Batu Pahat: Pembantu penyelia yang pernah dipenjara kerana sengaja mencederakan isteri, sekali didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan sama dengan menendang wanita itu hingga cedera, Selasa lalu.
Tertuduh, Bobby Junit, 37, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa sebelum Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadapnya.
Mahkamah juga memutuskan hukuman terhadap bapa lima anak itu berkuat kuasa dari ditahan, 28 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 33 tahun di sebuah rumah dekat Pesta, di sini, 11.25 pagi, 28 Januari lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian tertuduh dan isteri berada di rumah sebelum berlaku perselisihan antara mereka berdua.
Kemuncak perselisihan itu apabila tertuduh naik angin lalu bertindak menarik tangan serta menendang badan isterinya hingga terjatuh.
Malah, perbuatan tertuduh turut disaksikan anak serta ibu mentuanya hingga wanita itu cedera dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dan tertuduh ditahan pada hari sama untuk membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Normahani Raais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana ini bukan kesalahan pertama dilakukan tertuduh malah lelaki itu pernah dihukum mengikut seksyen sama.
"Perbuatan tertuduh meninggalkan kesan terhadap isterinya, hukuman sebelum ini langsung tidak memberi keinsafan kepadanya," hujahnya sambil menunjukkan rekod lampau tertuduh.
|