CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1624|Reply: 0

[Sarawak] Perkukuhkan kerjasama Bumiputera dan Cina

[Copy link]
Post time 28-1-2025 03:14 PM | Show all posts |Read mode
Manfaatkan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki kedua-dua komuniti dalam pelbagai bidang: Tun Wan Junaidi



Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah

KUCHING: Masyarakat Bumiputera diseru memperkukuhkan kerjasama dengan kaum Cina dengan memanfaatkan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki kedua-dua komuniti dalam pelbagai bidang.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pengalaman dan kepakaran itu merangkumi bidang ekonomi, keusahawanan, sukan dan pelbagai sektor lain.

“Melalui kerjasama ini, peluang untuk pertukaran pengetahuan dan kemahiran akan dapat meningkatkan potensi dan daya saing masyarakat Bumiputera sekali gus menyumbang kepada pembangunan bersama yang lebih inklusif dan progresif serta mengeratkan lagi tali perhubungan dengan masyarakat Cina,” katanya dalam perutusan sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025.

Tun Wan Junaidi berkata pada masa yang sama, usaha untuk menggalakkan masyarakat Cina agar menyertai integrasi merentas kaum hendaklah diterjemahkan melalui tindakan yang nyata dan berkesan, bukan sekadar wacana di peringkat teori.

“Saya yakin bahawa dengan mengutamakan prinsip meritokrasi dan perpaduan, kita dapat merealisasikan pembangunan negeri yang holistik, adil dan inklusif.

“Ini akan memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat yang berpanjangan serta membina masyarakat yang harmoni, progresif dan berdaya saing,” ujarnya.

Menurutnya, Tahun Baharu Cina juga memberi kesempatan untuk semua pihak menghargai sumbangan besar yang telah diberikan oleh masyarakat Cina dalam pembangunan negeri Sarawak.

Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya katanya, Sarawak amat beruntung dengan perbezaan ini yang telah berjaya memupuk keharmonian dan kemakmuran.

“Masyarakat Cina telah memainkan peranan yang sangat penting dalam sektor ekonomi, politik, pendidikan dan sosial, serta turut memberi sumbangan yang besar terhadap kejayaan Sarawak dalam pelbagai bidang.

“Di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, masyarakat Cina terus menjadi rakan strategik yang menyokong pembangunan negeri melalui pelbagai inisiatif,” ujarnya.

Tun Wan Junaidi turut menyeru rakyat Sarawak memanfaatkan inisiatif yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak terutama pendidikan tinggi percuma yang akan dilaksana pada tahun 2026.

Menurutnya langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan akses rakyat kepada pendidikan berkualiti, khususnya di semua institusi pengajian tinggi yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Ia katanya berfungsi sebagai platform penting dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, inovatif dan mampu memenuhi keperluan tenaga kerja global.

Tambahnya lagi inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh pembangunan modal insane tetapi juga menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negeri Sarawak.

“Akhir kata, saya dan isteri (Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi) sekali lagi mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2025 kepada semua rakyat Sarawak yang meraikannya.

“Semoga tahun ini membawa keberkatan, rezeki yang melimpah, kesihatan yang baik dan kejayaan yang berterusan.

“Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dengan semangat yang baharu, demi membina masa depan yang lebih cerah untuk negeri Sarawak dan seluruh rakyatnya. Gong Xi Fa Cai,” katanya.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-1-2025 08:55 AM GMT+8 , Processed in 0.037823 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list