|
Ya rabb,
Dzulqarnain (actually bila tengok nick you i teringat alexander hahahahah - because of the name alexander zulqarnain - nama you terkait dengan nama iskandar, hahahah, maaf ye ...)
persoalan saya adakah
okay ini mungkin akan perlukan kupasan sejarah ...
apakah entiti yg lebih 'more defining' ras Melayu itu ? adakah zaman pre melaka - srivijaya Langkasuka
atau selepas kurun ke 12 ? we are talking about 1292 M ke atas ni ?
if you get what i mean?
pada saya |
|
|
|
|
|
|
|
hum, sekurang kurangnya dalam alqruan ada juga disebut bangsa yahudi, bangsa rom, keturunan salihin seperti keluarga imran, keluarga lukman alhakim...
apakah sejarah melayu lebih muda atau tua dari bangsa2 lain?
tetapi seolah keturunan melayu ini dirahsiakan....apakah rahsia itu? |
|
|
|
|
|
|
|
skiz0 posted on 13-11-2012 08:24 PM 
hum, sekurang kurangnya dalam alqruan ada juga disebut bangsa yahudi, bangsa rom, keturunan salihin ...
Hendaklah kita ketahui, bahawa Allah swt tuhan yang mencipta alam dan dialah pemelihara, setiap apa yang terjadi semua dalam pengetahuannya, janganlah kita hanya beriman apabila hati kita gembira, bila hati susah maka iman pun hilang, sejarah alam telah mengatakan betapa banyaknya pedoman dan pelajaran dari umat-umat terdahulu yang ingkar kepada Allah swt, meskipun mereka kuat gagah namun diakhirnya apabila sikap mereka telah melampauibatasan maka datanglah hukuman dari Allah swt, kemudian mereka dibinasakan, apa yang ada dalam Al-Quran seperti nama-nama bangsa yang disebut bertujuan sebagai diambil pedoman dan pelajaran, meskipun bangsa melayu tidak disebutkan bukan berarti Allah swt itu lemah, namun pengetahuan manusia itulah yang lemah, dan manusia selalu tidak mahu bersabar dan memikirkan.
Allah swt telah menjadikan ratusan ribu bangsa semenjak selepas zaman Nabi Adam, dan didalam bangsa itu sendiri ada beratus-ratus bahasa dan loghat. Ada bangsa yang telah pupus secara total seperti kaum Ad dan Samud, namun kaum ini disebut sebagai pedoman umat kemudian. Didalam kekalutan sekarang yang hanya seperti kocakan air maka umat seperti hilang pedoman, itu belum lagi diuji seperti negara Iraq yang hilang saddam Hussain, menjadi negara tidak berundang-undang selama berminggu-minggu, ketika itu dimana iman mereka ketika makanan dan air telah kehabisan, tidak ada undang-undang dan boleh melakukan apa sahaja, tika ini dimanakan iman, dimanakah Allah yang dulunya disembah, oleh itu kita tanyalah diri kita, kuatkah kita untuk mengharungi ujian yang lebih berat dari yang ada sekarang?
Sebab itu disebut, janggan sangka kamu beriman sebelum kamu diuji, memahami maksud kehidupan dan matlamatnya adalah sangat penting, jika tidak difahami apa erti kehidupan maka kita akan diselubungi oleh perasaan kecewa yang tidak berkesudahan, padahal Allah swt telah meletakkan dua jalan untuk ditempuhi, maka pilihlah jalan yang diredoi, Allah swt mahu melihat siapakah yang mahu menjadi orang yang benar-benar yakin denganya, yakin dengan janjinya, yakin dengan adanya hari pertemuan dengnnya. Allah swt tidak melihat bangsa, Allah swt tidak melihat kulitmu, tapi Allah swt melihat apa yang ada dalam hatimu. Hanya itu sahaja yang Allah swt lihat. Agama yang Allah swt turunkan adalah agama yang suci yang memerlukan pejuang dan pahlawan yang mempertahankannya, jika dizaman dahulu adanya Saidina Ali, Saidina Hussain, Saidina Hassan. Adanya Salahuddin Al-Ayubbi, Amir hamzah dan lain-lain yang menjadikan diri dan nyawanya benteng kepada agama, namun sekarang siapakan yang akan menjadi pahlawan islam yang sebenar? Adakah islam tidak perlukan pahlawan lagi disaat agama ini sangat-sangat memerlukan pembelaan?
Namun itulah hakikatnya, Allah swt itu maha adil, setiap masa dan zaman peluang sentiasa diberikan kepada sesiapa sahaja untuk menjadi pahlawannya dan pejuangnya, namun siapakan yang berani menyahut cabaran ini.
Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allahsebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikutyang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah",lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lainkafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang berimanterhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yangmenang.(Ash shaff:14)
Last edited by zamkumis on 14-11-2012 09:32 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Salam semua,
kita akan sambung berbincang
slps beberapa artikel berikut nnt ye...
Dipetik (LINK) drpd buku yg sama
artikel utama yg saya ingin kongsikan:
"HIDUP BERAKAL, MATI BERIMAN": KEMBALI KE AKAR MELAYU-ISLAM
Bergantung kepada Yang Satu,
Berpegang kepada Yang Esa
Tuah hidup sempurna hidup
Hidup berakal mati beriman
Malang hidup celaka hidup
Hidup tak tahu halal-haram.
Mukadimah
Ungkapan yang menjadi judul tulisan ini adalah petikan hikmah (wisdom) kepujanggaan bangsa tentang tonggak utama hidup-mati Melayu yang terumus dalam paduan dua kata: akal dan iman. Di sebalik ungkapan "hidup berakal mati beriman" tersirat makna kualiti hidup berteraskan kekuatan budaya keilmuan dan ketinggian komitmen keagamaan. Andainya sumpah pahlawan "Takkan Melayu Hilang di Dunia!" hendak diletakkan dalam konteks perjuangan memaknai hidup, maka ungkapan tersebut seharusnya dilengkapkan dengan menyebutkan syaratnya, "Selagi Mereka Berilmu dan Beriman!". Mungkin persoalan inilah yang menjadi keprihatinan bersama, terutama ketika bangsa ini mengalami landaan penjajahan, dan kini rempuhan globalisasi.
Di mana-mana isu pengakaran budaya dan jati diri bangsa terangkat menjadi tema penting dalam wacana pasca kolonial. Untuk menepati makna merdeka, rakyat negara bekas tanah jajahan cuba menemukan semula jati diri kebudayaan dan kebangsaannya yang telah luntur dan kabur dalam jerebu penjajahan budaya selama berabad-abad. Krisis jati diri adalah fenomena yang menimpa hampir seluruh generasi mangsa penjajahan. Mereka menjadi manusia yang memiliki double consciousness -- cara berfikir, gaya hidup dan cita rasanya sudah mirip kaum penjajah, tetapi belum sepenuhnya terlepas dari ikatan keperibumiannya. Dalam konteks Melayu, mereka berwujud dalam rupa “manusia dua kerat -- sekerat Melayu, sekerat Inggeris”. Mereka termasuklah golongan yang disebut Anglophile atau Melayu keinggerisan yang sangat mengagumi Inggeris.
Persoalan tentang jati diri timbul kembali ketika dunia menyedari gejala proses globalisasi yang dipersepsikan sebagai sejenis penjajahan baru. Ia bukan globalisasi tabii seperti yang telah terjadi selama ini, tetapi globalisasi tajaan Amerika (Americanled globalization) yang berintikan agenda penyejagatan dominasi dan hegemoni Amerika. Dalam kaitan inilah timbulnya pelbagai istilah seperti borderless world (dunia tanpa sembadan), global village (desa buana), global culture (kebudayaan global) dan lain-lain yang mengesankan seolah-olah segalanya sudah serba global, tidak ada lagi negara nasional, tidak ada lagi budaya tempatan dan tidak ada lagi jati diri bangsa. Agenda globalisasi memang ada, namun dunia masih bersempadan, manusia tetap berbangsa-bangsa dan budaya terus berbeza-beza. Bagaimanapun, kenyataan tersebut bukan bererti tidak ada masalah kecairan jati diri di kalangan bangsa-bangsa bukan Barat. Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Media Barat untuk berleluasa mempromosi dan menjual idea dan budayanya. Media sebagai image maker menampilkan beza dua wajah the West and the Rest. Barat (the West) diperagakan dengan citranya yang serba unggul, sementara yang lain-lain (the rest) diperlihatkan dengan imej serba lemah dan rendah. Akibat pesona media yang sedemikian, terbentuklah sikap rendah diri (inferior) dan mengagumi Barat. Dalam konteks sedemikian itulah relevannya wacana tentang pengembalian generasi anak bangsa ke akar agama dan budayanya.
Akar Jadi Diri Melayu
Kata Melayu ternyata mempunyai makna sosial-politik yang berubah-ubah dari zaman ke zaman, dan berbeza-beza dari daerah ke daerah. Pada suatu ketika Melayu dimaknai secara eksklusif sebagai kumpulan etnik yang mendiami daerah tertentu di Sumatera dan Kepulauan Riau. Pada ketika yang lain ia merujuk rumpun etnik di kepulauan Melayu dengan daerah induknya Malaysia, Indonesia dan Brunei. Malah ada ketikanya wilayah cakupan bangsa dan kebudayaan Melayu begitu inklusif meliputi daerah yang cukup luas dari Kepulauan Paskah hingga ke Pulau Madagaskar. Akhir-akhir ini timbul pula istilah diaspora Melayu yang merangkumi komuniti Melayu Afrika Selatan, Sri Langka, Champa dan Arab Saudi (al-Haramayn).
Dalam sejarah politik moden rantau ini para leluhur pejuang kemerdekaan kita pernah berkongsi impian besar yang mereka ekspresikan dengan ungkapan-ungkapan seperti Melayu Raya dan Indonesia Raya. Istilahnya memang berbeza-beza, tetapi yang diaspirasikan tidak lain adalah suatu kesatuan politik dan budaya yang kental dan padu. Mungkin itulah yang dihasratkan oleh Ibrahim Yaakob dan Burhanuddin al-Helmi, dua tokoh nasionalis Melayu yang mencipta nama sebagai putera setia Melayu Raya. Barangkali itu yang diimpikan oleh Muhammad Yamin, putera besar Melayu-Indonesia yang mengungkapkan gagasan Indonesia Raya dengan daerah liputannya seluas wilayah Melayu zaman kegemilangan Gajah Mada. Demikian juga Abdul Kahar Mudhakkir, ketika memimpin persatuan penuntut-penuntut Melayu (Tanah Melayu-Indonesia) menulis dalam majalah Seruan Azhar tentang gagasan negara tunggal bagi seluruh umat Melayu-Islam rantau ini.
Dalam konteks Malaysia (dengan daerah induknya Semenanjung Tanah Melayu), Melayu bukan lagi sebuah konsep biologi atau geneologi, tetapi sebuah konsep religiocultural dengan pengertian bahawa definisi Melayu diasaskan pada agama dan budaya. Sudah sejak berabad-abad konsep Melayu memang agak longgar, inklusif dan akomodatif. Keterbukaan tersebut dilatari oleh hakikat bahawa tamadun Melayu zaman tradisi adalah tamadun kelautan, dan kuasa Melayu seperti kesultanan Melaka misalnya adalah sebuah kuasa maritim. Melaka adalah sebuah pusat perdagangan yang terletak di tengah kesibukan lalu-lintas perdagangan jalur laut Timur-Barat. Dapat dibayangkan ketergantungan kemakmuran Melaka kepada perairan Selat Melaka. Hakikat bahawa orang Melayu menyebut negerinya “tanahair” menunjukkan betapa berertinya air dan perairan (di samping tanah) dalam kehidupan mereka. Lokasinya yang begitu strategik menjadikan Melaka sebuah mulaqah, tempat pertemuan para pedagang dari pelbagai bangsa dan negara untuk urusan perniagaan dan persinggahan sementara menunggu musim pertukaran arah angin monsoon. Dengan demikian Melaka menjadi sebuah negara-kota kosmopolitan yang memungkinkan terjadinya perbauran antara pelbagai etnik, dialog budaya dan seterusnya perkahwinan campuran. Para pedagang asing yang mengahwini wanita peribumi akhirnya menyerap ke dalam masyarakat tempatan dan menjadi Melayu.
Mempertahankan konsep Melayu dari segi kemurnian biologisgeneologis dalam tradisi perbauran seperti itu tentu sahaja sangat sukar. Tetapi Melayu yang didefinisikan oleh agama dan budaya menjadikannya suatu konsep yang lebih terbuka dan akomodatif, siapa sahaja boleh “masuk Melayu” tanpa mengira faktor darah dan daerah asalnya, dengan syarat telah memenuhi kriteria keagamaan (Islam) dan kebudayaannya (bahasa dan adat Melayu). Dalam kaitan ini Dr. Burhanuddin al-Helmi ketika menghuraikan asas falsafah kebangsaan Melayunya menyebut, "…sehingga hari ini, pintu bangsa atau kebangsaan Melayu itu masih terbuka dengan suatu pemakaian atau isti`mal yang telah diistilahkan dengan perkataan atau sebutan “jadi Melayu” atau “masuk Melayu”. Perkataan ini kerap terpakai kepada orangorang dagang seperti Cina, India, Siam dan sebagainya, yang telah menukar bangsanya yakni kebangsaannya meleburkan kebudayaan bangsanya ditukar dengan kebudayaan Melayu, meleburkan lahir dan batinnya lalu masuk jadi Melayu dan hidup mati secara Melayu! (Kamaruddin Jaffar,1980: 115)."
Begitu terbukanya konsep Melayu itu sehingga ada yang beranggapan bahawa yang dikatakan Melayu itu adalah a state of mind. Keterbukaan erti Melayu dalam realiti sosial-budaya terungkap dalam petikan puisi Sasterawan Negara Usman Awang yang berjudul Melayu,
Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistani, semua Melayu4
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mualaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu).
|
|
|
|
|
|
|
|
Akar Keislaman Budaya, Bahasa dan Adat Melayu
Ternyata apabila perlembagaan Malaysia mentaktrifkan orang Melayu sebagai seseorang yang menganut agama Islam, lazim berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu; sebenarnya bukanlah pentakrifan yang dipaksa-paksa atau diada-adakan tanpa asas. Meskipun perlembagaan menyebut tiga ciri yang mendefinisikan kemelayuan, tetapi yang menjadi teras sebenarnya adalah agama Islam. Dua ciri lainnya itu adalah bahagian daripada kebudayaan Melayu yang pada asasnya telah mengalami proses pengislaman. Yang diislamkan dalam proses pendakwahan di rantau ini bukan hanya orang Melayu, tetapi juga kebudayaannya.
Justeru, kebudayaan Melayu (termasuk bahasa dan adatnya) adalah warga rumpun kebudayaan Islam. Bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang termasuk dalam rumpun bahasa-bahasa Islam (Arab, parsi, urdu, Kiswahili). Yang dimaksudkan dengan bahasa Islam ialah bahasa yang mampu mengungkapkan pandangan sarwa Islami ( Islamic worldview), etos, falsafah, konsep-konsep dalam `aqidah dan syari`at Islamiah dengan tepat dan sempurna. Sesuatu bahasa Islam mampu melaksanakan fungsi tersebut setelah menyerap sejumlah kata dari al-Qur’an dan al-Hadith, atau dengan melakukan pemaknaan Islam kepada kata-kata yang sedia ada.
Demikianlah yang terjadi kepada bahasa Melayu. Dari bahasa yang pemakaiannya amat terbatas menjadi bahasa yang besar, kaya dan perkasa setelah diangkat menjadi bahasa pengantar pendakwahan di Alam Melayu. Pemilihan bahasa Melayu untuk tujuan tersebut berasaskan kemurniannya sebagai bahasa yang belum menjadi bahasa mana-mana agama, tidak seperti bahasa Jawa, yang ketika itu sebenarnya lebih kaya dan lebih maju, tetapi ia telah menjadi bahasa agama (Hindu) dan kerananya tidak mungkin dapat mengungkapkan ajaran Islam dengan tepat dan murni tanpa dikaburi faham Hindu yang telah lama sebati dengannya. Kemurnian bahasa Melayu sebagai bahasa Islam dapat dilihat dari perbendaharaan katanya yang tidak mengandungi kata-kata padanan untuk faham yang asing daripada Islam. Kata secularism misalnya, tidak ada padanannya dalam bahasa Melayu kerana faham tersebut memang tidak ada dalam Islam, dan kerananya tidak ada dalam pemikiran Melayu.
Setelah diperkaya dan diperkasa oleh Islam, bahasa Melayu yang juga disebut bahasa Jawi terangkat martabatnya sebagai bahasa agama, bahasa ilmu dan bahasa tamadun tinggi. Buat kali pertama bahasa Melayu mendapat tulisan yang praktikal iaitu tulisan jawi yang diambil dari abjad Arab dengan beberapa tambahan huruf untuk melambangkan bunyi-bunyi khusus dalam bahasa Melayu yang tidak ada dalam abjad Arab seperti bunyi ga, ca, nya dan pa. Sejak itulah terbangunnya tamadun keilmuan berbahasa Melayu sebagaimana yang terbukti dari khazanah karya tulis para ilmuwan Melayu dengan liputannnya yang cukup luas termasuk bidang `aqidah, fiqh, tafsir, hadith, tasawwuf, falak dan sebagainya, di samping karya-karya sastera yang meliputi pelbagai genre.
Demikianlah, setelah diperkaya dan diperkasa, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa transformasi umat, dari bangsa berbudaya jahiliah menjadi umat beragama dan bertamadun Islam. Justeru, bahasa Melayu adalah bahasa rakyat yang membentuk pandangan sarwa (worldview) dan pola fikir mereka. Bahasa Melayu juga adalah bahasa kesatuan, bahasa umat sealam Melayu -- daratan dan kepulauannya. Kesatuan bahasa itulah pula yang menghasilkan kesatuan tradisi keintelektualan Melayu atau kesatuan tradisi keilmuan berbahasa Melayu. Tidak kurang pentingnya ialah keupayaan bahasa Melayu menjadi bahasa perjuangan -- pengungkap idealism perjuangan dan pembangkit semangat serta daya juang, terutama dalam konteks perjuangan mempertahan dan merebut kemerdekaan dari penjajahan Barat.
Sebagaimana halnya dengan bahasa, demikian pulalah yang telah terjadi kepada adat Melayu yang juga telah mengalami proses pengislaman. Dalam pertembungannya dengan adat tempatan, Islam menyikapinya dengan prinsip al-ibahah al-asliyyah, bahawa hukum asal segala sesuatu adalah harus, kecuali yang dilarang. Bertolak dari prinsip tersebut Islam telah melakukan proses penyaringan dan penyesuaian terhadap adat Melayu. Anggapan bahawa Islam menghapuskan segala unsur budaya tempatan adalah tidak benar. Memang ada yang dihapuskan, tetapi hanya yang bertentangan dengan ajarannya. Adat dan budaya yang tidak bertentangan dibiarkan hidup selama masih diperlukan oleh warganya. Malah sebenarnya Islam sangat meraikan adat tempatan yang tidak bertentangan dengan ajarannya sebagaimana yang tercermin dalam prinsip hukum al-`adah muhakkamah. Atas dasar itulah dalam fiqh Islami perumusan sesuatu fatwa harus mengambil kira `uruf ahl al-balad (adat warga setempat). Ketetapan bahawa adat harus tunduk kepada syari`at telah diterima oleh umat Melayu keseluruhannya. Demikianlah erti ungkapan adat bersendi syara`, syara` bersendi kitabullah. Semangat memelihara keserasian adat dengan syara` terus hidup hingga ke hari ini. Mungkin itulah semangat di sebalik pengekalan nama institusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu, penamaan yang menyiratkan wisdom dan vision bahawa adat harus selamanya terkawal dalam bimbingan agama.
Bagi orang Melayu, Islam adalah segalanya. Agama anutan orang Melayu yang memberikan mereka cara hidup adalah din al-Islam, bahasa harian untuk berkomunikasi dan mengungkapkan pemikiran mereka adalah bahasa (Melayu) Islam, dan adat yang melingkari kehidupan mereka sehari-hari (hidup dikandung adat) adalah adat Islami - bersendi (hukum) syara`, berdasar (al-Qur’an) kitabullah. Demikianlah, Islam telah menyerap dan menyebati ke dalam segenap rongga dan ruang, segala segi dan dimensi peribadi Melayu sehingga sukar dibayangkan bagaimana jadinya, andai kata Melayu mahu menanggal dan meninggalkan keislamannya. Yang jelas Melayu yang melucutkan Islam dari dirinya, terlucut jugalah kemelayuannya.
Pandangan Sarwa (Worldview) Melayu
Kekentalan pengaruh Islam dalam segala aspek kehidupan Melayu dapat dilihat dari pandangan sarwa (worldview) Melayu, teori dan falsafah ilmunya (epistemology), juga sistem nilainya (axiology). Yang dimaksudkan dengan worldview ialah cara bagaimana kita melihat, menanggapi dan mempersepsikan segala sesuatu (how we look at things). Untuk memahami worldview Melayu kita boleh bertolak dari persoalan bagaimana Melayu mempersepsikan Tuhan. Bagi manusia beragama segalanya berpangkal dari Tuhan dan kerana itu Tuhanlah yang menjadi ultimate concernnya. Kehidupan keagamaan orang Melayu umumnya bermula dengan usaha mengenal Tuhan (ma`rifatu‘Llah) menerusi Sifat-Sifat dan Nama-Nama-Nya. Bagi manusia Melayu Tuhannya adalah Allah sebagaimana yang diikrarkan ketika mereka “mengucap” (la ilaha illa‘Llah). Kata Tuhan dan Allah mereka lafazkan bertukar ganti atau beriringan seperti dalam ungkapan “ya Allah ya Tuhanku…”.
Lafaz kesaksian tauhid begitu sebati dengan jiwa Melayu, dan mereka menjadikan tauhid sebagai prinsip yang mendasari kehidupan mereka, termasuk kehidupan berbangsa dan bernegara. Hakikat ini terungkap jelas dan tegas dalam huraian Dr.Burhanuddin al-Helmi tentang jiwa kebangsaan Parti Kebangsaan Melayu yang terumus dalam lima rukun dengan meletakkan Ketuhanan Yang Maha Esa sebagai rukun pertama, mendahului rukun-rukun lain: Kebangsaan, Kedaulatan Rakyat, Persaudaraan Sejagat dan Keadilan Masyarakat. (Kamaruddin Jaffar, 1980: 54).
Tanggapan Melayu tentang Tuhan terbayang juga pada nama-nama orang Melayu yang banyak sekali memakai Nama-Nama Tuhan (Asma’u ‘Llahi ‘l-Husna) seperti Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim, Abdul Malik, Abdul Quddus, Abdul Salam dan lain-lain seumpamanya. Nama-nama tersebut adalah penisbahan diri Melayu kepada Tuhan, sebagai hamba Tuhan yang bersifat dan bernama sedemikian. Allah sebagai punca kewujudannya, pemilik dirinya dan kesudahan perjalanan hidupnya adalah hakikat yang sangat disedari oleh orang Melayu. Kesedaran ketuhanan tersebutlah yang tersirat setiap kali mereka melafazkan ayat "…inna li ‘Llahi wa inna ilayhi raji`un".
Kesedaran kehambaan memang sentiasa wujud pada diri manusia Melayu umumnya sebagaimana yang ditandai oleh luasnya pemakaian kata “hamba Allah”, nama Abdullah dan nama-nama lain yang berpangkal dengan kata `Abd (Abdul …). Kisah penciptaan manusia Adam dan Hawa diketahui oleh hampir semua orang Melayu, dan kedua nama tersebut terus-menerus diabadikan sepanjang zaman sebagai nama orang Melayu. Justeru, manusia dalam worldview Melayu adalah insan sebagaimana yang diperikan dalam al-Qur’an, bukan seperti yang didongengkan dalam kisah-kisah tahyul. Ini menjadikan mereka sedar tentang ketinggian martabat keinsanan.
Kalimat “orang” dalam bahasa Melayu mendapat pemaknaan martabat dan kemuliaan. Sebutan “menjadi orang” membawa erti penyempurnaan sifat dan ciri keinsanan sebagaimana yang ditentukan oleh agama dan budaya. Demikianlah sebaliknya ungkapan “tidak seperti orang” membawa erti kegagalan mencapai piawai keinsanan, manusia yang beragama dan berbudaya.
Alam dalam worldview Melayu adalah ciptaan Tuhan, dan Dialah yang semutlaknya memiliki dan menguasainya. Dialah Rabb al-`alamin yang lazimnya disebut dalam bahasa Melayu dengan ungkapan “Tuhan sarwa sekalian alam”. Bagi orang Melayu ada dua alam yang sedang dan akan ditempuh: alam duniawi kini dan alam ukhrawi nanti. Mereka selalu menyebutnya secara beriringan “dunia-akhirat”. Suatu yang menarik untuk direnung iaitu kalimat-kalimat yang terpahat pada batu makam raja Samudra Pasai pertama, Sultan Malik al-Salih. Setelah direkunstruksi ternyata kalimat-kalimat tersebut adalah petikan puisi Sayyidina `Aliy ibn Abi Talib (k.w.) yang termuat dalam Nahj alBalaghah. Abdul Hadi W.M. menterjemahkannya seperti berikut:
Dunia ini fana, tiada kekal
Bagaikan sarang laba-laba
O kau yang menuntut banyak
Memadailah yang kau peroleh selama ini.
Ada orang berumur pendek
Namun namanya dikenang selamanya
Ada yang berusia panjang
Namun dilupa sesudah matinya.
Bait-bait puisi tersebut tampaknya tersebar luas dan diduga masyarakat Melayu sangat terkesan dengan mesejnya. Kerana itu puisi yang sama terpahat juga pada batu nisan raja-raja lain, termasuk pada makam Sultan Mansur Syah, Melaka (m.1447M); dan makam sultan Pahang ketiga, Sultan Abdul Jamil (m. 1512M). Kalimat-kalimat pada inskripsi-inskripsi tersebut mungkin dapat ditafsirkan sebagai gambaran pemikiran orang Melayu tentang erti kehidupan dunia yang singkat dan sementara, tetapi sangat penting untuk diisi dengan amal bakti agar bererti sesudah mati. Bagaimana Melayu mempersepsi dan menyikapi hidup duniawi dan hidup ukhrawi dapat difahami dari ungkapan tradisi,
Bergantung kepada yang Satu
Berpegang kepada yang Esa
Tuah hidup sempurna hidup
Hidup berakal mati beriman
Malang hidup celaka hidup
Hidup tak tahu halal haram
|
|
|
|
|
|
|
|
Demikianlah manusia Melayu yang hidupnya ber`aqidah (bergantung kepada yang Satu, berpegang kepada yang Esa) dan bersyari`at dalam erti mematuhi hukum (halal haram). Di samping itu Melayu hidup menggunakan akal sihat, kurnia istimewa dari Tuhan untuk makhluk jenis insan. Itulah kesempurnaan hidup dalam worldview Melayu, menuju husnu ‘l-khatimah mati beriman.
Mati beriman dalam ungkapan di atas mengekspresikan keyakinan Melayu terhadap alam ukhrawi, dan keinginan mereka untuk bahagia dalam kehidupan abadi. Untuk itu mereka harus menjadi mukmin yang baik, menepati makna iman dan menunaikan segala tuntutannya. Mati beriman tidak bererti bahawa iman hanya untuk saat menghadapi maut. Kematian boleh berlaku bila-bila dan di mana-mana. Kerana itu setiap orang harus berada dalam iman bila-bila dan di mana-mana. Dengan kata lain, iman adalah urusan sepanjang hayat.
Keinginan untuk mati beriman menjadikan Melayu umat yang taat beragama, tekun beribadat. Islam dalam masyarakat Melayu tidak terbatas hanya dalam rupa hukumhakam fiqh, tetapi meliputi juga tradisi kesufian atau dimensi kerohanian agama Islam. Kerana itu tumpuannya adalah hati atau kalbu (qalb) -- penyihatan hati dari segala rupa penyakit rohaniah seperti syirik, riya', `ujub, hasad, bakhil, dendam dan lain-lainnya. Matlamatnya ialah untuk mencapai qalbun salim (hati yang sihat dan sejahtera) yang pada hakikatnya tidak lain adalah qalbun mu'min (hati yang beriman), hati yang terhias dengan sifat-sifat terpuji seperti tauhid, taqwa, tawakkal, tawadhu`, penyayang, pemurah dan lain-lainnya. Penyihatan dan pemurnian hati menerusi amal kerohanian (tasawwuf) penting untuk layak mendapat pancaran nur Ilahi. Justru, hati yang beriman (al-qalb almu'min) adalah hati yang mengalami pencerahan, hati yang mampu melihat dengan firasat yang tepat kerana ia melihat dengan cahaya Ilahi. Umat Melayu ternyata memiliki kesedaran yang tinggi terhadap hati dan nur sebagaimana yang tercermin pada banyaknya ungkapan yang memakai kata "hati", dan banyaknya pemakaian kata Nur atau Nor pada nama-nama orang Melayu. Ungkapan yang menyantumkan kata "hati" termasuklah suka hati, susah hati, puas hati, keras hati, panas hati, jaga hati, besar hati, kecil hati, buah hati, patah hati, puas hati dan lain-lain lagi. Nama orang Melayu yang memakai kata Nur atau Nor pula ialah seperti Muhammad Nor, Nur al-Din, Nor Aini, Nor Azizah, Nor Asyikin, Noriah dan lain-lain. Selain itu kata nur juga dipakai pada selain nama orang seperti Istana Nurul Iman, Asrama Nurul `Izzah dan sebagainya. Suatu yang menarik untuk direnung ialah terdapatkan kata hati nurani yang pada hakikatnya adalah gabungan kata hati dan nur. Kata nuraniy adalah dari bahasa Arab nur. Dengan demikian hati nurani dapat diertikan sebagai hati yang telah mengalami pencahyaan nur Ilahi.
Memang alam ini fana, tetapi bukan bererti tidak berharga. Alam adalah kurnia Ilahi untuk difahami dan dinikmati. Bagi orang Melayu, alam ini kaya dengan makna, sarat dengan hikmah. Ungkapan tradisional, “Alam terkembang dijadikan guru” menyiratkan kesedaran Melayu tentang makna dan rahsia di sebalik alam ciptaan Tuhan. Berguru kepada alam bererti mempelajari sunnah kawniyyah dan merenung ayat atau tanda-tanda (kebesaran dan kekuasaan Allah) pada alam, flora dan faunanya. Pengajaran yang dapat ditangkap dari alam dirumuskan dan dipadatkan dalam ungkapan peribahasa. Keakraban Melayu dengan alam dan ketajaman daya renungnya terhadap alam tercermin dalam jumlah peribahasa yang menggunakan unsur alam. Ismet Fanany dan Rebecca Fanany telah memmbuat kajian tentang Wisdom of the Malay Proverbs berdasarkan peribahasa Minangkabau. Dari sejumlah peribahasa yang dikumpulkan sebagai bahan kajian, 25% daripadanya adalah peribahasa yang menggunakan unsur alam seperti tumbuhan, haiwan dan fenomena kealaman. (Fanany, Ismet & Rebecca Fanany, 2003: 44). Peribahasa adalah jelmaan wisdom kolektif bangsa Melayu, madah berhikmah yang merentas zaman. Ternyata persepsi Melayu terhadap alam memang menepati anjuran Islam agar merenung ayat kawniyyah, malah besar sekali kemungkinan semangat berguru kepada alam itu telah dinyalakan oleh Islam. Kata “alam” pada ungkapan “Alam terkembang dijadikan guru” jelas kalimat Arab yang menyerap ke dalam bahasa Melayu pada era kepesatan Islamisasi.
Memang Melayu sangat menghargai alam. Kata-kata pusaka, "yang setitik dijadikan laut, yang sekepal dijadikan gunung" jelas membayangkan pandangan sarwa Melayu tentang alam sebagai suatu yang bermakna dan berharga. Alam dengan segala kekayaan dan potensinya adalah kurnia Tuhan yang tidak harus disia-siakan.
Demikianlah kesedaran Melayu tentang misi kekhalifahan di bumi, membangun dan membudayakan alam. Untuk melautkan setitik air dan menggunungkan sekepal tanah tentunya memerlukan masa yang panjang, usaha yang berterusan, dan daya kreativiti yang tinggi. Pembangunan dalam perspektif Melayu memang selamanya tidak terpisah dari prinsip dan nilai amanat al-istikhlaf (amanah pengkhalifahan).
Jelas kiranya bahawa worldview Melayu tidak lain adalah worldview Islam atau ru’yah Islamiyyah. Worldview yang benar dalam erti persepsi yang tepat tentang segala sesuatu akan membina sikap yang tepat. Dalam kaitan ini, lewat puisinya Gurindam 12, ulamapujangga Raja Ali Haji, secara tidak langsung berbicara tentang pembentukan worldview Melayu dengan menyebut empat perkara pokok (Tuhan, diri, dunia dan akhirat) yang perlu dipersepsi dan disikapi secara benar:
Barang siapa mengenal yang empat
Maka dia itulah orang yang makrifat
Barang siapa mengenal Allah
Suruh dan tegah-Nya tiada ia menyalah
Barang siapa mengenal diri
Telah mengenal Tuhan yang Bahari
Barang siapa mengenal dunia
Tentulah dia barang yang terpedaya
Barang siapa mengenal akhirat
Tahulah dia dunia melarat.
Mengenal Allah menjadi urusan pertama dan utama umat Melayu. Sifat-Sifat dan NamaNama Allah dianggap sebagai pengetahuan asas bagi masyarakat awam Melayu. Justeru, cara mengenal Allah adalah melalui Sifat-Sifat dan Nama-Nama-Nya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Tradisi Keilmuan dan Epistemologi Melayu
Mengenal Allah sebagai Tuhan Yang Maha `Alim, Melayu menjadi terangsang untuk menguasai ilmu, sesuai dengan status dirinya sebagai wakil Tuhan di bumi, wakil yang dituntut untuk membayangkan keunggulan pihak yang diwakili, Tuhan Yang Maha Ilmuwan. Di mana-mana Islam hadir, ia membawa budaya ilmu yang berasaskan wahyu dan akal sihat. Memang Islam tidak tersebar dengan pemaksaan, tetapi dengan kekuatan al-iqna` -- hujah dan bukti, data dan fakta yang meyakinkan. Alam Melayu tidak terkecuali dari fenomena sejagat, pengislaman yang beriringan dengan pembangunan tamadun ilmu.
Pengembangan ilmu ternyata begitu merakyat sehingga memecahkan monopoli kepujanggaan istana. Gerakan pencerdasan dan pencerahan ini sekaligus adalah juga suatu gerakan pembebasan akal budi Melayu dari belenggu tahyul, dongeng dan kepercayaan yang tidak rasional. Tradisi keilmuan Melayu memang jelas mengakar pada epistemologi Islami. Islamlah yang mengenalkan konsep ilmu, sumber ilmu, klasifikasi ilmu dan segala yang bersangkutan dengan faham ilmu. Kitab al-`Aqa’id al-Nasafiyyah yang dipercayai sebagai manuskrip Melayu tertua (abad ke-16M) memuatkan antara lain perbahasan tentang sumber ilmu dan klasifikasi ilmu. (Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, 1988).
Antara karya klasik yang paling berjasa membentuk faham ilmu dalam masyarakat Melayu ialah karya-karya al-Ghazaliy, terutama Ihya' `Ulum al-Din yang memang cukup populer di rantau ini. Karya besar yang membahas pokok-pokok ajaran Islam -- `aqidah, fiqh dan tasawwuf -- secara terpadu itu memuatkan juga perbincangan khusus tentang ilmu di bawah judul besar Kitab al-`Ilm yang meliputi tujuh bab. Persoalan-persoalan yang terliput dalam perbahasannya termasuklah keutamaan ilmu, mengajar dan menuntut ilmu, ilmu yang terpuji dan ilmu yang tercela, ilmu fardhu `ayn dan ilmu fardhu kifayah, adab belajar dan mengajar, tentang ulama akhirat dan ulama jahat, juga tentang hakikat akal, ketinggian dan pembahagiannya.
Proses Islamisasi di rantau ini tidak hanya sekadar memberikan kulit baru kepada tubuh tamadun peribumi dan Hindu-Buddha. Sesungguhnya Islamisasi telah melakukan transformasi akal budi menerusi intensifikasi pengajian ilmu-ilmu keislaman. Institusi-institusi pengajian Islam tradisional yang dikenali dengan nama pondok dan pesantren memainkan peranan besar dalam proses pengakaran ajaran Islam ke dalam masyarakat Melayu. Tradisi kepesantrenan telah merangkaikan rantau ini dengan tradisi keilmuan dunia Islam terutama dari segi isi kurikulum ilmu dan khazanah perkitabannya, juga tradisi kesasteraannya seperti yang terlihat pada seni qasidah (al-burdah) dan barzanji. Di institusi-institusi itulah tumbuhnya tradisi pengajian dan pengkaryaan sastera kitab yang dikenali juga dengan nama "kitab kuning".
Khazanah keintelektualan ini memang banyak dikritik sebagai warisan tradisi yang kaku dan beku. Apa pun penilaian orang, yang jelas kitab kuninglah yang membentuk pandangan sarwa dan cara hidup Melayu. Kitab kuning (yang memuatkan penjelasan nas al-Quran dan al-Sunnah serta ijtihad ulama) memainkan peranan kunci dalam tradisi pengajian Islam tradisional yang disebut oleh Martin Van Bruinessen sebagai great tradition atau tradisi agung. (Bruinessen, M.V., 1995:17).
Tradisi kepesantrenan yang berteraskan pengajian kitab kuning memiliki pelbagaikekuatan tersediri terutama dari segi ketelitian analisis dan kejelian atau kepekaan terhadap segala kandungan teks, yang besar dan yang kecil, termasuk hal-hal yang selalu diremehkan oleh kebanyakan orang sekarang sebagai persoalan titik-bengik. Kitab-kitab tersebut biasanya dipelajari hingga tamat dari kulit ke kulit, dibaca dan dianalisis kata demi kata. Orientasi pengajiannya memang sangat mementingkan pembacaan yang betul, pemaknaan yang tepat dan analisis ketatabahasaan yang terperinci. Kaedah pengajian sedemikian dirasakan perlu demi menghindari kesalahfahaman dan anarki pemaknaan. Memahami kitab kuning memang memerlukan latihan tersendiri kerana masalah peristilahan teknikal yang cukup banyak, di samping gaya pengungkapannya yang memerlukan ketelitian. Seringkali antara mubtada' dengan khabarnya diselangi jumlah mu`taridah yang panjang sehingga tidak mudah memahaminya. Analisis kebahasaan (seperti i`rab, pencarian akar kata dan makna harfi dan istilahi) menjadi bahagian yang integral daripada proses pengajian kitab kuning kerana dalam tradisi kesarjanaan Islam memang wujud kesedaran yang cukup tinggi terhadap ketepatan makna. Kesedaran seperti itulah yang mendorong pengkaryaan kitab-kitab khusus tentang pemaknaan dan pentakrifan seperti Lisan al-`Arab Ibn alMandhur dan al-Ta`rifat al-Jurjaniy.
Sistem pengajian pesantren juga mempunyai tradisi pengijazahan tersendiri. Ia dilakukan oleh guru kepada murid yang diyakini kemampuannya mengajar kitab tertentu. Selain itu pengijazahan tersebut seringkali terangkai dalam kesinambungan sanad dari guru ke guru hingga sampai kepada penulis kitab berkenaan. Tradisi pengijazahan sedemikian tentunya mempunyai keistimewaan tersendiri pula. Ia dianggap dapat menjamin kualiti dan autoriti keilmuan penerimanya. Orang yang paling tahu tentang kemampuan seseorang penuntut ilmu, tidak lain adalah gurunya sendiri. Justeru, pengijazahan dalam tradisi kepesantrenan adalah jaminan kemampuan yang lebih dapat dipercaya, dan sekaligus mengandungi pesan amanah keilmuan yang lebih mengesankan.
Sistem pengajian tradisional tidak hanya tertumpu pada teks, tetapi juga pada disiplin, etika dan adab menuntut ilmu. Dalam hal ini pengaruh kitab Ta`lim al-Muta`allim Tariq al-Ta`alum ternyata besar sekali. Karya awal abad XIII oleh Burhan al-Islam alZarnujiy itu dikategorikan sebagai kitab akhlak; mungkin kerana penekanannya pada pada adab dan hal-hal kerohanian. Al-Zarnujiy menulis Ta`lim al-Muta`allim untuk memenuhi keperluan dunia pendidikan zamannya. Beliau mendapati sejumlah besar para penuntut ilmu zamannya gagal mencapai matlamat meskipun mereka telah belajar bersungguh-sungguh. Matlamat pengajian yang beliau maksudkan ialah penghayatan dan penyebaran ilmu. Kegagalan tersebut menurut al-Zarnujiy adalah akibat kesalahan kaedah pembelajaran dan pengabaian terhadap syarat-syaratnya. Ta`lim al-Muta`allim telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh G.E.Von Grunebaum dan Theodora M.Abel dengan judul Instruction of the Student: The Method of Learning. Ia juga telah diterjemahkan ke bahasa-bahasa daerah Alam Melayu seperti bahasa Jawa dan Madura.
Perbincangan Ta`lim al-Muta`allim berkisar pada isu-isu keilmuan dan pembelajaran: hakikat ilmu dan keutamaannya; niat dan tujuan menuntut ilmu; cara memilih ilmu, guru dan rakan-rakan; penghargaan terhadap ilmu dan para ilmuwan; dan seterusnya syarat-syarat kejayaan dalam pengajian seperti kesungguhan, tawakkal, wara`, menghindari maksiat dan amalan-amalan kebajikan yang mendatangkan rezeki dan memanjangkan umur. Al-Zarnuji memulakan wacana kependidikannya dengan motivasi peri pentingnya menuntut ilmu. Beliau menyerlahkan keistimewaan ilmu sebagai ciri khas keinsanan, kurnia yang mengangkat martabat Adam `a.s. mengatasi malaikat. Tingginya nilai ilmu adalah kerana peranannya sebagai wasilah atau jalan mencapai taqwa, darjat ketinggian yang dimuliakan oleh Tuhan.
Ilmu dalam konteks pengajaran-pembelajaran diertikan sebagai kejelasan tentang hakikat sesuatu. Dengan demikian zann (sangkaan) dan jahl (kejahilan) terkeluar dari pengertian ilmu kerana tidak menepati makna kejelasan. Fiqh pula adalah istilah yang lebih khusus daripada ilmu. Ia diertikan sebagai pengetahuan tentang hal-hal rinci sesuatu perkara. Proses pembelajaran (menuntut ilmu) harus bertolak dari niat yang benar, iaitu untuk mencari ridha Ilahi, mendapatkan bahagia ukhrawi, menyirnakan kejahilan diri dan orang lain, menghidupkan agama, melestarikan Islam, dan mensyukuri nikmat akli serta kesihatan jasmani. Untuk itu motif-motif lain yang tidak serasi dengan niat dan matlamat tersebut harus dihindari, termasuk motif mendapatkan sanjungan masyarakat, memburu habuan duniawi atau mengejar kedudukan di sisi penguasa.
Antara yang menarik dalam Ta`lim al-Muta`allim ialah syarat-syarat mencapai ilmu yang didasarkan kepada puisi Sayyidina `Aliy ibn Abi Talib:
ﺃﻻ ﻻﺗﻨﺎﻝ ﺍﻟﻌﻠﻢ ﺇﻻ ﺑﺴﺘ?ﺔ * ﺳﺄﻧﺒﻴﻚ ﻋﻦ ﳎﻤﻮﻋﻬﺎ ﺑﺒﻴﺎﻥ
ﺫﻛﺎﺀ ﻭﺣﺮﺹ ﻭﺍﺻﻄﺒﺎﺭﻭﺑﻠﻐﺔ * ﻭﺇﺭﺷﺎﺩ ﺃﺳﺘﺎﺫ ﻭﻃﻮﻝ ﺯﻣﺎﻥ
Puisi di atas menyebut enam syarat kejayaan menguasai ilmu: kecerdasan, kemahuan (yang kuat), kesabaran, kecukupan biaya, petunjuk guru, dan masa yang panjang. (Ibrahim ibn Isma`il, 2007: 31-32).
Selain itu al-Zarnuji menekankan faktor kerohanian atau ketaatan beragama dalam proses pembelajaran, khususnya dalam konteks membina daya ingat yang kuat. Kaitan erat antara ketaatan dan kecerdasan diungkapkan lewat puisi tentang pengalaman peribadi seorang penuntut ilmu yang mengalamai masalah lemah hafazan:
ﺷﻜﻮﺕ ﺇﱃ ﻭﻛﻴﻊ ﺳﻮﺀ ﺣﻔﻈﻰ * ﻓﺄﺭﺷﺪﱏ ﺇﱃ ﺗﺮﻙ ﺍﳌﻌﺎﺻﻰ
ﻓﺈﻥﹼ ﺍﳊﻔﻆ ﻓﻀﻞ ﻣﻦ ﺇﻟﻪ * ﻭﻓﻀﻞ ﺍﷲ ﻻﻳﻌﻄﻰ ﻟﻌﺎﺻﻲ
Puisi yang dikatakan dari al-Imam al-Shafi`iy r.`a. (menurut sumber-sumber lain) itu mengungkapkan kisah seorang penuntut yang mengadu kepada seorang yang bernama Waki` (gurunya) tentang hafazannya yang begitu buruk. Waki` menyarankan agar ia meninggalkan maksiat kerana keupayaan menghafaz adalah kurnia Ilahi, sedang kurnia (Allah) tidak diberikan kepada pelaku maksiat. (Ibrahim ibn Isma`il, 2007: 84).
Demikianlah mesej kependidikan al-Zarnujiy yang memadukan ilmu dengan penghayatan agama, memadukan kecemerlangan otak dengan kemuliaan akhlak.
Ta`lim al-Muta`allim seringkali dikritik sebagai pembawa orientasi pasif, tidak kritis dan terlalu memuja guru. Memang, jika dinilai dengan ukuran masa kini mungkin banyak hal-hal yang memerlukan penyesuaian, tetapi jasanya dalam pimbinaan tradisi keilmuan umat Melayu tetap tidak ternafi. Selama berabad-abad Ta`lim al-Muta`allim menjadi teks pengajian tradisional, pesantren dan madrasah. Jika memang wujud orientasi pasif dan tidak kritis, mestikah al-Zarnuji sahaja yang disalahkan?
Dalam sistem pendidikan moden yang telah melemparkan Ta`lim al-Muta`allim ke arkib sejarah, sikap pasif dan tidak kritis masih juga wujud di kalangan siswa-siswa kita. Kaedah pembelajaran yang dipromosikan oleh al-Zarnujiy tidak terbatas hanya dengan menadah kitab di hadapan guru, tetapi disarankan juga cara-cara lain seperti diskusi, debat dan soal-jawab.
Bagaimanapun al-Zarnujiy mengingatkan bahawa muzakarah dan perdebatan harus dilakukan secara sihat, tenang dan rasional sesuai dengan semangat musyawarah yang tujuannya semata-mata untuk mencari kebenaran. Kekasaran, emosi dan memaksakan pendapat ke atas pihak lain bukan cara yang wajar, kecuali dalam konteks menghadapi lawan yang degil dan tidak berniat mencari kebenaran. (Ibrahim ibn Isma`il, 2007: 61).
Last edited by Dzulqarnain on 16-11-2012 10:14 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Menghormati guru adalah akhlak terpuji yang memang sewajarnya dianjurkan sebagaimana dalam Ta`lim al-Muta`allim. Yang dipermasalahkan adalah pemujaan yang keterlaluan. Menghormati guru sebenarnya adalah pernyataan penghargaan terhadap nilai ilmu. Pada zaman tradisi guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi lebih daripada itu guru adalah teladan perilaku, contoh penghayatan agama, dan pemimpin yang berkarisma. Penampilannya di tengah umat selalu dengan citra yang terhormat, murni dan seadanya, bukan citra palsu propaganda media.
Dalam tradisi keilmuan Melayu kesedaran tentang peranan guru sebagai role model memang cukup tinggi. Semangat meneladani guru yang berwibawa diinspirasikan oleh ungkapan berhikmah:
Serupailah sekalipun kamu tidak seperti mereka, sesungguhnya
usaha menyerupai orang hebat adalah suatu kejayaan.
Dalam masyarakat zaman tradisi hubungan guru-murid sebenarnya dibina di atas semangat kesalingan -- saling hormat dan saling menyayangi seperti dalam sebuah keluarga. Guru biasanya disapa dengan kata pak guru, tok guru atau tuan guru. Demikian pula sebaliknya kata murid biasanya digandingkan dengan kata anak, lalu menjadi anak-murid. Terungkapnya kata-kata sedemikian tentunya bukan tanpa makna. Ia membayangkan kasih-sayang guru terhadap muridnya adalah seperti kasih-sayang bapa terhadap anaknya. Ini mengingatkan kita kepada pesan-pesan kependidikan dalam al-Qur'an yang disampaikan dalam bentuk nasihat seorang bapa (Luqman al-Hakim) kepada anaknya. Bapa-pendidik dalam surah Luqman itu menggunakan kata ya bunayya (wahai anakku). Pemilihan kata ya bunayya mungkin atas asas kekentalan makna kasih-sayang yang dikandungnya. Memang demikianlah kekuatan kata ya bunayya berbanding dengan kata-kata lain yang seerti seperti ya ibni atau ya waladi.
Demikianlah terbentuknya suatu sistem pengajian yang didasari semangat hub al-`ilm (cinta ilmu) dan komitmen menjunjung kebenaran sebagai nilai puncak. Betapa berertinya kebenaran dalam budaya Melayu dapat disaksikan dari watak Melayu yang "beraninya kerana benar, takutnya kerana salah". Dalam tradisi sedemikian motif menuntut ilmu adalah murni kerana Allah - menemukan kebenaran-Nya, menginginkan syurga ukhrawi-Nya, dan mencari keredhaan-Nya. Persepsi bahawa yang ada dalam sistem pengajian tradisional hanya kebekuan dan kefanatikan adalah tidak tepat. Kesetiaan memelihara tradisi selalu diimbangi dengan sikap selektif-akomodatif menepati pendirian kolektif sebahagian institusi tradisional di rantau ini:
Memelihara warisan yang baik,
dan menerima pembaharuan yang lebih baik.
Pelestarian warisan silam yang masih relevan bertujuan mempastikan berlakunya kesinambungan, sementara penerimaan terhadap pembaharuan adalah kesediaan menerima perubahan di samping menjamin dinamika dan daya maju institusi keilmuan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Nilai-nilai Melayu
Era kepesatan Islamisasi di rantau ini (abad ke-13 hingga abad ke-16M) adalah juga era berlakunya revolusi kebudayaan terbesar pernah dialami oleh umat Melayu. Kebudayaan Melayu ditransformasikan dengan nilai-nilai baru bawaan Islam. Nilai-nilai unggul yang bersumber dari agama seperti nilai kebenaran, keadilan, kemerdekaan, maruah, amanah, musyawarah, falah (kejayaan), sa`adah (kebahagiaan), ilmu, jihad, kerja kuat, kebersamaan, kesalingan, keselamatan, kekayaan, keindahan, kasih-sayang dan lain-lainnya menjadikan kebudayaan Melayu suatu kebudayaan yang kuat (a strong culture). Disedari atau tidak, sumber nilai Melayu (dan umat Islam umumnya) adalah Nama-Nama Indah Ketuhanan (al-Asma’ al-Husna): al-`Alim, al-Rahman, al-Rahim, alMalik, al-Quddus, al-Salam, al-Mu’min, al-Muhaymin, al-`Aziz, al-Jabbar, alMutakabbir dan seterusnya. Nama-Nama Tuhan, selain mengungkapkan kebesaranNya, juga sekaligus sumber nilai-nilai hidup (qiyam al-hayah) bagi manusia. Demikianlah hakikatnya, bahawa nilai-nilai Melayu adalah Ilahiyyatu ‘l-masdar atau bersumberkan ketuhanan. Apabila manusia dinamakan dengan al-Asma’ al-Husna (seperti Abdul Rahman, Abdul Rahim, Abdul Salam dan lain-lain sepertinya) bererti mereka memikul suatu harapan (expectation) agar menghayati nilai yang tersirat di sebaliknya. Malah sebenarnya semua manusia dituntut menghayati Nama-Nama Tuhan dalam batas keinsanannya. Demikianlah sebagaimana yang dibincangkan oleh al-Ghazaliy dalam kitabnya al-Maqsadu 'l-Asna fi Sharhi Ma`ani Asma'I 'Llahi 'l-Husna. Bab IV buku tersebut memuatkan huraian al-Ghazaliy tentang kesempurnaan dan kebahagiaan manusia yang tergantung pada sejauh mana ia menghayati akhlak ketuhanan, dan sampai di mana ia menghiasi diri dengan Sifat-Sifat dan Nama-Nama Allah. Begitulah kira-kira makna ungkapan yang menjadi judul bab tersebut:
ﰱ ﺑﻴﺎﻥ ﺃﻥﹼ ﻛﻤﺎﻝ ﺍﻟﻌﺒﺪ ﻭﺳﻌﺎﺩﺗﻪ ﰱ ﺍﻟﺘﺨﻠﹼﻖ ﺑﺄﺧﻼﻕ ﺍﷲ ﺗﻌﺎﱃ،
ﻭﺍﻟﺘﺤﻠﻲ ﲟﻌﺎﱏ ﺻﻔﺎﺗﻪ ﻭﺃﲰﺎﺋﻪ ﺑﻘﺪﺭ ﻣﺎ ﻳﺘﺼﻮ?ﺭ ﰱ ﺣﻘﹼﻪ
Nilai-nilai yang terkandung dalam Nama-Nama Indah Ketuhanan tersebutlah
yang membentuk watak Melayu yang gagah dan bermaruah, penyantun dan
penyayang, ilmuwan dan dermawan.
Untuk menghayati nilai-nilai unggul tersebut, umat Melayu mendapat contoh paling sempurna iaitu akhlak dan watak Nabi (s.`a.w.) yang sirah dan sunnahnya dipelajari oleh hampir setiap orang Melayu. Justeru, Rasulullah s.`a.w. adalah manusia paling sempurna penghayatannya terhadap nilai-nilai al-Asma' al-Husna. Itulah maksudnya apabila disebut kana khuluquhu 'l-Qur'an (bahawa akhlak Junjungan s.`a.w. adalah alQur'an). Nilai-nilai al-Qur'an tidak lain adalah nilai-nilai al-Asma' al-Husna. Tidak ada halaman al-Qur'an tanpa sebutan Nama Allah. Malah seringkali pada satu ayat terdapat beberapa Nama-Nya. Ayat al-Kursiy dapat dirujuk sebagai contoh, satu ayat mengandungi enam Nama Allah. Nilai-nilai keteladanan peribadi nabawi tersebut diserap dan dihayati menerusi pengajian sirah Rasulullah s.`a.w. yang menjadi komponen penting pendidikan tradisional.
Selain itu sambutan Maulid al-Rasul yang telah lama membudaya dan merata dalam masyarakat Melayu menjadi wahana pendidikan massa yang berterusan tentang nilai-nilai unggul peribadi misali al-Rasul s.`a.w. Pembentukan watak memang sangat terkait dengan set nilai, terutama nilai-nilai kewiraan. Nilai-nilai yang diajarkan dalam al-Qur'an, al-Sunnah dan sastera kitab diperkukuh dengan nilai-nilai unggul kewiraan yang tertuang dalam karya-karya sastera, khususnya karya-karya sastera hikayat berunsur Islam. Karya-karya tersebut banyak mengangkat tokoh-tokoh sejarah di samping tokoh-tokoh Qur'ani.
Antara yang dapat disebut termasuklah Hikayat Iskandar Zulkarnain. Zulkarnain adalah tokoh Qur'ani yang disebut dalam surah al-Kahf. Beliau diberikan pemerian sebagai raja perkasa yang komited terhadap agama, penegak kebenaran dan keadilan serta pembela kaum yang lemah. Yang menjadi kontroversi adalah penyantuman namanya dengan Iskandar, lalu menjadi Iskandar Zulkarnain. Adakah Iskandar dan Zulkarnain itu orang yang sama? Ramai pengkaji yang menyebut bahawa Zulkarnain adalah Iskandar Agung. Peter Riddel misalnya menyebut Hikayat Iskandar Zulkarnain sebagai The Story of Alexander the Great (Riddel, P., 2001:103). Malah di kalangan ulama juga terdapat tanggapan yang sama. Al-Shaykh Ibrahim ibn Isma`il yang mensyarahkan kitab Ta`lim al-Muta`allim oleh al-Zarnujiy menjelaskan bahawa Zulkarnain seperti yang disebut oleh alNaysaburiy dalam kitabnya Makarim al-Akhlaq adalah Iskandar al-Rumiy, raja Parsi dan Rom yang menjelajah dunia hingga ke hujung timur dan hujung barat, yang kerana itu dinamakan Dhu al-Qarnayn atau pemilik dua tanduk. (Ibrahim ibn Isma`il, 2007: 48-49). Ibn Ishaq menyebutnya sebagai al-Iskandar al-Yunaniy. Tanggapan seperti itulah yang diulas oleh al-Shawkaniy sebagai suatu yang memusykilkan kerana Iskandar adalah orang kafir dan murid kepada Aristotle, sedang al-Qur'an mengisyaratkannya sebagai orang salih yang dikurniakan kerajaan yang luas. (Al-Zuhayliy, Wahbah, 1991, juz.16: 22-23).
Keinsafan bahawa dalam diri keinsanannya ada hembusan Ilahi (al-nafkh al-Ilahiy), dan pada wataknya terdapat bayangan Sifat dan Nama Tuhan, telah menjadikan Melayu bangsa yang mulia -- memiliki maruah, martabat dan harga diri. Kesedaran tentang maruah dan martabat (dignity) yang ditandai sikap "tahu malu" telah mewujudkan semacam kawalan moral. Dengan demikian secara normatif Melayu selalu menghindari hal-hal keji yang memalukan dan menjatuhkan maruahnya. Memang Melayu adalah bangsa pemalu sesuai dengan nilai haya' dalam Islam sebagaimana yang disabdakan oleh al-Rasul s.`a.w. bahawa setiap agama mempunyai akhlak, dan akhlak Islam adalah malu. Dalam masyarakat Melayu ungkapan "orang tidak tahu malu" atau "muka tak malu" adalah kata-kata penghinaan yang cukup berat.
Memalukan dan dimalukan, mengaibkan dan diaibkan adalah sebahagian daripada pantang Melayu sebagai bangsa yang bermaruah. Demikianlah sebagaimana yang diungkapkan secara eksplisit dalam dialog Seri Teri Buana-Demang Lebar Daun. Dialog yang disebut "wa`ad" oleh Tun Seri Lanang itu adalah sebuah dokumen budaya yang dimaknai sebagai kontrak sosial Melayu antara penguasa dengan rakyat. Seri Teri Buana (yang menyimbolkan penguasa Melayu) menyetujui tuntutan Demang Lebar Daun (yang bertindak sebagai juru bicara rakyat) agar rakyat Melayu walau apa pun kesalahannya, "jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar`i." Tuntutan Demang Lebar Daun adalah suara rakyat Melayu yang sedar tentang maruah dan karamah insaniyah. Bahawa manusia (Melayu) walau sekecil mana pun harus dihormati dan tidak boleh diaibkan. Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) adalah karya agung yang mengungkapkan hikmah (wisdom) kepujanggaan bangsa tentang erti keluhuran etika sehingga, "…segala raja-raja Melayu tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu.". Dengan gaya dan daya kepengarangannya yang istimewa Tun Seri Lanang menyuarakan ketajaman firasat dan sekaligus amaran, "Jikalau ada seorang raja memberi aib itu alamat negeri akan dibinasakan Allah Subhanahu wa Ta`ala." Demikianlah teks sebuah karya warisan tradisi kepujanggaan kita yang mengabadikan suara hati dan akal budi Melayu sebagai bangsa bermaruah, yang kerananya sanggup menderhaka apabila diaibkan. Kontrak sosial tersebut memberikan isyarat jelas bahawa setia Melayu adalah setia bersyarat, dan derhakanya pula adalah derhaka bersebab. Setia Melayu yang tanpa syarat hanya kepada syari`at, rela dihukum walau dibunuh "…jikalau patut pada hukum shar`i."
Anggapan konon nilai-nilai budaya Melayu lemah dan kerananya bangsa Melayu turut menjadi lemah dan pemalas, adalah mitos ciptaan penjajah. Sudah ramai sarjana yang menyanggah anggapan tersebut termasuk Syed Hussein Alatas lewat bukunya Mitos Peribumi Malas, Shaharuddin Maarof lewat bukunya Malay Ideas on Development dan lain-lain lagi. Malah orang asing pun ada yang mengakui bahawa Melayu bukan bangsa pemalas. G.H. Werndly misalnya mengatakan, “Thus Awrang Malajuw would be a diligent, industrious and energetic man”. (Sweeney, Amin, 1987: 51).
Manusia ideal bagi orang Melayu adalah “orang yang berguna”, ungkapan yang dipadankan dari sabda Nabawi, khayru ‘n-nas anfa`uhum li ‘n-nas (manusia terbaik adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain). Manusia yang dapat memenuhi ciri berguna atau bermanfaat disebut juga dengan istilah “orang budiman”, iaitu orang yang berakal budi, berbudi pekerti dan berbudi bahasa serta banyak berbudi kepada orang lain. Untuk menjadi orang budiman dan berguna tentunya diperlukan set nilai yang disebatikan menjadi watak dan jati diri. Orang Melayu mengumpamakan orang berguna, khususnya pemimpin yang banyak berbakti sebagai pohon serba guna:
Bagaikan kayu besar di tengah padangRimbun daunnya tempat berteduhKuat dahannya tempat bergantungKukuh batangnya tempat bersandarBesar akarnya tempat bersila.
Ungkapan di atas mengingatkan kita kepada pemerian Qur’ani tentang kalimah tayyibah (kalimat tauhid, amar makruf nahi munkar dan sebarang kalimat kebaikan) yang diibaratkan bak pohon yang baik (kashajaratin tayyibah), akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, setiap musim ia berbuah dengan seizin Tuhannya (surah Ibrahim:25).
Nilai-nilai budaya bawaan Islam telah menciptakan masyarakat yang mementingkan ilmu, keadilan, prestasi dan nilai-nilai terpuji lainnya. Kekuatan nilai-nilai baru itulah yang memungkinkan berlakunya mobiliti sosial yang bersifat vertical (menegak). Kerana bakat besarnya dan prestasi cemerlangnya, anak orang biasa yang tadinya hanya disapa dengan panggilan “Si Tuah” mendapat kesempatan mendaki tangga mobiliti sosial lalu menjadi Laksamana Kesultanan Melaka. Kiranya wajar dicatat bahawa dalam sebuah kuasa maritim (kelautan) seperti Melaka, orang terpenting dan terkuat adalah Laksamana. Dialah penguasa lautan yang mengurus gelora dan gelombangnya, pedagang dan lanunnya. Istilah Admiral yang menjadi padanan kata Laksama sebenarnya berasal dari bahasa Arab Amir al-bahr yang bererti raja laut. Demikian juga dengan golongan ilmuwan yang terangkat status sosialnya bersama dengan terangkatnya nilai ilmu dalam masyarakat Melayu. Mengenai hal ini Muhammad Yusoff Hashim mencatatkan, “Vertical mobility in the social strata, especially amongst the religious leaders, enabled the Muslim intelligentsia, who were only commoners, gain entry into the ranks of the nobility”. (Muhammad Yusoff Hashim, 1992:236). Mobiliti sosial seperti itu membawa implikasi besar terhahap ruang peranserta atau partisipasi rakyat dalam pentadbiran negara dan pembangunan tamadun keseluruhannya.
Khatimah
Demikianlah betapa berertinya Islam bagi orang Melayu. Segala yang ada pada Melayu adalah sumbangan Islam -- agamanya, kebudayaannya dan bahasanya. Proses pengislaman yang memesat sepanjang abad 13-16M telah melahirkan Melayu baru, Melayu yang telah membebaskan diri dari kegelapan (mina ‘z-zulumat) lalu mengalami pencerahan (ila ‘n-nur), Melayu yang telah meninggalkan era jahiliahnya, Melayu yang telah menemukan kebenaran hakiki pada agama samawi yang fitri, murni dan asli. Pengislaman telah mentransformasikan worldview Melayu, nilai-nilai hidup Melayu dan tradisi keilmuan Melayu. Andainya Melayu hendak dipisahkan dari Islamnya, apa yang akan tinggal pada Melayu? Yang dapat dibayangkan adalah berlakunya kata-kata amaran `Umar ibn al-Khattab r.`a.:
ﻛﻨ?ﺎ ﺃﺫﻝﹼ ﺍﻟﻨ?ﺎﺱ ﻓﺄﻋﺰ?ﻧﺎ ﺍﷲ ﺑﺎﻹﺳﻼﻡ ﻓﻠﻮ ﺍﺑﺘﻐﻴﻨﺎ ﺍﻟﻌﺰ?ﺓ ﻣﻦ ﻏﲑ ﺍﻹﺳﻼﻡ ﻷﺫﻟﹼﻨﺎﺍﷲ
Kita dahulu adalah sehina-hina manusia, lalu Allah muliakan kita dengan Islam.Andainya (selepas ini) kita mencari kemuliaan dari selain Islam nescayaAllah akan menjadikan kita hina kembali!
- SIDDIQ FADZIL
|
|
|
|
|
|
|
|
Bacalah dulu ye...
ada lg yg lbh menarik dlm bab lain
juga sdg mengumpul bahan drpd yg lain2nya
Bismillah Al-'Alim, Al-Hakim |
|
|
|
|
|
|
| |
|