MIRI: Tempoh dua tahun di bawah kerajaan Malaysia MADANI yang dipimpin oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim, merupakan tempoh kemajuan dan harapan yang luar biasa, jelas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Miri Dr Michael Teo (gambar).
Sebagai seorang yang terlibat dalam politik selama dua dekad, beliau amat gembira menyaksikan transformasi yang telah dilalui oleh negara khususnya dalam memupuk keharmonian kaum dan pertumbuhan ekonomi.
“Kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah penting dalam menyatukan masyarakat pelbagai budaya kita,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Miri itu berkata, penglibatan Anwar dengan sekolah dan komuniti Cina menggambarkan komitmen tinggi beliau terhadap keterangkuman.
Menurut Teo, dari segi ekonomi, Malaysia telah berkembang maju dengan nilai pada tahap yang baik dan kuat.
Kemasukan pelaburan asing telah menggiatkan semula ekonomi negara dan mewujudkan peluang untuk semua.
“Program-program kerajaan yang bertujuan memupuk keharmonian kaum telah membentuk semula suasana nasional dan mendekatkan rakyat Malaysia,” jelasnya. Teo turut mendoakan kebahagian dan kesejahteraan untuk semua rakyat di negara ini.
Beliau memberitahu, Tahun Ular dalam perayaan Tahun Baharu Cina adalah bertuah dan melambangkan kemajuan.
“Seperti ular yang muncul dari bayang-bayang, ekonomi kita telah meningkat, mencapai hasil yang luar biasa,” jelasnya.
Dalam konteks Sarawak, Teo memberitahu, pembangunan juga dapat dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum di negeri ini termasuk Miri.
Projek menaik taraf Hospital Miri telah memberi banyak manfaat kepada penduduk di utara Sarawak.
Kerajaan baharu ini turut membantu merealisasikan pembinaan Hospital Lawas.
“Projek ini juga sebagai bukti pembangunan pesat di bawah kerajaan ini. Kemajuan ini amat membanggakan dan memberi harapan yang sangat besar.
“Bersama-sama, kita membina Malaysia yang lebih maju dan harmoni,” jelasnya.
|