KUCHING: Perayaan Tahun Baharu Cina tidak hanya membawa kegembiraan kepada kaum Cina tetapi semua rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (gambar).
“Da chia hao, Salam sejahtera, Salam Sarawak Maju Makmur. Bagi pihak saya sendiri, isteri serta keluarga, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada seluruh rakyat Sarawak daripada kaum Cina sempena Tahun Baharu Cina pada tahun ini.
“Saya amat berharap saudara dan saudari sekalian menyambut hari yang begitu penting dalam tradisi kaum Cina ini dalam suasana yang penuh keceriaan dan kegembiraan di samping ahli keluarga dan sahabat-handai.
“Bagi masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak, saya percaya perayaan Tahun Baharu Cina juga membawa kegembiraan kepada kaum-kaum lain.
“Amalan kunjung mengunjung memperlihatkan hubungan masyarakat yang begitu akrab sekali,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025.
Abang Johari juga berharap perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut pada setiap tahun terus dijadikan satu platform untuk memperkukuhkan keharmonian antara kaum pelbagai budaya dan agama di Bumi Kenyalang.
“Saya mendapat tahu bahawa Tahun Ular melambangkan kebijaksanaan, gerak hati dan transformasi.
“Adalah dipercayai bahawa orang yang dilahirkan pada tahun ular adalah berbakat, misteri dan berfikiran mendalam.
“Juga dipercayai bahawa TahunUlar adalah tahun yang dinamik untuk belajar dari masa lalu dan bergerak ke hadapan dengan kebijaksanaan, kesedaran serta belas kasihan.
“Kita semua perlu memiliki ciri-ciri yang wujud ini untuk memanfaatkan sepenuhnya perjalanan kita melalui tahun baharu yang mungkin penuh dengan peluang serta cabaran,” ujarnya.
Mengakhiri perutusannya Abang Johari menyeru rakyat Sarawak agar terus berusaha ke arah memperkukuhkan persaudaraan dalam kalangan masyarakat pelbagai agama, bangsa dan budaya.
“Kepada rakan-rakan kita daripada kaum Cina bergembiralah dalam suasana yang penuh keharmonian, kemesraan dan kedamaian.
“Kepada saudara-saudari kaum lain, luangkanlah masa untuk menziarahi rakan-rakan berbangsa Cina dengan semangat sentiasa ingin menghormati rakan-rakan yang berbeza dari segi agama dan budaya.
“Saya bagi pihak saya sendiri dan Puan Sri Hajah Juma’ani, sekali lagi mengucapakan Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le,” katanya.
|