Seberang Perai: "Saya tak pernah anggap abang membebankan, sama juga dengan anak. Oleh itu, selagi termampu, saya akan menjaga mereka seumur hidup saya".
Itu kata Nor Lelawati Md Noor, 45, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal selepas ibu jari kirinya dipotong lima tahun lalu akibat diabetes.
Di samping itu, Nor Lelawati juga menghidap masalah buah pinggang yang memaksanya menjalani dialisis sejak lima bulan lalu.
Meskipun begitu, Nor Lelawati tetap meneruskan rutin menguruskan keluarga terutama menjaga anak kedua, Nur Afrina Aisyah Shamsul, 17, yang berstatus OKU kerana masalah urat saraf.
Manakala abangnya, Saidin Md Noor, 53, disahkan OKU pembelajaran sejak lahir.
Berkongsi kisahnya, Nor Lelawati yang menetap di Taman Akasia, Bukit Mertajam dekat sini, berkata, dia tidak bekerja, jadi kebanyakan masa berada di rumah jika dia tidak keluar untuk menjalani dialisis.
"Saya jalani dialisis tiga kali seminggu, namun tetap boleh melaksanakan kerja rumah seperti memasak.
"Walaupun anak OKU, dia ke sekolah harian biasa manakala abang pula pandai uruskan diri, cuma kena sediakan makanan. Abang juga tak banyak kerenah.
"Sudah 10 tahun abang tinggal dengan saya kerana dia memang tak nak duduk dengan orang lain," katanya dihubungi Harian Metro.
Menurut Nor Lelawati, dia sangat rapat dengan abangnya yang akan mengikutnya jika dia keluar.
Katanya, suami, Shamsul Ibrahim, 45, juga faham malah tiada masalah untuk membenarkan abangnya tinggal bersama.
"Pada 20 Februari ini, abang dapat tajaan mengerjakan umrah dan akan pergi bersama kakak sulung.
"Saya bersyukur dan gembira kerana abang memang hendak sangat, malah pernah simpan hasrat bawa emak ke Tanah Suci Makkah namun tidak kesampaian kerana wang tidak cukup," katanya yang mempunyai dua lagi cahaya mata berumur 12 dan 18 tahun.
Selagi terdaya, Nor Lelawati berjanji dengan dirinya yang dia akan menjaga abang dan anak istimewanya sebaik mungkin.
"Rezeki kami tidak pernah putus sejak jaga insan istimewa ini walaupun saya dan suami bukan orang senang malah suami bekerja sebagai penghantar barangan kantin dengan pendapatan tidak tinggi.
"Cuma nak menjaga anak dan abang OKU memang kena ada kesabaran tinggi. Saya cuba buat yang terbaik selagi mampu," katanya.