaikan ucapan bagi pihak lelaki dan ucapannya itu disambut oleh Amr bin Asad. Amr bin Asad menyatakan secara terbuka mengenai penerimaan ahli keluarganya terhadap Muhammad selaku suami anak saudaranya, Khadijah dengan mas kahwin (mahar) sebanyak 20 ekor unta. Berlangsungnya upacara pernikahan Muhammad dan Khadijah. Penyembelihan haiwan ternak dan tabuhan kompang menyemarakkan lagi majlis tersebut. Sementara orang-orang miskin pun turut bersuka ria dan mereka diberi layanan yang baik oleh keluarga Khadijah. Setiap seorang fakir dan miskin yang datang pada waktu itu akan diberi hadiah yang bernilai oleh Khadijah. Di antara jemputan yang turut hadir ialah Halimatul Saadiah, ibu susuan Muhammad. Beliau datang dari sebuah desa yang terletak di pedalaman Makkah dikenali sebagai desa Bani Saad hanya untuk menyaksikan perkahwinan Muhammad dan Khadijah. Halimah berada di rumah Khadijah selama 2 hari. Sepanjang itu Khadijah telah melayani Halimah dengan baik dan hormat. Muhammad begitu gembira dengan kehadiran Halimah di majlis tersebut dan merasakan seolah-olah pada waktu itu ibu kandungnya, Aminah turut menyaksikan hari yang penuh bermakna itu. Keesokan harinya, Halimah minta diri untuk kembali ke kampungnya. Pemergian wanita budiman itu direlakan oleh Muhammad dengan rasa senang hati dan Khadijah pula telah menghadiahkan 40 ekor kambing sebagai tanda terima kasih kepada wanita itu atas jasanya yang telah menyusukan suaminya, 25 tahun yang lampau. Khadijah bersyukur kerana dapat menjadi isteri Muhammad, seorang insan yang mulia dan dipuji oleh seluruh masyarakat Arab ketika itu. Bahkan suaminya adalah sebaik-baik lelaki di kalangan kaum Quraisy dan seutama manusia. Sebagai seorang isteri Khadijah amat pandai menjaga hati suaminya, bahkan beliau adalah contoh utama dalam hal menghormati dan mencintai suaminya. Khadijah amat memahami kesukaan suaminya sehinggakan kesukaan suaminya turut menjadi kesukaannya dan begitulah sebaliknya. Pada suatu hari, Khadijah melihat Muhammad amat sayang kepada bekas hamba beliau yang bernama Zaid bin Harisah, maka Khadijah turut memuliakan Zaid sebagaimana Nabi Muhammad memuliakan dan menyayanginya. Apabila Khadijah mendapat tahu bahawa Muhammad ingin mengambil anak bapa saudaranya, Ali bin Abu Thalib yanmg masih kecil, Khadijah pun memberi dorongan kepada suaminya mengenai perkara itu. Bahkan dia juga turut sama mendidik dan mengasuh Ali dengan penuh kasih sayang.
•
Rumahtangga Bahagia Dan Penuh Keberkatan
Rumahtangga yang dibina oleh Muhammad Al-Amin bersam Khadijah penuh kedamaian dan ketenteraman, aman dan bahagia, mereka tidak pernah berselisih faham dalam sesuatu perkara, walaupun Khadijah berusia 15 tahun lebih tua dari Muhammad Al-Amin yang ketika itu baru berusia 25 tahun. Walaupun demikian, sebagai manusia biasa mereka merasakan bahawa rumahtangga yang mereka bina dengan penuh pengertian dan saling faham memahami itu belum lagi sempurna selagi mereka masih belum memperolehi cahayamata sebagai penyeri rumahtangga. Mereka merindukan kehadiran anak-anak di rumah mereka bagi menyemarakkan lagi suasana di samping merupakan tali penghubung yang kuat antara sumi isteri. Allah Maha Pemurah mengetahui akan apa yang terguris di dalam hati kedua-dua hamba-Nya itu. Allah mengurniakan kepada mereka nikmat yang amat mereka harapkan. Mereka berasa amat gembira kerana mereka akan menimang cahayamata pertama mereka tidak lama lagi. Sementara itu, Khadijah telah mempersiapkan segala keperluan untuk menyambut kehadiran bayi pertama dari suami yang tercinta, Muhammad Al-Amin. Dengan izin Allah, tibalah hari yang dinanti-nantikan itu. Maka lahirlah seorang puteri yang comel mirip wajah Muhammad dan Khadijah. Sebaik sahaja Muhammad Al-Amin mengetahui bahawa puterinya telah selamat dilahirkan segera baginda menghampiri isterinya dan mengucup dahinya kemudian mendukung bayinya dan diribanya. Puteri sulungnya itu dinamakan Zainab oleh baginda. Sebagai tanda kesyukuran terhadap kurniaan Ilahi, mereka telah mengadakan kenduri dengan menyembelih beberapa ekor unta dan diberi kepada orang-orang miskin di kota Makkah. Mereka amat gembira menyambut kelahiran Bani Hasyim iaitu Zainab binti Muhammad Al-Amin. Kemudian, sebagaimana yang biasa berlaku di kalangan bangsawan Quraisy, Khadijah menyerahkan puterinya itu kepada ibu susuan yang telah ditempah sebelum kelahiran bayinya. Tiga tahun kemudian, lahirlah pula puteri Muhammad yang kedua, diberi nama Ruqiyyah. Dia juga diserahkan kepada ibu susuan sebagaimana kakaknya Zainab. Selepas itu, mereka dikurniakan lagi seorang anak yang dinamakan Ummi Kalsum. Lima tahun sebelum Muhammad dilantik menjadi Rasul, Allah telah mengurniakan seorang lagi puteri yang diberi nama Fatimah. Puteri keempat ini mendapat gelaran Al-Zahrah yang bermakna kembang mekar mewangi penghibur duka lara kedua orang tuanya. Bagaimanapun, ketika hamil pada kali yang kelima, Khadijah telah bermohon kepada Allah supaya mereka dikurniakan seorang anak lelaki untuk menyemarakkan lagi rumahtangga mereka. Allah Yang Maha Pengasih telah mengabulkan doa hamba-Nya itu. Mereka telah dikurniakan seorang anak lelaki yang tampan dan tidak ubah seperti ayahandanya. Putera ini telah dinamakan Qasim dengan nama gelarannya Tayyib yang bermaksud anak lelaki yang baik. Tidak berapa lama kemudian, setelah Muhammad dilantik menjadi Rasul oleh Allah, Khadijah telah hamil lagi dan melahirkan seorang putera yang dinamakan Abdullah dan diberi julukan Tahir yang bermaksud anak lelaki yang suci dan bersih. Walaubagaimanapun, Allah itu Maha Berkuasa, kedua-dua putera Rasulullah tidak sempat tampil dan berjuang bersama-sama ayahandanya untuk mengembang dan menyampaikan seruan Ilahi kepada manusia dan dunia. Kedua-duanya kembali ke sisi Ilahi ketika belum akil baligh lagi. Rasulullah dan Khadijah redha dengan pemergian kedua-dua anaknya itu kerana mereka sedar bahawa semuja itu berlaku atas kehendak Allah Yang Maha Berkuasa. Oleh itu, kesedihan yang menyerang kalbu diterima dengan hati yang sabar dalam menghadapi segala ujian dan cubaan dari Allah S.W.T. Bahkan baginda yakin sepenuhnya bahawa segala yang ditentukan oleh-Nya mempunyai hikmah yang tersembunyi dan tidak dapat diketahui oleh sesiapa. Setelah pemergian Qasim dan Abdullah, perhatian mereka lebih bertumpu kepada empat puterinya yang sudahpun melangkah ke alam remaja. Keempat-empat puteri jelita itu dididik dengan sempurna dan diasuh dengan akhlak yang mulia sehingga mereka menjadi anak-anak yang baik dan patuh kepada kedua-dua orang tuanya.
•
Khadijah Meninggalkan Rasulullah s.a.w
Peristiwa demi peristiwa yang dialami dan disaksikan oleh Khadijah memberi kesan ynag mendalam di dalam dirinya. Perkara ini nampak dari sikap dan amlannya yang rela berkorban semua harta yang dimilikinya demi kemajuan dan perjuangan Islam pada masa itu. Semua sedia maklum bahawa Khadijah tidak lagi secergas dahulu. Beliau mula uzur dan kadang-kadang juga jatuh sakit, tetapi semangat dan keyakinannya untuk turut sama dengan Rasulullah s.a.w tetap tidak berganjak. Saat demi saat berlalu, penyakit Khadijah pun kian tenat. Rasulullah s.a.w yakin bahawa Khadijah akan meninggalkannya. Namun demikian, Rasulullah s.a.w memberi khabar gembira kepada istrinya itu dengan menyatakan bahawa mereka akan bertemu di syurga. Dalam usia 65 tahun, Khadijah telah pergi ke pangkuan Ilahi, beliau wafat dengan keadaan yang tenang dan suaminya ada di sisinya. Peristiwa yang menyedihkan ini terjadi pada saat Rasulullah s.a.w mendapat cabaran hebat dari musuh-musuh Islam iaitu 3 tahun sebelum Rasulullah barhijrah ke Madinah Al-Munawwarah. Semenjak kepergian Khadijah, Rasulullah s.a.w merasakan jiwanya sangat kosong. Bukan sahaja rumah yang ditinggalkan menjadi sunyi malahan seluruh kota Makkah turut berkabung selepas pemergiannya. Rasulullah s.a.w bukan sahaja merasakan kehilangan seorang isteri yang setia, tetapi baginda juga telah kehilangan seorang pembantu dan pembela baginda dalam menjalankan tugas-tugas suci, iaitu menyeru manusia ke jalan Allah. Tidak lama selepas kewafatan Khadijah, Rasulullah s.a.w dikejutkan pula dengan wafatnya Abu Thalib, bapa saudaranya yang telah banyak memberi perlindungan terhadap Rasulullah s.a.w dalam usahanya memberi bimbingan kepada manusia untuk kembali ke jalan yang benar, berpandukan wahyu Ilahi yang diterimanya. Oleh yang demikian, tahun itu telah dinamakan sebagai tahun dukacita atau “Am Al-Huzni.”


Reply

Use magic Report

Post time 11-11-2012 03:14 AM | Show all posts
Boleh saya tanya ye,  bab hukum hakam semua kita boleh rujuk Quran dan hadith, tapi  bila kita baca kisah kisah macam ni , sumber utama /primer tu actually didapati dari catatan siape , ye? i am curious when comes to this part of documentation.
siapa tokoh dokumentasi sumber kedua dalam memperihalkan kisah kisah para sahabat, isteri nabi etc?

sebab kalau  kita nak rujuk  sejarah melaka pada abad ke -15 , kita diberikan beberapa nama Tom Pires, etc etc

tapi kalau sejarah sirah agama sendiri , siapa ya tokoh tokoh itu?

tertanya pulak bila baca sirah Khadijah ni sebab menarik.

tapi Khadijah was teh first lady, the first love ...

but Aisyah  RA ..i am sure menarik juga.

Reply

Use magic Report

Post time 11-11-2012 05:08 PM | Show all posts
Saring yg baik2 je...
Reply

Use magic Report

Post time 12-11-2012 08:33 AM | Show all posts
apa yg diceritakan itu semua kisah Rasulullah seorang utusan Allah.
kita ni semua cuma umat Baginda saja,semakin byk dan istiqomahnya kita amalkan atau cuba amalkan sunnah Baginda (cara percakapan,pergaulan,kehidupan etc) semakin byk fitnah dan ujian yg kita terima.
sbb umat akhir zaman ni,ada Ulama menceritakan sesuatu Sunnah itu akan dianggap rasuah,tetapi rasuah akan dianggap Sunnah.


والله أعلم
اللّھُمَّ صَلِّ عَلٰی سَيِّدِنَا وَ مَولَانَا مُحَمَّدٍ وَّ عَلٰی اٰلِہ وَ صَحْبِہ وَ بَارِکْ وَسَلِّمْ

وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
“Dan Mereka Merancang,Allah juga merancang,Dan ALLAH sebaik-baik Perancang”
صدق الله العظيم
Reply

Use magic Report

Post time 12-11-2012 10:33 AM | Show all posts
anak-anak jgn salah faham pulak ye,pakcik reply kt thread ni bkn le maksud pakcik nak lebih dari sorang tapi pakcik nak ceritakan pasal akhlak Rasulullah je.

والله أعلم
Reply

Use magic Report

Follow Us
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-2-2025 12:23 AM GMT+8 , Processed in 0.043599 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list