Terhidu gas beracun: 1 maut, 1 kritikal, 6 dalam pemantauan
Oleh Nur Izzati Mohamad - Februari 1, 2025 @ 11:38am [email protected]
- Foto hiasan
BUTTERWORTH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengarahkan penutupan keseluruhan kawasan di sebuah kilang di Perai, di sini, selepas insiden seorang pekerja maut dan seorang kritikal manakala enam lagi dalam pemantauan akibat terhidu gas beracun.
Pejabat Pengarah JKKP negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya segera menjalankan siasatan selepas dimaklumkan berhubung kejadian yang menimpa semua pekerja terbabit.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati insiden membabitkan pekerja syarikat kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja fumigasi kawalan makhluk perosak di kilang terbabit selama lapan hari bermula 21 hingga 28 Januari lalu dengan lapan pekerja ditugaskan.
"Namun seorang pekerja dilaporkan kembali semula ke lokasi fumigasi pada 29 Januari (Rabu) bersama seorang lagi rakannya untuk mengambil bacaan gas di sebuah bangunan di kilang terbabit.
"Mereka berdua kemudian dilaporkan mengalami muntah dan sesak nafas serta pengsan selepas meninggalkan premis itu dan segera dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.
"Bagaimanapun, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di hospital pada 30 Januari (Khamis), manakala seorang lagi mangsa dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU)," katanya.
Menurut kenyataan, doktor yang merawat kedua-dua mangsa mengalami sesak nafas dan sakit tekak selepas membuat rawatan bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa.
"Dalam insiden itu, enam lagi pekerja yang mengalami simptom awal pendedahan kepada gas beracun dibenarkan pulang ke rumah tetapi masih di bawah pemantauan.
"Susulan kejadian ini, arahan penutupan keseluruhan kawasan lokasi fumigasidi kilang itu serta notis larangan penggunaan bahan kimia berbahaya iaitu ' Methyl Bromide' telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya.
Tegasnya, JKKP turut mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada jabatan.
"Kita akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi semua saksi yang telah dikenal pasti.
"Lawatan susulan ke premis majikan akan dijalankan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.
"Tindakan perundangan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran, di mana di bawah Akta ini, hukuman maksimum terhadap majikan adalah sebanyak RM500,000 jika didapati sabit kesalahan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/02/1356056/terhidu-gas-beracun-1-maut-1-kritikal-6-dalam-pemantauan
|