Oleh Izwan Abdullah
Februari 4, 2025 @ 3:28am
[email protected]
Wajah baharu Pondok Timpohon pintu masuk pendakian Gunung Kinabalu. Foto Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
RANAU: Pondok Timpohon atau Timpohon Gate yang menjadi pintu masuk pendakian ke Gunung Kinabalu di Kundasang, di sini, kini berwajah baharu hasil kerja naik taraf membabitkan peruntukan RM1 juta yang siap bulan lalu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew, berkata peruntukan dari kementeriannya itu disalurkan kepada Taman-Taman Sabah (Sabah Parks) selaku pihak bertanggungjawab terhadap Taman Kinabalu.
Beliau berkata, penambahbaikan yang dilaksanakan di satu-satunya pintu masuk ke gunung tertinggi negara dan Asia Tenggara itu sejajar usaha meningkatkan imej globalnya sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Katanya, ia bukan saja mengukuhkan fungsinya sebagai pintu masuk pendakian, malah menonjolkan Pondok Timpohon sebagai ikon pelancongan dan lokasi fotografi yang menarik.
"Proses transfromasinya memerlukan penambahbaikan Pondok Timpohon yang menempatkan pelantar pemerhatian dengan pemandangan banjaran barat Gunung Kinabalu yang kini menjadi lokasi berkumpul pendaki dan pelawat harian.
"Peruntukan RM1 juta itu adalah testimoni komitmen kementerian untuk memelihara dan mengukuhkan kedudukan Gunung Kinabalu sebagai khazanah global.
"Peningkatan ini mengukuhkan reputasi Pondok Timpohon sebagai mercu tanda bertaraf dunia, menarik pendaki dan penggemar alam semula jadi dari seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan selepas tinjauan di Pondok Timpohon, Taman Kinabalu, baru-baru ini.
Pondok Timpohon yang terletak kira-kira empat kilometer dari pejabat Taman Kinabalu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tandas awam, restoran dan panduan mengenai laluan pendakian Gunung Kinabalu, geologi dan biodiversiti di kawasan itu.
Sementara itu, Pengurus Taman Kinabalu, Justinus Guntabid, berkata penambahbaikan yang dilaksanakan di pintu masuk itu sejajar dengan kepentingan Pondok Timpohon dalam mengalu-alukan kedatangan ribuan pendaki setiap tahun.
"Selepas naik taraf itu, pelawat kini boleh menikmati keindahan flora dan fauna di sekitar Pondok Timpohon melalui pelantar sambil menghargai warisan semula jadi yang menjadikan Taman Kinabalu sesuatu yang luar biasa.
Katanya, sepanjang tahun lalu, Pondok Timpohon merekodkan ketibaan seramai 48,342 pendaki dengan purata seramai 131 pendaki sehari.
Beliau berkata, Mac tahun lalu adalah tempoh paling sibuk di lokasi itu dengan seramai 4,965 pendaki mengambil peluang menjelajah Gunung Kinabalu berikutan musim kering.
"November pula adalah bulan paling kurang pelawat iaitu seramai 2,730 orang saja pada November tahun lalu berikutan cuaca yang lebih lembab, namun tetap masih ada pelawat datang untuk menikmati keindahan sekitar gunung," katanya