Gambar terkini jalan baharu yang menghubungkan Sibu Jaya dan Jalan Kong Yit Khim. – Gambar Peter Boon
SIBU: Jalan sepanjang 6.75 kilometer yang menghubungkan Sibu Jaya dan Jalan Kong Yit Khim dibuka kepada orang ramai mulai hari ini, kata Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Dr Cassidy Morris.
Beliau berkata, pembukaan ini dibuat berikutan jangkaan peningkatan trafik sempena Tahun Baharu Cina (TBC).
“Kami perlu membukanya untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Pengguna jalan raya dinasihatkan agar memandu dengan berhati-hati semasa melalui jalan ini.
“Sila berhati-hati semasa memandu kerana terdapat beberapa bahagian yang ditutup sementara kerana kerja-kerja di bahagian tersebut masih perlu disiapkan, tetapi jalan ini selamat untuk digunakan.
“Sila patuhi had laju dan ikut papan tanda lalu lintas,” kata Cassidy kepada The Borneo Post ketika dihubungi, semalam.
Semasa lawatan tapak pada Ogos 2024, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata jalan tersebut akan menjadi suntikan kepada ekonomi dengan kesan pengganda terhadap pertumbuhan ekonomi.
Jalan akses Sibu Jaya-Jalan Kong Yit Khim adalah jalan berkembar dengan dua laluan sungai, iaitu Sungai Salim dan Sungai Belalang, dan akan menyediakan laluan alternatif dari Sibu Jaya ke Durin atau bandar Sibu.
Selain itu, ia juga memendekkan jarak perjalanan antara bandar Sibu dan pekan Sibu Jaya.
|