Edited by sfhzuraz at 1-2-2025 01:54 PM
Petani perlu ubah fokus pada hasil, bukan harga semata-mata
NURUL HIDAYAH HAMID
01 Februari 2025 12:56pm
Mahfuz (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima pada Program Kembali ke Sekolah di Langgar pada Sabtu.
ALOR SETAR - Pesawah perlu mengubah fokus mereka daripada mengejar harga semata-mata kepada meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil tanaman mereka.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan industri pertanian serta meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pesawah.
Beliau berkata, kebanyakan pesawah dikhuatiri hanya menghasilkan purata empat tan padi per hektar kerana mengejar harga sekali gus menjadi satu kesilapan buat mereka.
"Ada sesetengah pesawah hanya buat (menanam) padi dua tan per hektar sahaja, sebab mereka kejar harga padi RM1,800 per hektar.
"Jadi, ada tidak buat (menanam padi) dengan bersungguh-sungguh sebab mereka kata tidak mengapa dapat (harga padi) RM1,800,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kembali ke Sekolah anjuran Pertubuhan Peduli Insan di Langgar, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, pesawah boleh mencapai tujuh tan per hektar ataupun lebih yang akan meningkatkan pendapatan mereka, sekiranya mereka fokus kepada hasil.
"Jadi, ini sepatutnya dilakukan pesawah dengan mengubah cara berfikir supaya jangan hanya mengejar harga tetapi perlu juga mengejar hasil.
Semakin banyak hasil diperolehi, maka banyaklah pendapatan yang mereka akan dapat nanti," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kekeliruan sering timbul dalam kalangan masyarakat yang menyangka kerajaan menurunkan harga padi.
"Sebenarnya, kerajaan tidak membeli padi, sebaliknya yang membeli padi adalah kilang dan kerajaan hanya buat penetapan harga lantai.
"Kerajaan hanya menetapkan harga lantai, contohnya RM1,200 hingga RM1,300, kemudian kilang beli padi pada harga yang lebih tinggi seperti RM1,700 hingga RM1,900," katanya.
Menurutnya lagi, ketika harga lantai kerajaan RM1,300, kilang membeli pada harga RM1,800 dan tiada isu harga rendah timbul.
Sehubungan itu, Mahfuz berkata, perkara ini yang perlu difahami masyarakat khususnya pesawah bahawa harga belian padi ditentukan kilang mengikut kemampuan masing-masing.
Sebelum itu, Mahfuz menyerahkan bantuan pakaian sekolah kepada pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 sekitar Pokok Sena.
Lebih 300 pelajar terutamanya dari kawasan dilanda banjir di kawasan Pokok Sena pada tahun lepas menerima bantuan pakaian sekolah itu melibatkan peruntukan lebih RM50,000.
https://www.sinarharian.com.my/article/710259/edisi/utara/petani-perlu-ubah-fokus-pada-hasil-bukan-harga-semata-mata
|