Alor Setar: "Syukur Alhamdulillah, impian untuk sambung belajar tercapai apabila saya menerima tawaran masuk ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, minggu depan," kata Abdul Fattah Ismail, 21.
Kisah Abdul Fattah disiarkan Harian Metro semalam kerana sanggup berhenti sekolah pada usia 12 tahun dan bekerja untuk mencari wang bagi membantu membiayai rawatan arwah bapanya yang ketika itu menghidap penyakit buah pinggang, jantung, ketumbuhan dalam kepala, darah tinggi dan kencing manis.
Selain itu, Abdul Fattah yang juga anak sulung itu turut membantu menyara keluarga memandangkan ibunya tidak bekerja, manakala adiknya, Abdul Hadi, 20, Zainab, 13, dan Fatimah, 8, ketika itu masih bersekolah manakala Muhammad Khairul Naim, 18, pula dilahirkan sindrom Down.
Namun selepas itu, Abdul Hadi turut mengikut jejak langkahnya berhenti sekolah dan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan tidak menentu.
Abdul Fattah ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kuala Nerang, Pokok Sena hari ini bersyukur kerana impiannya untuk belajar semula dimakbulkan Allah disebabkan sebelum ini keluarganya tidak mampu.
Katanya, dia ditawarkan untuk belajar dalam kursus Sijil Teknologi Mekanikal di IKBN Jitra selama dua tahun dalam empat semester, dan akan menetap di asrama yang disediakan.
"Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh sehingga tamat pengajian kerana itu saja dapat mengubah nasib keluarga kami nanti.
"Insya-Allah suatu hari nanti cita-cita saya untuk membuka bengkel kereta atau motosikal sendiri akan tercapai," katanya.
Dia juga berterima kasih kepada Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal kerana banyak membantu keluarganya selain berusaha untuk membantunya menyambung pengajian.
Sementara itu, Zuraini berkata, pihaknya akan membantu menguruskan pengangkutan bagi menghantar Abdul Fattah mendaftar ke IKBN Jitra nanti.
Beliau berkata, kemasukan pemuda itu ke IKBN adalah bantuan daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IKBN Jitra di samping bantuan daripada pihak CSM.
"Insya-Allah kami akan cuba bantu adiknya, Abdul Hadi selepas ini selain membantu menghulurkan bantuan lain kepada keluarga mereka sekiranya diperlukan," katanya.